Rabu, 11 Januari 2012

Jabatan Pelajaran Kelantan tidak tunai janji

SAYA adalah antara kumpulan Guru Pendidikan Islam (GPI) yang dihantar berkhidmat ke dua daerah pendalaman Kelantan iaitu Kuala Krai dan Gua Musang bagi sesi 2010.

Sewaktu diarah bertukar, secara hitam putih tidak dinyatakan sebab-sebab kenapa kami ditukarkan walaupun telah puluhan tahun berkhidmat di daerah masing-masing.

Saya hanya diberi janji mulut bahawa penempatan ini hanya untuk dua tahun bagi meneruskan program Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) sebelum ini yang membuat giliran guru di kawasan bandar yang tidak pernah berkhidmat di kawasan pendalaman dimestikan bertugas di sana dua tahun.

Sebelum ini program tersebut berjalan baik, walaupun ramai juga guru yang tidak sanggup berkorban diri dengan membatalkan surat pertukaran atas kapasiti politik. Namun apabila tiba giliran kumpulan kami, janji tersebut bagai sengaja dimungkiri dengan alasan bilangan guru di pendalaman yang kritikal.

Kami menjadi mangsa keadaan kerana memo pertukaran dikeluarkan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), sedangkan urusan pertukaran kini adalah di bawah Sektor Pengurusan Sekolah sepenuhnya. Sudah hilangkah data perkhidmatan kami untuk dilihat kembali?

Sepatutnya apabila cukup tempoh dua tahun pada akhir tahun lepas, kumpulan guru lain pula ditukarkan ke kawasan pendalaman ini bagi menggantikan kumpulan kami, jika dasar 'kesusahan sama dirasa' dipraktikkan dengan adil.

Pihak JPNK barangkali memandang remeh bakti kami selama dua tahun di kawasan ulu Kelantan, walaupun ramai antara kami yang sudah memiliki keluarga dan kediaman tetap di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) asal.

Ada yang terpaksa berulang-alik dengan kenderaan sendiri, bas dan kereta api seawal jam empat pagi ke tempat bertugas. Urusan keluarga sudah menjadi tidak terurus kerana terpaksa turun awal dari rumah dan pulang pada lewat petang, atau hanya sempat menjenguk keluarga pada setiap hujung minggu sahaja. Itu pun jika tidak ada aktiviti di sekolah pada hujung minggu.

Saya mewakili rakan-rakan senasib memohon jasa baik JPN Kelantan untuk memberi perhatian terhadap kes kami ini. Semoga program murni ini dapat diteruskan dengan sebaik-baiknya.

Utusan Malaysia Online: 11 Januari 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau kita jadi guru yang baik,yang mengikut perintah,kita menjadi mangsa.nak minta sokongan pengetua pun,pengetua sayang nak lepas.perlukah kita jadi guru bermasalah?kalau pengetua da h menyampah,cepat pula sokong tukar sekolah...dah 11 tahun saya d pedalaman.xde pun mereka peduli bila mohon pertukaran.anak orang nk kita ajar dengan baik,anak kita sendiri kita risau setiap masa tentang keselamatan,pelajaran dan didikan agmanya.sape yg nk ajar?