Ahad, 22 Januari 2012

JPA kena peka isu guru

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2012/01/22

Letak PTD di kementerian perlu perbincangan: Puad

BATU PAHAT: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengadakan pertemuan dengan persatuan guru bagi menyelesaikan isu menempatkan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam sistem pengurusan di Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata JPA perlu mendengar sendiri suara hati guru dalam isu berkenaan supaya kebimbangan serta keresahan mereka dapat diselesaikan.
Beliau berkata, walaupun cadangan itu sebenarnya bertujuan mengurangkan bebanan guru supaya dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran, isu berkenaan perlu dibincangkan antara kedua-dua pihak.

“Memang ramai guru menyuarakan rasa tidak puas hati, malah kesatuan guru sudah berjumpa saya menyuarakan bantahan mereka.

“Bagaimanapun, kita juga memahami aspirasi guru yang menyatakan hanya mereka memahami permasalahan profesion perguruan negara,” katanya selepas menyampaikan beg perayaan Tahun Baru Cina kepada pengunjung di Kompleks Niaga Taman Makmur dan penduduk sekitar Batu Pahat Garden, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian mengenai 27 kesatuan dan persatuan guru menolak cadangan penempatan PTD dalam sistem pengurusan dan pentadbiran di kementerian itu serta agensi di bawahnya.
Pertubuhan itu yang mewakili 430,000 guru di seluruh negara memutuskan hanya guru berupaya melaksanakan tugasan pengurusan dan pentadbiran dengan berkesan dalam bidang pendidikan.

Dr Mohd Puad berkata, jalan tengah perlu dicari bagi menyelesaikan isu itu tanpa menjejaskan hubungan JPA dan guru.

“Pertemuan segera perlu diadakan supaya tiada pihak rasa teraniaya serta tidak puas hati terhadap cadangan berkenaan.

“Saya yakin JPA tiada masalah mendengar pandangan guru mengenai isu ini dan apa jua keputusan yang dicapai nanti, paling penting pembelaan guru harus sentiasa diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, seramai 38,720 pelajar swasta dan persendirian termasuk pelajar sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri di seluruh negara sudah menerima wang bantuan persekolahan RM100 yang diagihkan secara berperingkat.

“Wang itu sudah dimasukkan ke dalam akaun sekolah sejak Selasa lalu dan kita harap pihak sekolah menyegerakan pemberian wang berkenaan.

“Kita juga berharap pelajar dan ibu bapa yang belum menerima wang berkenaan supaya bersabar kerana fasa kedua pembayaran akan menyusul selepas cuti perayaan ini berikutan senarai sebenar pelajar di sekolah terbabit sedang di peringkat akhir proses kemas kini,” katanya.


Berita Harian Online: 22 Januari 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BETUL...mesti PEKA bukan PEKAK.