Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/01/30
Menafikan peluang kenaikan pangkat cikguKESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.
Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.
Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.
“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.
“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.
“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.
Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).
“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.
“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.
Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.
Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.
Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.
Berita Harian Online: 30 Januari 2012
4 ulasan:
Kelancaran,kemajuan dan peningkatan prestasi Sekolah bergantung kepada sejauh mana tahap kemahiran dan pengalaman seseorang Pengetua mengurus sekolah. Kalau pun PTD dihantar ke sekolah tapi sikap dan pandangan seseorang Pengetua tidak berubah saya percaya semuanya tidak akan ada perubahan.
Pokok pangkal;nya disini ialah Pengetua harus ada kemahiran mengurus yang cekap.
Bukan macam pengetua sebuah sekolah di utara Sabah yang suka-suka sahaja membuat keputusan tanpa membuat perbincangan dengan semua PK-PK apa lagi dengan guru-guru. Akhirnya keputusan yang diambil mengucar-kacirkan sekolah. Apa yang guru-guru buat untuk murid-murid tidak diambil perhatian tapi dalam masa yang sama menginginkan sekolah yang cemerlang.
Bagaimana seorang Pengetua menjadi cemerlang kalau guru-guru yang menjadi tulang belakang dan tenaga utama dalam mencapai misi dan visi sekolah tidak dihargai, kebajikan guru-guru tidak diambil perhatian,prasarana sekolah tidak diambil tindakan sewajarnya.
Jadi, kehadiran PTD tidak akan memberikan perubahan kepada pentadbiran sekolah andainya Pengetua tidak mengubah minda, sikap dan tidak mahu belajar bagaimana sekolah-sekolah yang cemerlang mengurus sekolah.
GPK 1 sebaiknya digelar GPK Akademik atau Kurikulum sahaja. Pentadbiran biar Pengetua / Guru Besar yang urus
Cadangan GPK Pentadbiran ke GPK Akademik memang ngam dan betul. Gelaran GPK Pentadbiran seolah-olah jawatan itu lebih tinggi daripada GPK HEM dan GPK Kokurikulum walhal gred adalah sama dan yang menyedihkan GPK Pentadbiran ini tidak sedar diri, sudahlah lewat dilantik ke DG44 pandai-pandai pula menyuruh GPK yang lain.
Jadi sesuailah gelaran di tukar ke GPK Akademik sahaja.
Ohh dulu guru meminta kata mereka boleh buat hal pentadbiran dan kewangan. Skrg guru katanya terbeban pulak banyak kerja. Aneh betol. Tak faham aku
Catat Ulasan