JOHOR BAHRU 27 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara (SMKTU) menerima Anugerah Keputusan Melebihi Sasaran (ETR) berikutan prestasi cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dengan 99 pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut lulus.
Pengetuanya, Zainab Ali berkata, anugerah itu diperoleh berikutan peratus pelajar yang lulus dalam peperiksaan tersebut dari 98.51 peratus pada 2010 kepada 100 peratus pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 2.51 peratus, selain jumlah pelajar cemerlang dengan semua A dalam mata pelajaran yang diambil meningkat.
"Begitu juga dengan peratus calon cemerlang meningkat daripada 2.99 peratus pada 2010 kepada 9.18 peratus tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 6.19 peratus. Pencapaian tersebut menyebabkan gred purata sekolah (GPS) meningkat sebanyak 0.45 peratus iaitu 3.85 peratus.
"Keadaan itu menjadikan sekolah kita menduduki tangga ke-31 daripada 243 sekolah di seluruh negeri yang terdiri pelbagai kategori termasuk sekolah kluster, premier, sekolah berprestasi tinggi dan sekolah harian sementara di Johor Bahru pada kedudukan ke-10," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Zainab, rahsia kejayaan sekolah adalah komitmen guru, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dipimpin Profesor Madya Edy Tonizam Mohammad serta langkah memastikan semua sukatan pelajaran dihabiskan sebelum Ogos dan disusuli dengan latih tubi 1,000 soalan.
Tambahnya, dari segi motivasi pula pihaknya menganjurkan Majlis Graduasi 2011 pada tahun lalu bagi calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kaedah sama akan diterapkan tahun ini.
Salah seorang pelajar terbaik, Muhammad Hussein Lee, 19, berkata, kejayaan yang dirangkul dengan mendapat 11A adalah hasil hubungan yang tidak putus-putus dengan Allah SWT, serta hubungan yang akrab dengan ibu bapa dan guru.
"Selain belajar bersungguh-sungguh, saya juga mengatur masa dan paling penting mengabaikan Facebook untuk tumpuan sepenuh masa kepada pelajaran," katanya.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Izzati Shahirah Aziz yang mendapat 9A berkata, kejayaannya adalah hasil persaingan sihat, baik dalam kelas mahupun dalam keluarga.
"Selain itu saya cukup komited dengan disiplin yang saya tentukan sendiri iaitu dari Isnin hingga Jumaat saya abaikan langsung permainan video dan Sabtu dan Ahad saya peruntukkan masa dua jam untuk permainan tersebut. Saya juga tidak mempunyai Facebook," katanya lagi.
Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan