SUBANG JAYA 23 Mac - Pendedahan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan seks dilihat kurang berkesan kerana ibu bapa dan guru-guru segan membincangkan perkara itu secara terbuka.
Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr. Kamaruzaman Ali berkata, tidak banyak ibu bapa mampu membincangkan mengenai pendidikan tersebut dengan anak-anak sedangkan mereka adalah individu paling layak.
"Masalah juga timbul apabila terdapat ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai pendidikan itu.
"Keadaan yang sama juga berlaku di sekolah apabila guru-guru segan dan cenderung untuk mengelak daripada menyentuh mengenai topik berkaitan reproduktif dan seks," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Kamaruzaman, walaupun kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan itu secara keseluruhannya semakin meningkat namun masih ramai yang melihatnya dari sudut negatif.
Sedangkan, kata beliau, perkara itu penting memandangkan remaja perlu diberi pendedahan secara komprehensif terhadap langkah pencegahan dan risiko seks.
"Setakat ini kira-kira 40 peratus individu di bawah 29 tahun dijangkiti virus HIV dan statistik itu tidak termasuk penyakit berjangkit lain seperti penyakit kelamin," ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang giat memberi penerangan kepada golongan remaja supaya lebih memahami risiko yang bakal dihadapi sekiranya langkah pencegahan serta perancangan tidak dilakukan dengan teliti.
"Saya perlu tekankan di sini bahawa usaha kami bukan untuk menggalakkan aktiviti seks bebas sebaliknya memberi pendedahan mengenai kemahiran hidup bagi mendidik golongan remaja supaya lebih bertanggungjawab terhadap keputusan yang telah dibuat," jelasnya.
Sementara itu Kamaruzaman turut memberitahu, FRHAM telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2012 bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan kecemerlangan dalam meningkatkan tahap kesihatan penduduk.
"Saya berharap anugerah ini akan memberi inspirasi baru kepada semua kakitangan FRHAM untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat sekali gus mengharumkan nama persatuan," katanya.
Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan