Sabtu, 17 Mac 2012

Sekolah perlu kuasa autonomi

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pihak pengurusan sekolah perlu diberi kuasa autonomi bagi mentadbir dan mengurus sekolah masing-masing ke arah melahirkan pelajar yang berkualiti.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad (gambar) berkata, perkara itu merupakan antara cadangan yang perlu dipertimbangkan kerajaan dalam pembentukan pelan strategik hala tuju sistem pendidikan negara yang bakal digubal.

'Semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran perlu diberi kuasa autonomi untuk merancang sendiri pengurusan supaya institusi tersebut boleh bergerak ke hadapan dalam menentukan kejayaan pelajar.

''Perkara ini telah dilaksanakan di sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dan sekolah berkenaan menjadi pilihan ibu bapa yang sanggup membayar lebih demi kejayaan anak.

''Bagaimanapun, ia perlu dikawal dan dipantau oleh kementerian supaya pelaksanaannya tidak terpesong daripada landasan memperkasakan pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelancaran dialog pendidikan kebangsaan bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam usaha merangka pelan strategik tersebut sebelum ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Mohamed Sabri berkata, kurikulum sekolah juga perlu dibuat semakan termasuk dalam menentukan mata pelajaran wajib dan pilihan yang perlu dipelajari mengikut tahap sekolah.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan ketika ini berada pada waktu terbaik untuk mentransformasi sistem pendidikan negara secara total terutama membabitkan masa depan pelajar Melayu.

Malah, katanya, pihaknya juga telah menghantar memorandum yang mengandungi 100 tuntutan ke arah penambahbaikan pendidikan Melayu kepada Menteri Pelajaran tahun lalu merangkumi transformasi pendidikan di semua peringkat selain bertujuan memperkasa mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Inggeris.

''Kerana itu, dialog pendidikan kebangsaan ini adalah platform terbaik kepada kami untuk memanjangkan cadangan itu kepada kerajaan,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mac 2012

Tiada ulasan: