Rabu, 16 Mei 2012

'Budayakan Guru Penyayang'

ABD. Ghafar Mahmud memegang kad ucapan Selamat Hari Guru bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, Kuala Kangsar selepas melancarkan Program Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan, semalam. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
KUALA KANGSAR 15 Mei - Semua sekolah di negara ini disaran membudayakan program 'Guru Penyayang' bagi menyemai sifat semulajadi dalam kalangan para pendidik selain meningkatkan motivasi para pelajar untuk ke sekolah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, program yang bermula sejak Mac lalu itu dilaksanakan di kira-kira 70 peratus daripada 10,000 sekolah di seluruh negara.
"Berdasarkan kajian Indeks Persepsi Murid (IPM) yang telah kita jalankan sejak program ini dilancarkan beberapa bulan lalu, kira-kira 50.8 peratus murid menganggap guru mereka sebagai penyayang, 46.6 peratus pula sederhana dan 3.6 peratus lagi kurang penyayang.
"Justeru itu, kita harap program ini dapat dilaksanakan 100 peratus di semua sekolah di negara ini kerana secara psikologinya, apabila murid dibantu dengan motivasi dan kasih sayang, ia akan menggalakkan mereka untuk hadir ke sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Guru Penyayang peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, di sini hari ini yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli.
Pada majlis tersebut, Abd. Ghafar turut sama mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah pada awal pagi, selain menyampaikan kad hari lahir. Beliau turut menyaksikan pemotongan kek bagi murid dan guru sekolah berkenaan yang jatuh hari kelahiran pada bulan ini.
Program Guru Penyayang yang antara lain bertujuan menginsafi bahawa kehadiran setiap murid merupakan rahmat dan aset kepada sekolah turut menitikberatkan tiga aktiviti utama bagi fasa pertama pelaksanaannya.
Ia termasuk guru mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada mereka serta melaksanakan program 'Mentor Mantee' bagi mendalami aspek kebajikan dan sahsiah murid, sekali gus para pendidik perlu lebih kreatif dalam merapatkan hubungan bersama.
Dalam pada itu, Abd Ghafar berkata, beliau yakin bahawa pendidikan merupakan penawar utama dalam mengatasi masalah gejala sosial kerana sekolah merupakan ejen sosialisasi utama yang berupaya untuk melakukan sebarang perubahan dari peringkat awal.
Justeru itu katanya, persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi menyumbang kepada pembentukan daya pemikiran kritis, kreatif dan inovatif meliputi aspek rohani dan jasmani selaras Falsafah Pendidikan Negara.
"Statistik Kementerian Pelajaran bagi tempoh lima tahun bermula pada 2007 melibatkan kes pergaduhan, ponteng dan kekemasan diri telah menurun daripada 2.07 peratus kepada 2.05 peratus pada tahun lalu.
"Masalah ponteng sekolah merupakan isu utama yang perlu diberi perhatian, namun kementerian telah berjaya mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ingin dicapai," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2012

Tiada ulasan: