Jumaat, 18 Mei 2012

Memperkasa sistem pendidikan

NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyaksikan MoU antara Ellis Rubinstein (kanan) dengan Naib Canselor UKM, Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (dua dari kiri) selepas mesyuarat kedua GSIAC di Akademi Sains New York (NYAS), New York, semalam. Turut sama, Khaled Nordin (tiga dari kiri) dan Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis. - BERNAMA
NEW YORK 17 Mei - Malaysia bakal menyaksikan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara melalui program 'daripada buaian sehingga kerjaya' termasuk melahirkan pemenang Hadiah Nobel apabila termeterainya lima memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi penyelidikan dan pendidikan di New York.
Program itu yang kini dilaksanakan di 27 buah negeri Amerika Syarikat (AS) dan telah berjaya meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar dari peringkat sekolah sehingga kolej atau universiti diperkenalkan oleh Canselor State University of New York (SUNY), Dr. Nancy Zimpher.
Kerjasama strategik kerajaan Malaysia dengan universiti dan pusat penyelidikan di New York untuk program ini terbahagi kepada tiga komponen iaitu membangunkan modal insan inovatif, memberi fokus kepada penyelidikan dan membawa penyelidikan kepada pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyaksikan pertukaran dokumen lima MoU itu pada mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS) di sini, yakin kerjasama strategik itu bakal mencetuskan pencapaian yang lebih besar dalam bidang pembangunan, penyelidikan dan inovasi dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Menurutnya, MoU pertama ialah antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan NYAS untuk membangunkan program Hadiah Nobel melalui projek Permata Pintar UKM yang bakal menyaksikan pelajar didedahkan dengan set kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Dengan MoU yang kita telah tandatangani antara UKM dan NYAS ini kita boleh gunakan kepakaran mereka untuk bangunkan kurikulum dan ubahsuai Permata Pintar. Ini satu inisiatif yang beri tumpuan kepada pelajar yang mempunyai IQ tinggi supaya pencapaian mereka dapat dtingkatkan lagi," kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU ini iaitu antara Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NYAS, Dr. Ellis Rubinstein.
MoU kedua, jelas Najib ialah kerjasama antara Rangkaian Penyelidikan Universiti Malaysia (MRUN), SUNY dan NYAS antara lain pertukaran pensyarah dan saintis serta penempatan ketua eksekutif syarikat terbitan universiti di institusi berkaitan di New York.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke bandar raya ini menambah, MoU seterusnya ialah mengenai penyelidikan dan pembangunan sumber manusia antara Earth Institute of Columbia University dan Universiti Teknologi Malaysia, selain antara Earth Institute dengan Universiti Sains Malaysia.
Najib berkata, MoU antara Perbadanan Nano Malaysia dengan Pusat Penyelidikan Teknologi Tenaga Lanjutan Stony Brook University, iaitu sebahagian daripada rangkaian SUNY juga dijangka melonjakkan pembangunan teknologi nano negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat GSIAC kali ini turut membincangkan inisiatif membangunkan industri biomas sebagai usaha untuk menjana pendapatan lebih besar untuk negara.
"Kita juga bincang bagaimana teknologi digital boleh digunakan untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar," katanya.
Mesyuarat GSIAC kata beliau, turut membincangkan beberapa inisiatif termasuk projek Rimbunan Kasih iaitu penggunaan teknologi untuk membangunkan kawasan luar bandar dengan projek perintis telah dilaksanakan di Pahang.
"Kita ambil keputusan akan laksanakan projek sama di setiap negeri di Malaysia dan ini sedang giat dilaksanakan antara kerajaan dan Iris Berhad di bawah konsep kerjasama swasta-kerajaan," katanya sambil menambah pembangunan Iskandar Malaysia yang boleh meletakkan Malaysia sebagai satu model pembangunan komprehensif dan holistik turut dibincangkan.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pakar-pakar daripada rakan strategik telah membuat lawatan ke Malaysia dan menaruh keyakinan negara mampu melaksanakan program daripada buaian sehingga kerjaya.
Kerjasama strategik di bawah program daripada buaian sehingga kerjaya ini selain untuk mencapai matlamat melahirkan modal insan inovatif, ia juga langkah menjadikan universiti Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, kata Mohamed Khaled. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2012

Tiada ulasan: