Khamis, 12 Julai 2012

DNPN dapat sambutan luar biasa

SALAH seorang peserta menyuarakan pandangan pada sesi Dialog Nasional Pendidikan Negara di Kota Bharu baru-baru ini.
DIALOG Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April lalu di 15 lokasi di seluruh negara menerusi pertemuan dengan rakyat yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.
Melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik', Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin berkata, pada program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.
Malah, beliau berkata, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pelajaran menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.
''Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.
"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.
''Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir.
''Ini menunjukkan isu-isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya dalam satu wawancara khas di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, di sini baru-baru ini.
DNPN merupakan satu inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.
Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.
Tambah Wan Mohd. Zahid, dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.
Jelasnya, beliau sendiri dan beberapa lagi panel akan berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.
Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.
Katanya, bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama.
''Setakat ini kita telah mengadakan 19 persidangan meja bulat bagi dialog tersebut dan rata-rata respons yang diberikan sangat memberansangkan.
''Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.
''Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global,'' ujarnya.
Setakat ini, lebih 10,808 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.
Jelas Wan Mohd. Zahid, pihaknya dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.
Menurutnya, penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu.
''Kita telah meneliti 118 isu dalam memorandum yang diterima daripada pelbagai pihak dan kita juga mengambil kira input daripada laman sosial kami di Facebook - myedureview2012 dan Twitter - @edureview2012,'' katanya.
Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini.
Katanya, pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.
Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya.
''Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenalpasti.
''Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.
''Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia,'' ujarnya.
Walaupun program jelajah DNPN tiba di lokasi terakhir Johor Bahru Sabtu ini, orang ramai masih boleh menyatakan kritikan, komen, cadangan dan forum secara online melalui laman web Kajian Semula Pendidikan di www.edureview.my.

Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2012

Tiada ulasan: