Ahad, 20 Mei 2012

Gesa tarik balik iktiraf UEC

KUALA LUMPUR 19 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan menarik balik pengiktirafan terhadap Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Dalam masa yang sama Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya turut mendesak mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam dijadikan sebagai subjek lulus peperiksaan awam bermula daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kerajaan harus sedar pengiktirafan sijil peperiksaan UEC telah membawa implikasi kepada perlanggaran sistem perundangan negara. Ini merupakan persoalan serius yang perlu diberikan perhatian.
"Oleh itu Perkasa mahu pengiktirafan ini ditarik balik dengan segera. Jangan lukakan lagi perasaan orang Melayu kerana kaum ini sudah cukup terluka. Jangan jadikan luka orang Melayu semakin parah," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas berakhirnya Sidang Meja Bulat: Kajian Semula Pendidikan Kebangsaan di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Dalam persidangan tersebut sebanyak 13 resolusi telah dihasilkan dan dua antaranya adalah menarik balik pengiktirafan UEC serta memperkasakan pengajaran Pengetahuan Agama Islam di sekolah rendah dan menengah.
Ibrahim berkata, pengiktirafan UEC itu juga bermakna kerajaan telah mewujudkan dua sistem dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan.
"Pengiktirafan ini juga akan menebalkan lagi polarisasi kaum, sekali gus menghalang perpaduan kaum kerana ia menggalakkan murid berketurunan Cina di sekolah jenis kebangsaan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah bantuan dan sekolah persendirian gabungan Cina.
"Perkasa menggesa Kementerian Pelajaran merujuk keputusan kes Merdeka University Berhad lawan Kerajaan Malaysia pada tahun 1982 yang mana permohonan United Chinese School Committees Association (Dong Zong) dan United School Teacher's Association akhirnya ditolak," katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai cadangan menjadikan mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam sebagai subjek lulus peperiksaan awam Ibrahim berkata, sudah tiba masanya semua pelajar Islam dikenakan syarat tersebut.
"Bagi pelajar beragama lain terpulanglah kepada Kementerian Pelajaran untuk memikirkan subjek yang sesuai seperti mata pelajaran Moral. Namun, penekanan Perkasa dalam hal ini adalah khusus untuk pelajar Islam.
"Kita mahu setiap pelajar mempunyai pengetahuan yang kukuh mengenai Islam. Perkasa yakin melalui pendekatan ini sahaja yang boleh membuatkan mereka sentiasa menjaga hukum-hakam, sekali gus mengelakkan daripada terlibat dengan kegiatan maksiat serta tidak bermoral," katanya lagi.
Beliau berkata, Perkasa percaya melalui pendekatan agama ia dapat memastikan masyarakat tidak terdorong melakukan kesalahan dan penyelewengan.
"Kita pernah mendengar kes yang mana mereka yang berpendidikan tinggi melakukan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Sebab apa? Sebab mereka tidak terdidik dengan agama," ujarnya.
Sementara itu beliau di dalam sidang akhbar itu turut mendedahkan mengenai keluhan pegawai kerajaan berhubung tingkah laku Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris ketika mengendalikan mesyuarat.
"Apa yang dilakukan oleh KSN ini tidak menepati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mana memperuntukkan setiap urusan rasmi negara hendaklah menggunakan bahasa Melayu," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dlm hal ni, pendirian PERKASA boleh disokong....tetapi dlm hal politik tak kena fikir sedalam-dalamnya.