HASIL Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang dirumuskan
kepada tiga kategori iaitu operasi, strategi dan dasar akan diserahkan
kepada Kementerian Pelajaran Malaysia selewat-lewatnya Ogos ini.
Sesi dialog yang telah menjelajah ke 15 lokasi akan berakhir di Johor Bahru Sabtu ini. Pada September ini siri jerayawara (road show) untukPelan Pembangunan Pendidikan akan diadakan untuk mendapat maklum balas berkaitan dokumen tersebut daripada rakyat.
Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin
berkata, pihaknya percaya lebih banyak input bakal diperolehi pada
pusingan kedua nanti.
"Kita akan meneruskan jelajah bertemu masyarakat bagi pusingan kedua
supaya rangka tindakan awal itu dapat dikemas kini dengan input-input
yang baru dan bernas.
"Rumusan terakhir rangka tindakan itu akan diserahkan kepada
Kementerian Pelajaran Malaysia pada hujung tahun ini dan pelaksanaan
cadangan-cadangan itu akan dilaksanakan awal tahun hadapan," katanya
dalam satu wawancara khas di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, di sini
baru-baru ini.
Mengulas mengenai tiga kategori yang dirumuskan pihaknya, Wan Mohd.
Zahid berkata, ia sangat bermanfaat kepada kementerian dan memudahkan
urusan pelaksanaan transformasi pendidikan tersebut.
Jelasnya, kementerian akan mengalami kesukaran untuk membuat
pemilihan penyelesaian masalah dan pelaksanaan sekiranya ia tidak
dikategorikan.
"Sebagai contoh, pandangan- pandangan yang disuarakan berkaitan guru
adalah isu operasi seperti pertukaran tempat pengajaran, ia mudah untuk
dilaksanakan.
"Kementerian boleh mengarahkan terus Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau jabatan melaksanakannya.
"Bagi isu strategi sebagai contoh, hendak memberikan latihan intensif
kepada guru dan ada sesetengah pendapat mahukan kemahiran berkomunikasi
di kalangan guru perlu ditingkatkan kerana kementerian menekankan
kemahiran insaniah (soft skills) yang harus diberikan perhatian oleh kementerian," katanya.
Wan Mohd. Zahid berkata, semua pandangan, cadangan, dan kritikan yang dikemukakan oleh rakyat akan diberi perhatian sepenuhnya.
"Mereka (orang ramai) ada mempersoalkan sejauhmanakah kerajaan mengambil pandangan yang mereka kemukakan.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa, kerajaan sememangnya serius dan bukan hanya seperti 'melepaskan batuk di tangga'.
"Ia jelas bukan hanya pada dialog bersama orang ramai tetapi usaha
menerusi perjumpaan meja bulat dan beberapa lagi inisiatif lain yang
dilaksanakan.
"Dalam rumusan kita nanti, kita akan kumpulkan semua pandangan ini
seperti isu operasi, strategi, dan dasar bagi memudahkan kementerian
menjalankan pelaksanaan transformasi," katanya.
Justeru, pihaknya yakin dan percaya bahawa pendekatan yang diambil
dan respons orang ramai dapat membantu Kementerian Pelajaran serta
kerajaan melaksanakan transformasi pendidikan berkualiti dan memastikan
negara kita dapat bersaing di peringkat global di masa akan datang.
Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan