SHAH ALAM 12 April - Kerajaan tidak pernah menganaktirikan atau membeza-bezakan penumpuan penambahbaikan sistem pendidikan di negara ini sama ada melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) atau Tamil (SJKT).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua sekolah itu menerima peruntukan hampir sama setiap tahun malah terdapat SJKC atau SJKT yang mendapat kemudahan lebih baik berbanding sekolah kebangsaan terutama di kawasan pedalaman.
"Apa yang dilakukan sekarang adalah bagaimana warga pendidik sama ada di sekolah kebangsaan, SJKC atau SJKT boleh memberikan tumpuan dalam meningkatkan mutu pendidikan.
"Ini bagi memastikan generasi muda mempunyai ilmu pengetahuan mencukupi sekali gus melahirkan modal insan berkelulusan tinggi untuk membangunkan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan bersama kira-kira 3,000 warga pendidik SJKC dan SJKT di negeri ini sempena program Nurani Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kos hampir sama juga diperuntukkan kepada semua sekolah di negara ini yang mana SJKC secara puratanya mendapat bantuan sebanyak RM2.23 juta setahun.
Katanya, bagi sekolah SJKT pula peruntukan untuk setiap sekolah itu secara puratanya adalah sebanyak RM1.99 juta setahun manakala sekolah kebangsaan pula menerima sebanyak RM2.26 juta setahun.
"Dalam hal ini, ada SJKC yang kekurangan murid namun kerajaan tidak mengambil keputusan menutup sekolah itu malah terus membenarkan ia beroperasi walaupun terdapat seorang murid," katanya.
Muhyiddin menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi sentiasa memberikan perhatian kepada sektor pendidikan apabila hampir 26 peratus bajet setiap tahun yang bernilai berbilion ringgit diperuntukkan kepada sektor itu.
Ia kata beliau, sama ada di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta pengajian tinggi.
"Kita menumpukan soal pendidikan ini kerana menyedari hanya menerusi pendidikan yang baik sahaja generasi muda dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran seterusnya mendapatkan pekerjaan.
"Atas sebab itu kita pastikan sektor pendidikan ini tidak diabaikan," katanya.
Utusan Malaysia Online: 12 April 2012
1 ulasan:
Yalah tu tak dianaktiri. Time pilihan raya tidak dianaktirikan tapi lepas pilihan raya dah menang besar macam 2004 mula asyik keluar keris. Udahlah menipu dah lama dah 55 tahun.
Catat Ulasan