Rabu, 16 Mei 2012

NUTP mahu guru ada ijazah

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2012/05/16

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tenaga pengajar di sekolah seluruh negara adalah guru siswazah 100 peratus sebagai antara pengisian utama transformasi pendidikan negara yang sedang dirangka Kementerian Pelajaran.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata ketika ini dianggarkan kira-kira 45 peratus guru di sekolah rendah masih bukan siswazah, selepas kementerian melaksanakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), yang mensasarkan 50 peratus tenaga pengajar di sekolah peringkat itu adalah lepasan ijazah menjelang 2010.
Beliau berkata, adalah penting untuk semua sekolah rendah dan menengah diisi guru siswazah sepenuhnya demi kepentingan pelajar yang berdepan perkembangan pendidikan semakin mencabar.
Katanya, langkah itu juga akan memudahkan urusan penempatan tenaga pengajar di sekolah.

“Guru yang belum bergelar siswazah berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pelbagai program sedia ada.

“NUTP akan mengemukakan usul ini bersama keseluruhan cadangan lain untuk transformasi pendidikan negara, selepas mengadakan bengkel khas pada bulan depan atau Julai ini.

“Kami akan menjemput pakar yang banyak melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan untuk turut memberi input,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN), yang akan diadakan di 15 lokasi sehingga Julai depan.

Dialog itu bertujuan mendengar pandangan rakyat dalam proses merangka agenda transformasi pendidikan negara.

Selain mendapatkan pandangan semua peringkat masyarakat, ia turut membabitkan sesi perjumpaan dan perbincangan dengan pertubuhan guru, termasuk NUTP.

Yim Pheng berkata, pendidikan negara memerlukan transformasi berterusan untuk memastikannya bersesuaian keperluan negara.

“Saya ingin memperbetulkan persepsi orang ramai. Transformasi dilakukan ini bukan bermakna pendidikan negara tidak bagus, ada banyak masalah atau kelemahan, serta perlu diubah semuanya.

“Sebaliknya, transformasi ini bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan negara dengan kos paling minimum dan sumber manusia dimanfaatkan secara optimum, iaitu yang baik diteruskan, manakala kelemahan pula diperbaiki atau diganti dengan pelaksanaan baru berdasarkan inovasi dan kreativiti,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Mei 2012

Tiada ulasan: