BATU PAHAT 6 Mei - Pelaksanaan pengajaran J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Arab
dan Fardu Ain) di sekolah menengah di seluruh negara yang dijadual
bermula pertengahan tahun ini, akan ditangguhkan kerana masalah
kekurangan guru, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata penangguhan dibuat memandangkan terdapat kekurangan
kira-kira 11,000 guru J-Qaf di sekolah kebangsaan yang sekaligus
menghalang pengajarannya diteruskan ke peringkat sekolah menengah.
"Kita perlu menyelesaikan dahulu kekurangan guru J-Qaf di sekolah
kebangsaan yang menjadi keperluan mendesak ketika ini. Terdapat beberapa
cadangan untuk meningkatkan jumlah guru itu dan ia akan dibincangkan
pada mesyuarat pasca kabinet Kementerian Pelajaran minggu depan bagi
mendapatkan penyelesaian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
agung dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Agama Kampung
Sungai Suloh, Senggarang, di sini, hari ini.
Mohd Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata antara cadangan
kementerian bagi meningkatkan jumlah guru J-Qaf adalah dengan melatih
lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mempunyai latar belakang
pendidikan agama di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebelum diserapkan
menjadi guru.
Beliau berkata kerajaan ada mengambil guru lepasan ijazah dari Timur
Tengah untuk berkhidmat sebagai guru J-Qaf di negara ini, namun, jumlah
itu belum memadai bagi menampung keperluan ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri
Muhyiddin Yassin pada Disember lepas mengumumkan program perintis J-Qaf
di sekolah menengah akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan
pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah seluruh negara.
Muhyiddin berkata pelaksanaan J-Qaf di 4,747 sekolah kebangsaan sejak
2005 itu berkesan apabila 94 peratus murid menguasai empat kemahiran
iaitu Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain. - BERNAMA
Utusan Malaysia Online: 6 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan