Ahad, 5 Februari 2012

MPKPG bela nasib pendidik

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada kerajaan untuk proses semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Jemale Paiman berkata, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk merangka serta meneliti skim tersebut khusus kepada penjawat awam dalam bidang pendidikan.

"Dalam tempoh lapan hari bermula hari ini, kita akan menyiapkan satu kertas cadangan berhubung skala gaji baru kepada penjawat awam dalam bidang berkenaan.

"Antara aspek yang diberi keutamaan adalah isu kenaikan gaji, kenaikan gaji tahunan sebanyak RM80 hingga RM320 serta cadangan merapatkan jurang gaji penjawat awam gred tinggi dengan rendah," katanya dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan majlis taklimat dan mesyuarat SBPA, di sini hari ini.

Menurut Jemale, skim SBPA yang baru diperkenalkan kerajaan dilihat tidak jelas dan kurang menepati keperluan penjawat awam dalam bidang tersebut.

Sehubungan itu katanya, MPKPG akan mengadakan satu perjumpaan segera bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka pada penghujung bulan ini.

"Dalam perjumpaan itu nanti kami akan mengemukakan kertas cadangan berhubung penambahbaikan untuk skim tersebut," katanya.

Sementara itu, MPKPG turut mencadangkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan agar melantik wakil guru dalam Pasukan Petugas Khas Semakan Semula SBPA.

"Tiga nama wakil yang dicadangkan adalah Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamaed Sabri Mohd. Arsad; Presiden Kesatuan Guru Sarawak dan Sabah, William Ghani Bina dan saya sebagai mewakili MPKPG.

"Kita berharap golongan pendidik dapat turut serta dalam pasukan tersebut sebagai usaha memperoleh cadangan serta pendapat daripada golongan ini," ujarnya.


Utusan Malaysia Online: 5 Februari 2012

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

KPM/JPA biasanya akan memilih KPPK. Kesatuan yg lain tu tak begitu dikenali dan ahli pun tak ramai. Selalulnya KPPK yg bersuara lantang berbanding keatuan guru lain.