KUALA LUMPUR 24 Julai - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan membuat keputusan tegas
berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad
ke sekolah.
Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, selain
mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh mewujudkan budaya tidak
sihat dalam kalangan pelajar.
"Langkah membenarkan pelajar membawa telefon bimbit hanya akan
menganggu tumpuan mereka pada sesi pembelajaran ketika berada di dalam
kelas.
"Langkah itu juga dikhuatiri akan mengundang beberapa masalah lain
seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud jurang antara berkemampuan
dan kurang berkemampuan dalam kalangan pelajar," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum ada sebarang keputusan dibuat
terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad
ke sekolah.
Jelas Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara tersebut hanya
salah satu cadangan yang diusulkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin
peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Dr.
Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira perkembangan
teknologi terkini.
Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan alat komunikasi itu turut
dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek kos dan masa.
"Saya bimbang ia akan meningkatkan kos pihak sekolah dalam
menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan elektronik itu kepada
pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses
pembelajaran," ujarnya.
Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji perkara tersebut secara
mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan agar ia
tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi pendidikan negara.
Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan