PAGOH 19 Mei - Tindakan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu
Malaysia (Dong Zong) menarik diri daripada jawatankuasa khas mengatasi
kekurangan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak menjejaskan
usaha penambahbaikan, malah, mungkin memudahkan masalah itu
diselesaikan.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masih ada empat
atau lima badan lain yang meneruskan usaha perbincangan tersebut secara
rasional dan pelbagai idea diutarakan untuk menyelesaikan masalah itu.
"Kalau Dong Zong kata memperjuangkan sekolah Cina, saya hairan
apabila ia tidak mahu menyertai mesyuarat tersebut. Adakah tindakan itu
akan membantu menyelesaikan masalah?
"Sebagai contoh, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong
yang mempengerusikan jawatankuasa khas itu memberitahu usaha melatih
guru tersebut akan mengambil masa sehingga 2018. Saya kata ia terlalu
lama, jadi kita cari jalan termasuk kursus masa cuti," katanya kepada
pemberita di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Pengerusi Dong Zong, Dr. Yap Sin Tian yang
mengumumkan menarik diri daripada jawatankuasa itu dengan dakwaan ia
bukan badan pembuat dasar dan tidak mampu menyelesaikan masalah
melibatkan SJKC.
Muhyiddin mengakui tindakan itu mungkin bermotifkan politik, tetapi
beliau lebih mementingkan usaha mencari penyelesaian bukan sahaja
melibatkan SJKC, tetapi juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan
Sekolah Kebangsaan (SK).
"Setakat ini, beberapa siri mesyuarat antara ahli jawatankuasa khas
itu sudah dijalankan dan menunjukkan kemajuan dengan semua ahli memahami
situasi sebenar SJKC dan inisiatif yang diambil Kementerian Pelajaran,
kecuali Dong Zong," katanya.
Jelas beliau, penambahbaikan melibatkan SJKC adalah menjadi kewajipan
Kementerian Pelajaran kerana semua gurunya dibayar gaji di bawah
kementerian itu dengan kos RM2.8 bilion setahun sementara SJKT pula
RM1.09 bilion setahun.
Katanya, usaha penyelesaian masalah di semua sekolah termasuk SK memerlukan masa dan merupakan proses yang berterusan.
Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan