JIKA keadaan ekonomi mengizinkan, saya percaya ramai ibu bapa akan
menyediakan gajet terkini, terutama telefon bimbit yang menjadi
keperluan dewasa ini. Tetapi persoalannya, adakah wajar anak-anak di
sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah?
Pada hari ini kes jenayah yang memangsakan pelajar sekolah sedang
berleluasa. Ini tidak termasuk isu sosial lain yang melanda pelajar
sekolah yang tidak perlu saya nyatakan di sini.
Sebagai ibu bapa kita semua bimbang kiranya pulang dari sekolah
anak-anak berhadapan dengan bahaya dan sebagainya, bagaimanakah
anak-anak ini dapat menghubungi keluarga ketika kecemasan? Pelbagai
persoalan dan kebimbangan telah meletakkan idea membenarkan pelajar
membawa telefon bimbit kelihatan sangat wajar.
Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira?
Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa
yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa
telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang
pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di
sekolah:
l Tumpuan pelajar terganggu
Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang
masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk
melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan
dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas.
l Jurang stratifikasi sosial di sekolah
Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak
berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa
iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak
berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di
dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin
akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai
kiranya begini keadaan persekitarannya?
l Jenayah kecil-kecilan
Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah
kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh
membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak
kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi
kecurian tersebut.
l Isu sosial
Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk
peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan
sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri,
mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin
tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang
dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain
permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga
pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini
yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?
l Akademik tidak bebas lagi
Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan
bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih
yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara
salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi
dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan,
disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit
bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak
bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik
di sekolah.
Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang
ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi
Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil
tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika
kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah
jelas.
Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.
Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak
melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa
memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.
Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar
dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang
dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh
ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.
Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan