TIDAK dinafikan telefon bimbit atau seumpamanya
sangat penting dalam dunia masa kini. Telefon bimbit sering dikaitkan
dengan kemudahan untuk berhubung antara satu sama lain. Kini, telefon
bimbit bukan hanya dimiliki oleh orang dewasa, malah pelajar-pelajar
sekolah, termasuk pelajar sekolah rendah mahupun prasekolah. Begitulah
pentingnya penggunaan telefon bimbit pada masa kini.
Namun, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membenarkan
pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013 adalah tidak
sesuai, meskipun kita menyedari pentingnya penggunaan telefon bimbit.
Ini kerana ia menimbulkan 1001 persoalan.
Jika alasan ibu bapa digunakan untuk memantau pergerakan anak-anak
bagi memastikan anak-anak berada di sekolah ia bukanlah satu alasan yang
baik.
Hal ini kerana, saya yakin dan percaya sekolah sentiasa memaparkan
nombor telefon yang boleh dihubungi oleh ibu bapa. Malah terdapat juga
sekolah yang memberikan nombor telefon guru kelas kepada ibu bapa bagi
memberi ruang dan peluang untuk ibu bapa bertanyakan tentang
perkembangan anak-anak mereka di sekolah.
Malah, pelajar turut diberi kebenaran menggunakan telefon pejabat jika diperlukan.
Begitu juga jika alasan keselamatan diberikan sebagai cara untuk
membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah ia juga turut tidak
relevan.
Sebabnya, selama ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dan beberapa organisasi kerajaan, termasuklah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) dengan kerjasama pihak media sentiasa mengingatkan para pelajar
tentang tindakan yang patut dilakukan sekiranya berlaku kejadian yang
tidak diingini seperti didekati oleh individu tidak dikenali dan
sebagainya.
Apa yang saya ingin saya utarakan di sini adalah kebenaran membawa
telefon bimbit tersebut walaupun mempunyai draf undang-undang
penggunaannya sewaktu di sekolah, namun saya yakin dan percaya ia sukar
dikawal.
Saya sangat bimbang kebenaran itu akan memberi kesan negatif kepada
pihak sekolah sama ada daripada segi penguatkuasaan disiplin, malah
lebih memburukkan ia mengganggu proses Pengajaran & Pembelajaran
(P&P) dalam bilik darjah.
Ia juga akan menggagalkan pihak sekolah mengesan masalah disiplin
dalam kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar lain akan menghubungi
rakan-rakan yang lain bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh
pihak sekolah.
Lebih membimbangkan gambar-gambar guru akan dirakam malah kawasan
larangan sekolah seperti bilik kebal, pejabat dan sebagainya yang
menjadi kawasan larangan pelajar akan tersebar di Internet.
Saya sekali lagi menyeru pihak KPM menarik balik kebenaran penggunaan
telefon bimbit di sekolah bagi mengelakkan perilaku negatif dalam
kalangan pelajar menjadi lebih buruk.
Utusan Malaysdia Online: 20 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan