Rabu, 22 Februari 2012

Semai di sekolah

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Sekolah menjadi tempat terbaik menyemai semangat menghargai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, sekali gus menjana kekuatan besar demi masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sangat istimewa kerana semangat kerjasama, persefahaman dan perpaduan antara kaum dipupuk sejak sekian lama.


“Ada negara di dunia yang mengamalkan satu agama, tetapi berpecah kepada puak tertentu, ada juga negara yang mempunyai kepelbagaian agama, tetapi sering kali berlaku ketegangan berpunca daripada perbezaan kepercayaan, bagaimana sesebuah negara boleh maju jika tidak aman.

“Sehubungan itu, golongan pendidik, guru, ibu bapa dan anak-anak, jangan sentuh sensitiviti agama sebaliknya hormati kelainan yang ada pada kita demi masa depan negara,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mahmud Karim.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah perlu mengambil inisiatif menganjurkan program tertentu bagi memupuk perpaduan, toleransi dan kepelbagaian antara murid.

“Pada tahun ini, tema Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia hasil cetusan idea Raja Abdullah ke-2 dari Jordan ialah ‘harmonize’ dan di Malaysia, tafsiran paling hampir serta popular adalah menggalakkan muhibah di kalangan penganut pelbagai agama.


“Kita sudah mengamalkannya sekian lama, kita saling menghormati dan keistimewaan ini perlu syukuri kerana dengan nikmat ini Malaysia mencatat kemajuan seperti hari ini,” katanya.

myMetro: 22 Februari 2012

Tiada ulasan: