KUALA LUMPUR 12 Mei
- Langkah pengurusan sekolah mengadakan pelbagai program bagi
membangkitkan semangat pelajar untuk terus cemerlang dalam akademik amat
dialu-alukan.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Raja Datuk
Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik berkata, usaha itu perlu bagi memastikan
para pelajar mempunyai nilai tambah sebelum menamatkan persekolahan
mereka.
"Langkah menganjurkan program bertujuan mendedahkan para pelajar dengan ilmu tambahan sepatutnya dilakukan secara berterusan.
''Dengan adanya usaha sebegitu sudah tentu dapat mendedahkan pelajar
kepada bidang kerjaya yang lebih luas," katanya pada majlis perasmian
Seminar Penulisan Kreatif Sekolah Menengah Taman Datuk Harun di sini
hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Khas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, Datin Wong Fong Leng.
Seminar yang diadakan tersebut mendedahkan para pelajar dengan cabang penulisan kreatif.
Ia dikendalikan oleh novelis Ramlah Rashid yang pernah menghasilkan
novel seperti Biarkan Indah Berlalu, Lara Di Jiwa Ajym dan Kemboja Di
Hati.
Tambah Hanipuddin, penganjuran seminar penulisan tersebut dapat
membuka minat pelajar dalam lapangan penulisan sekali gus meningkatkan
prestasi penulisan bahasa Melayu.
"Ramai dalam kalangan penulis novel berjaya membina kerjaya dan
mengecapi kehidupan yang lebih selesa. Justeru para pelajar yang hadir
perlu memanfaatkan peluang ini demi menambahkan pengetahuan
masing-masing," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 13 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan