Isnin, 25 Ogos 2008

108,000 mohon jadi guru

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
KUALA TERENGGANU 23 Ogos - Kerjaya perguruan kini menjadi pilihan nombor satu golongan muda apabila seramai 108,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengemukakan permohonan untuk memasuki 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, angka tersebut tidak termasuk mereka yang memohon menerusi beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk Universiti Perguruan Tanjung Malim (UPSI) yang menawarkan pengajian pendidikan guru.
Menurutnya, walaupun sebahagian besar mereka yang memohon memasuki IPG tahun ini mempunyai kelayakan, namun hanya 5,000 pemohon melepasi saringan dan terpilih.
''Berdasarkan jumlah permohonan yang meningkat secara mendadak dalam tempoh dua tiga tahun kebelakangan ini, ia membuktikan profesion perguruan kini menjadi pilihan utama pelajar.
''Kita jangka pemilihan 5,000 daripada 108,000 yang memohon adalah mereka yang terbaik daripada yang terbaik," katanya selepas merasmikan program Jantung Sihat Sokmo di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Permint Jaya di sini hari ini.
Pelbagai program menarik termasuk pameran dan pemeriksaan jantung secara percuma diadakan dalam program anjuran bersama JKKK dan pelajar Diploma Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Terengganu itu.
Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, IPG secara rasminya akan dinaikkan taraf sebagai institusi pengajian yang bakal menawarkan graduan dalam ijazah perguruan dan diploma apabila Rang Undang-Undang mengenai pindaan Akta Pelajaran yang dibahaskan di Parlimen sekarang diluluskan.
Katanya, apabila Pindaan Akta Pendidikan 1966 (Pindaan 2008) digubal, ia sekali gus menaiktaraf profesion perguruan negara.
Menurutnya, kesemua 27 IPG di seluruh negara akan mengeluarkan guru berijazah selepas pindaan akta tersebut.
Pindaan tersebut katanya, antara lain bertujuan menaik taraf dan memperkasa status IPG, meningkatkan lagi imej profesion perguruan serta kualiti pendidikan di negara ini.
"Ini adalah antara langkah kementerian dalam usaha mencapai kadar 100 peratus guru berijazah di sekolah menengah dan 50 peratus di sekolah rendah menjelang 2010," katanya.
Razali menambah, apabila akta itu dipinda para pensyarah di IPG yang kebanyakannya pada kedudukan Gred DG44 akan berpeluang naik sehingga DG54 iaitu sama taraf dengan jawatan seorang Profesor Madya dan Jusa C yang sama kedudukan dengan seorang Profesor di universiti.
Katanya, sekarang ini telah ada laluan ke arah itu dan kerajaan yakin status pensyarah di IPG akan turut mengalami perubahan melalui pindaan-pindaan yang dilakukan terhadap beberapa seksyen di bawah Akta Pendidikan 1996.

Utusan Malaysia Online: 24 Ogos 2008

Tiada ulasan: