Rabu, 29 Oktober 2008

Kementerian perlu kaji keberkesanan subjek Sejarah di sekolah rendah

Oleh Amir Hamzah Nordin


DUA kesatuan guru mahu Kementerian Pelajaran melakukan kajian menyeluruh dan terperinci sebelum memperkenalkan subjek Sejarah di peringkat sekolah rendah.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Jemale Paiman, berkata kesatuan tidak menghalang subjek berkenaan diajar tetapi memerlukan penelitian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

“Bagus untuk meningkatkan jati diri murid kerana topik berkaitan sejarah pernah diajar di peringkat rendah sebelum Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah diperkenalkan pada 1983.

“Topik berkaitan sejarah, geografi dan sains diletakkan di dalam komponen mata pelajaran Alam dan Manusia sebelum dimansuhkan,” katanya diminta mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan subjek berkenaan diwajibkan di sekolah rendah bermula tahun 3, baru-baru ini.

Jemale berkata, jangan terburu-buru memperkenalkan subjek baru kerana penjadualan di peringkat sekolah rendah perlu dikaji bagi memasukkan mata pelajaran berkenaan.

“Jangan membebankan murid kerana dibimbangi memberi kesan psikologi, sekali gus mengganggu proses pembelajaran mereka.

“Saya bimbang apa yang dihasratkan akhirnya membawa kesan buruk kerana ketika ini sudah ada sebelas mata pelajaran termasuk empat daripadanya dinilai menerusi Ujian Penilaian Sekolah Rendah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Sabri Arsad, berkata Kementerian harus membincang isu berkenaan di meja perundingan sebelum melaksanakannya.

“Pertubuhan bukan kerajaan, persatuan sejarah, kesatuan guru, majlis guru besar serta pengetua, malah Persatuan Ibu Bapa dan Guru patut dibabitkan sama dalam perbincangan.

“Kita tidak mahu pengenalan subjek berkenaan membebankan ibu bapa, guru dan masyarakat kerana pelaksanaan tanpa kajian terperinci bakal mengundang masalah,” katanya.

Sabri berkata, program berunsur patriotik wajar diselitkan dalam semua kegiatan pembelajaran bagi meningkatkan tahap patriotisme dan sayang akan negara di kalangan pelajar.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2008

Tiada ulasan: