Khamis, 30 Oktober 2008

Kerjaya guru kian mencabar

Oleh Ruhaiza Rusmin

GELARAN guru, pensyarah, profesor atau pendidik, peranan golongan itu cukup besar dalam mencorak, mendidik dan melahirkan generasi berilmu.

Meskipun sudah merentasi zaman dan peradaban, kerjaya ini tetap unggul selain mendapat sanjungan masyarakat global.

Kerjaya yang diiktiraf sebagai antara kerjaya tertua di dunia, perkataan guru berasal daripada bahasa Sanskrit.

Sebelum era kemerdekaan, peranannya lebih kepada memberi pendidikan bagi membantu masyarakat keluar daripada kepompong buta huruf dan menaikkan taraf kehidupan.

Selepas merdeka, peranan itu semakin luas. Fungsinya mula mencakupi pelbagai bidang seperti kemahiran, penyelidikan, forum dan industri.

Guru adalah istilah bagi merujuk seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang. Di universiti, ia dirujuk sebagai tutor atau pensyarah.

Dalam kepercayaan agama tertentu, golongan ini membawa maksud lebih tinggi dan merujuk kepada seseorang yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal berkaitan kerohanian.

Golongan ini perlu mahir dalam sesuatu subjek serta perlu mengukuhkan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran.

Meskipun menggunakan kaedah berlainan, asas serta objektif pendidikan tetap sama.

Untuk menjadi guru yang baik, pemilihan dan penilaian bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, malah latar belakang, kesungguhan, matlamat serta mencintai bidang pendidikan.

Tugas dan amanah berat yang menanti turut memerlukan golongan itu melengkapkan diri dengan sahsiah diri positif serta tahu menggunakan kemahiran bagi menjalankan tanggungjawab.

Tidak hanya menumpukan pada pembelajaran semata-mata, guru juga harus peka kepada kehendak serta perubahan persekitaran bagi memantapkan kaedah pengajaran sedia ada.

Mereka yang ingin menceburi kerjaya ini memerlukan kelayakan setara sekurang- kurangnya diploma hingga doktor falsafah.

Selain maktab perguruan, kebanyakan institusi pengajian tinggi di negara ini juga menawarkan pengkhususan bidang perguruan.

Antara IPT tersohor negara yang menawarkan profesion itu ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Institusi luar pula ialah Kirkby College, Liverpool dan University of Surrey, United Kingdom.

Sumbangan guru mendapat pengiktirafan negara apabila tarikh 16 Mei setiap tahun dipilih sebagai Hari Guru.

Hari Guru Antarabangsa pula ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 5 Oktober setiap tahun.

myMetro Online: 29 Oktober 2008

Tiada ulasan: