Jumaat, 31 Oktober 2008

Nisbah guru mesti diseimbang

Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kelebihan tertentu calon lelaki dalam mempertimbangkan permohonan mereka memasuki profesion keguruan, bagi membantu mengimbangi nisbah golongan itu dengan bilangan guru wanita yang semakin ramai.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata penilaian terhadap calon lelaki yang mahu menyertai profesion keguruan itu akan dibuat bukan hanya berdasarkan merit pencapaian akademik, tetapi turut mengambil kira aspek lain.

Katanya, keseimbangan nisbah guru perlu bagi membolehkan pelajar bukan saja memperoleh bimbingan guru wanita yang diibaratkan seperti ibu yang mampu menyentuh naluri, khususnya dalam menangani kes disiplin tetapi juga mendapat didikan guru lelaki sebagai model ayah.

Sambil menyifatkan jurang nisbah guru wanita dan lelaki adalah fenomena semasa global, beliau berkata, kira-kira 60 peratus guru di sekolah seluruh negara ketika ini adalah wanita berbanding hanya 40 peratus guru lelaki.

"Justeru, bagi calon lelaki yang agak kurang segi pencapaian akademik, kementerian akan mempertimbangkan permohonan mereka dengan memberi penilaian kelebihan kokurikulum.

"Kementerian juga mengambil kira lokasi calon berkenaan yang mungkin memerlukan penempatan guru lelaki, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan pelbagai pihak, termasuk pendidik veteran, bahawa 'kebanjiran' guru wanita berbanding lelaki di sekolah antara faktor utama peningkatan kes disiplin pelajar yang dikatakan tidak lagi gerun kepada mereka.

Pada 16 Oktober lalu, guru mata pelajaran Sivik di Sekolah Menengah Perlis (SMP), Azahana Ibrahim, ditendang beberapa kali di perut oleh seorang pelajar perempuan selepas pertengkaran berhubung nota `gila babi' yang ditulis pelajar terbabit pada kertas tugasannya.

Sambil menegaskan kejadian masalah disiplin di sekolah bukan berpunca daripada bilangan guru wanita yang lebih ramai, Razali berkata, kes berkenaan secara keseluruhannya masih terkawal dengan hanya membabitkan kira-kira dua peratus daripada 5.8 juta pelajar sedia ada.

Sementara itu, beliau berkata, langkah kementerian menambah ruang dan peluang kepada calon lelaki memasuki profesion keguruan bukan bertujuan mendiskriminasi wanita, sebaliknya untuk mengimbangi didikan kedua-dua golongan berkenaan kepada pelajar.

"Jumlah permohonan calon lelaki memang kurang berbanding wanita. Antara faktornya ialah mungkin golongan lelaki meminati atau cenderung kepada bidang kerjaya yang lebih mencabar dan menguji kekuatan fizikal mereka.

"Dalam soal ini, isu gaji tidak timbul kerana pendapatan profesion keguruan adalah lumayan di samping menikmati pelbagai faedah perkhidmatan disediakan kerajaan.

"Justeru bagi menarik minat penyertaan lebih ramai golongan lelaki, kementerian berusaha melakukan promosi kerjaya ini kepada pelajar dari peringkat sekolah lagi," katanya.

Berita Harian Online: 30 Oktober 2008




Tiada ulasan: