Isnin, 1 Ogos 2011

Pengetua teraju kecemerlangan sekolah


Sebahagian daripada pengetua yang hadir pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-50 Tahun 2011 di Subang Jaya, Selangor, Jun lalu.


Pengetua merupakan orang penting yang boleh mencorakkan pencapaian cemerlang sesebuah sekolah melalui keterampilan, dedikasi dan keperibadian yang ada pada dirinya.

Ilmu kepengetuaan pula ialah memiliki kemahiran mentadbir dan mengurus, kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan lain-lain kemahiran yang boleh membantu mempercepatkan lagi pencapaian dan kecemerlangan sekolah.

Demikianlah antara intisari ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-50 di Subang Jaya, Selangor, Jun lalu.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Majlis Pengetua Sekolah Menengah dengan tema 'Kepimpinan Holistik Menjana Transformasi Pendidikan Negara'.

Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, transformasi dalam bidang pendidikan perlu dilakukan secara berterusan terutama bagi melahirkan modal insan yang holistik yang mampu mengharungi segala cabaran sama ada di peringkat domestik atau global.

Tidak dapat dinafikan bidang pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan itu, peranan kepimpinan pengetua sering dijadikan fokus utama.

Dalam hal ini pencapaian sesebuah sekolah tidak dilihat dari pencapaian akademik semata-mata tetapi yang lebih penting dapat melahirkan pelajar yang holistik iaitu mempunyai kemahiran intelek, sosial, fizikal dan berkeupayaan menyesuaikan diri dalam apa sahaja situasi dan keadaan.

Banyak kajian telah dilakukan untuk melihat faktor kejayaan sesebuah sekolah dan ramai di kalangan mereka berpendapat peranan pengetua dan ditambah memiliki ilmu kepengetuaan adalah faktor yang signifikan.

Kepimpinan yang berkualiti dan holistik akan dapat mengubah sekolah yang hanya dalam keadaan biasa kepada sekolah yang berkesan atau cemerlang.

Dalam usaha untuk melahirkan sekolah cemerlang itu, ada beberapa kriteria yang perlu dimiliki oleh pengetua, antaranya mereka mestilah merupakan seorang yang berwawasan.

Oleh itu, bagi mencapai hasrat tersebut sebagai pemimpin utama di sekolah mestilah mempunyai perancangan dan strategi tertentu. Bagi mencapai hasrat tersebut mereka juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama kuat daripada semua peringkat warga sekolah.

Bagi mencapai matlamat ke arah negara maju seperti yang digariskan dalam dasar negara, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan dan garis panduan tertentu untuk dilaksanakan oleh semua sekolah.

Justeru pengetua mestilah berupaya untuk memahami dan sentiasa mengamalkan dasar-dasar yang telah disediakan, keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada tindakan memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki oleh pengetua berkenaan.

Dari segi peribadi pengetua yang berkesan kebiasaannya memiliki sifat dedikasi, bertanggungjawab, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah berputus asa.

Kemahiran atau memiliki ilmu kepengetuaan akan dapat membantu pengetua melaksanakan tugas dengan lancar. Pendekatan kepimpinan yang holistik dengan menggunakan pelbagai gaya kepimpinan akan dapat mempengaruhi orang bawahannya supaya bekerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pengurusan sumber manusia terutama keupayaan menguruskan guru dan pelajar secara berkesan akan dapat membantu mencapai matlamat sekolah dengan cepat. Guru merupakan aset penting kepada sekolah.

Dengan memberikan 'empowerment' dan kepercayaan akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan yakin dan sedia memberi sokongan kepada perancangan yang telah disediakan.

Pengetua yang berkesan tidak akan mengabaikan hubungan baik dengan ibu bapa dan komuniti. Pelbagai aktiviti perlu diadakan secara berterusan.

Masalah disiplin pelajar, kekurangan dana dan sebagainya dapat diatasi melalui perkongsian pintar dengan pihak-pihak di luar sekolah terutama dengan ibu bapa.

Peranan pengetua adalah penting bagi membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan khususnya dalam melahirkan warga negara yang kompeten, bertanggungjawab dan sedia menghadapi cabaran masa depan.

Utusan Malaysia Online: 1 Ogos 2011

6 ulasan:

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Bila membaca artikel ini, ianya tidak bertepatan dengan sentuhan seorang Pengetua tempat anak aku belajar di Bachok.

Tanpa Nama berkata...

Kau contact Tan Sri Alimudin, minta senarai pengetua yg memenuhi kriteria di atas. Lepas tu kau tukarkan anak kau drp sekolah skrg.

guru lama berkata...

Saya PK di sekolah, saya tahu apa dan setakat mana tindakan seseorang Pengetua.

Jadi, kenyataan TPM ada betul dan ada tidak betulnya.

Aku geleng-geleng kepala sahjalah

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Saya ingin merujuk kepada :

"Tanpa Nama berkata...
Kau contact Tan Sri Alimudin, minta senarai pengetua yg memenuhi kriteria di atas. Lepas tu kau tukarkan anak kau drp sekolah skrg.

2 Ogos 2011 8:35 PM"

Kepada tuan yang budiman, perkara tukar sekolah bukan isu di sini. Kenapa anak saya yang perlu ditukar sekolah?? dan mengapa tidak diletakkan kepada Pengetua (guru)?!
Anak saya tidak terbabit dengan Pekeliling Pertukaran Penjawat Awam yang boleh bertukar kemana sahaja !

saya cuba membangkitkan kompetensi yang diperkatakan oleh Tan Sri Alimuddin. Dan ianya tidak memenuhi sentuhan dan boleh diaplikasikan kepada Pengetua yang saya maksudkan.

Kepada Tanpa Nama berkenaan, sila beranikan diri untuk memperkenalkan diri tanpa berselindung disebalik Tanpa Nama !

Dan jika tuan seorang guru, saya yakin tuan tidak sesuai untuk berprofesyen sebagai guru dan tidak layak dicalonkan sebagai Pengetua atau PK.
Dan jika tuan seorang Pengetua @ PK, ianya adalah malang bagi kerajaan Malaysia yang mempunyai seorang guru yang berfikiran sempit.

Tanpa Nama berkata...

Skema punya bapak...fikiran luas konon...pooorahhhhhh

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

Merujuk:
Tanpa Nama berkata...
Skema punya bapak...fikiran luas konon...pooorahhhhhh

3 Ogos 2011 10:10 AM

Jawaban saya:

Seorang guru sepatutnya berfikiran 'out of the box'.
Namun masih ada lagi spesis guru yang masih bawah kepompong .. (memalukan profesyen perguruan).
Mungkin bermentaliti kelas 3.