Selasa, 28 September 2010

Kesatuan guru selar kenyataan Kit Siang

2010/09/28

JERANTUT: Kesatuan guru menyelar kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan seperti pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbaur perkauman.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Jemale Paiman, berkata Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan.

“Diharap pihak pembangkang jangan memanaskan keadaan dengan menuntut sebarang tindakan susulan terhadap pengetua terbabit kerana siasatan sedang dilakukan dan harus melalui saluran yang betul sebelum menjatuhkan hukuman.

“Dakwaan Kit Siang itu seolah-olah mendahului keadaan serta tidak mengikut saluran,” katanya yang menghubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Kit Siang kononnya Menteri Pelajaran enggan menggunakan kuasanya mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulai Jaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Jemale mahu semua pihak menyerahkan perkara berhubung isu itu diselesaikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut saluran dan peruntukan sedia.

“Hanya pihak kerajaan yang melantik pegawai kerajaan yang boleh menarik kembali kuasa pegawai terbabit dan bukan orang politik,” katanya.

Berita Harian Online: 28 September 2010

Tiada ulasan: