Sabtu, 4 September 2010

Ustazah, anak dibunuh dalam bilik air


POLIS memeriksa flat di Jalan Sutera Lama, Port Dickson (anak panah) tempat Norliza dan anaknya Amirul Ayman ditemui mati dibunuh semalam.


PORT DICKSON – Seorang ustazah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir bersama anak lelakinya ditemui mati di dalam bilik air dengan kepala kedua-dua mangsa dibungkus dengan kain sarung di tingkat satu rumah flat di Jalan Sutera Lama di sini semalam.

Mayat Norliza Ishak, 35, bersama anaknya, Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10, ditemui oleh rakan sekerjanya iaitu guru Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini pada pukul 10 pagi.

Mayat kedua-dua beranak yang menyewa di flat tersebut ditemui dalam keadaan terlentang dengan kaki dan tangan masing-masing diikat.

Kepala kedua-dua mangsa pula dibalut dengan kain sarung.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku antara pukul 4 petang hingga 5 petang kelmarin sebelum dua beranak itu berbuka puasa.

“Mayat dua beranak itu ditemui rakan sekerja ustazah itu selepas rakan mangsa mendapati mangsa dan anaknya tidak hadir ke sekolah selain mereka tidak dapat dihubungi,” kata beliau di sini semalam.

Kosmo Online: 4 September 2010

Tiada ulasan: