2010/09/22
SAYA ingin meluahkan nasib guru di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), seluruh Malaysia. Rata-rata guru SBP terdiri daripada guru yang baru posting dan majoritinya kurang pengalaman daripada 10 tahun mengajar. Bagaimana untuk menghasilkan modal insan yang cemerlang untuk negara kelak. Kenapakah keadaan sedemikian berlaku?Jika anda yang bekerja keras semata-mata untuk naik pangkat ke peringkat yang lebih tinggi sama ada untuk menjawat jawatan di pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pelajaran negeri (JPN), malah Kementerian Pelajaran, berkhidmat terlalu lama di SBP bukan saluran yang terbaik. Sekadar mencari pengalaman mengajar pelajar genius sudah cukup. Peluang untuk menduduki jawatan pada peringkat lebih tinggi amatlah sempit. Lebih baik bertukar ke sekolah harian kerana di sana peluang lebih terbentang luas. Tidak dapat dinafikan, markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) adalah penunjuk kepada prestasi seseorang. Tetapi dari segi markah ini, masih ramai juga yang mendapat markah yang tinggi. Jadi bagaimana pula kaedah pemilihan dijalankan? Tidak lain tidak bukan adalah populariti guru terbabit di kalangan pihak atasan akan menjadi faktor pemilihan dan SBP bukanlah tempat untuk seseorang mendapat populariti ini.
Tiada apa dibanggakan bagi guru SBP, memperoleh keputusan peperiksaan cemerlang, tiada sesiapa pun hairan kerana pelajarnya adalah genius, walaupun guru sandaran yang mengajar pelajar boleh mencapai keputusan cemerlang. Namun, jika keputusan tidak memberangsangkan, guru SBP terlebih dulu dipersalahkan.
Ini pun juga suatu populariti, tetapi bukan populariti untuk naik pangkat, tetapi untuk menyekat peluang kenaikan pangkat. Sekarang pun SBP sudah dinaikkan taraf dari sebuah unit, kepada sektor dan kepada bahagian.
Maka kekosongan jawatan pada peringkat bahagian bertambah dan paling malang untuk guru SBP, kekosongan ini bukan untuk anda semua, tetapi terbuka kepada sesiapa dari mana-mana guru. Bahagian SBP sendiri pun tidak mempedulikan nasib kami, apatah lagi daripada pihak PPD mahupun JPN.
GURU SBP,
Selangor
Berita Harian Online: 22 September 2010
1 ulasan:
http://amanarab.blogspot.com/2010/09/peluang-naik-pangkat-guru-tipis.html
Catat Ulasan