|
|
MUAR 27 Mac - Kepantasan seorang guru wanita melaporkan insiden gangguan seksual terhadap pelajar sekolahnya sehingga suspek ditahan, membolehkannya menerima penghargaan dalam sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini kelmarin.
Rosmah Kaharuddin, 47, yang merupakan kaunselor pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Muar telah menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.
Jelas Rosmah, kerjasama antara pihak polis dan sekolah adalah amat penting dalam memastikan keselamatan para pelajar di dalam sekolah dan di luar kawasan sekolah.
"Dalam kejadian itu, pelajar-pelajar perempuan sekolah saya telah diganggu seorang lelaki di luar kawasan sekolah yang suka membuka pakaian di khalayak ramai.
"Bimbang kepada keselamatan para pelajar, saya membuat laporan polis dan selepas tangkapan dibuat, rupa-rupanya lelaki itu melakukan kes yang serupa di banyak tempat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, hubungan baik antara masyarakat dan polis membawa pelbagai manfaat dan kerjasama baik tersebut sewajarnya diteruskan.
Dalam majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 peringkat IPD Muar, Mohamad Nasir turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada tujuh orang awam yang memberi kerjasama baik dan pelbagai sumbangan kepada pihak polis.
Di samping itu, seramai 19 pegawai dan anggota dari IPD berkenaan diberi penghargaan di atas kejayaan dalam membanteras dan menyelesaikan kes jenayah di daerah ini.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Pasukan T-Baton Wanita IPD Muar serta pertunjukan kawad kaki dari Kadet Polis SMK Dato Sri Amar Diraja Muar.Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2011
1 ulasan:
Tahniah Puan Rosmah Kaharuddin.
Tindakan segera puan amat dihargai oleh semua ibubapa.
Semuga semua guru akan sentiasa proaktif kepada perkara KESELAMATAN pelajar.
- bapa prihatin, jelawat, bachok.
Catat Ulasan