Sabtu, 19 Mac 2011

Tingkatan Enam perlu dirombak

2011/03/19

TINGKATAN Enam atau prauniversiti adalah pendidikan alternatif bagi lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran. Namun, Tingkatan Enam sering dianggap tidak glamor dan pilihan terakhir bagi pelajar dan ibu bapa.

Tanggapan pelajar, ibu bapa dan masyarakat pada masa ini terhadap Tingkatan Enam amat mendukacitakan berbanding pada 1970-an, 80-an dan 90-an dan tanggapan pelajar di bandar juga berbeza dengan pelajar desa.

Tingkatan Enam tidak popular berbanding kolej swasta yang tumbuh bagai cendawan dan tidak tentu hala tujunya. Masalahnya, tanggapan serupa ini berterusan kerana tiada pihak yang mahu memartabatkan kepentingan belajar di Tingkatan Enam.

Kerajaan melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) atau Kementerian Pengajian Tinggi tidak serius menguar-uar Tingkatan Enam sebagai pendidikan lanjutan penting untuk melangkah ke peringkat ijazah sedangkan MPM sedar akan kepentingannya.

Keadaan ini menyebabkan Tingkatan Enam atau prauniversiti ‘hidup segan mati tidak mahu’ dan semakin dilupai. Pelajar lepasan SPM ‘agak malu’ untuk ke Tingkatan Enam dan lebih suka belajar di kolej swasta yang dianggap ‘standard’ dan ‘glamor’.

Peratusan pelajar ditawarkan ke Tingkatan Enam adalah tinggi tetapi yang mendaftar di Tingkatan Enam cuma lima hingga 10 peratus dan selebihnya memilih kolej swasta atau bekerja.

Sayang seribu kali sayang, pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Enam jika tidak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menjadi generasi ketinggalan untuk pendidikan lebih tinggi kerana kurang kesedaran dan tidak didedahkan kepada pendidikan di Tingkatan Enam.
Pihak tertentu seperti MPM dan Kementerian Pelajaran mesti lebih proaktif mempopularkan Tingkatan Enam, terutama kini kerajaan memperkenalkan perjawatan baru kepada guru Tingkatan Enam. Tidak mungkin sekolah yang ada Tingkatan Enam bersendirian mempromosikan dan cuba mempopularkannya tanpa pembabitan dan komitmen pihak lebih berwibawa. Langkah proaktif mesti dilakukan oleh MPM dan KPM dalam memartabatkan Tingkatan Enam.

Ada khabar menyatakan Tingkatan Enam akan berubah ke sistem modular (sistem semester) dan sukatan pelajarannya akan berubah pada tahun ini iaitu bermula kemasukan pelajar lepasan SPM 2011 tetapi tiada satu rencana akhbar, internet atau iklan pun terpapar di akhbar atau televisyen mengenai pembelajaran di Tingkatan Enam.

Cubalah bandingkan iklan atau rencana mengenai kolej swasta dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sesi pembelajaran Tingkatan Enam 2011 akan bermula beberapa bulan lagi tetapi hingga kini, maklumat mengenai sukatan baru, sistem pembelajaran, sistem penilaian/pentaksiran dan sebagainya masih belum didedahkan.

PELAJAR PRAUNIVERSITI 2010/2011,
Ampang

Berita Harian Online: 19 Mac 2011

5 ulasan:

kamanuk berkata...

Sebaik-baiknya ada bangunan khas untuk pelajar tingkatan enam disetiap daerah diseluruh negara.Buat satu sekolah berpusat dengan kemudahan asrama yang selesa dan sesuai dengan tahap pelajar tingkatan 6.
Sebabnya;-
1. Pelajarnya adalah Prauniversiti
2. pengurusan t6 tidak sama dengan
menengah
2. tenaga pengajarnya kena panggil
en/pn pensyarah
3. masa belajar dari pagi hingga ke
petang. Ini membebankan pelajar
yang pulang jauh
4. sistem pembelajarannya sangat
berbeza dengan menengah

5. T6 setaraf dengan
Diploma/matrikulasi/asasi sains
dimana ketiga-tiga ini ada
bagunan sendiri sementara semua
pelajar t6 belajar di sekolah
harian biasa.

Semua di atas adalah sebagai cadangan untuk memertabatkan T6 sama seperti program diploma/matrikulasi dan asasi sains

Tanpa Nama berkata...

stuju dengan kamanuk.
silibus? sistem akademik?
1 Daerah - 1 sekolah PraUni.

- ibubapa prihatin, jelawat, bachok.

Zaid Akhtar berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

"Ada khabar menyatakan Tingkatan Enam akan berubah ke sistem modular (sistem semester) dan sukatan pelajarannya akan berubah pada tahun ini iaitu bermula kemasukan pelajar lepasan SPM 2011 tetapi tiada satu rencana akhbar, internet atau iklan pun terpapar di akhbar atau televisyen mengenai pembelajaran di Tingkatan Enam."

ps: sefaham saya, kalau lepas SPM 2011, maknanya ia kan bermula pd pengambilan Ting 6 Rendah pertengahan 2012. tahun depan sistem modular bermula, bukan tahun ini.

kamanuk berkata...

Kepada semua guru yang prihatin dengan nasib guru dan pelajar T6, mari sama-sama kita desak semua yang berwajib supaya jangan buat janji-janji politik sahaja. Kita kena perkasakan Tingkatan 6 setaraff dengan Diploma,matrikulasi dan Asasi Sains.

MARI-MARI PERKASAKAN TINGKATAN ENAM

Bukan cakap-cakap dan janji-janji retorik sahaja.../