Rabu, 21 September 2011

3 murid dibenar ambil UPSR

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2011/09/21


Muhyiddin kecewa guru besar sekat hak pelajar, arah ambil tindakan

DUNGUN: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak yang tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana dianggap lemah, dibenar menduduki peperiksaan itu dalam tempoh empat minggu lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil meluahkan dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid iaitu Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, setiap pelajar yang mendaftar mengambil peperiksaan awam, mesti diberi peluang menduduki peperiksaan itu.
“Sama ada murid itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah, itu soal kedua. Hak dia untuk ambil peperiksaan tidak boleh disekat atau dihalang oleh pentadbir sekolah.

“Sebagai Menteri Pelajaran, ini kuasa saya mengikut Akta Pendidikan dengan membenarkan mereka menduduki UPSR. Saya juga sudah menerima laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa ini boleh dilakukan.

“Biasanya, ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid terbabit menduduki peperiksaan itu,” katanya selepas majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Sura, di sini, semalam yang dihadiri lebih 15,000 penduduk setempat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Datuk Za'abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang selesai diduduki calon 15 September lalu.

Beliau turut mengingatkan pentadbir sekolah tidak terlalu ghairah mencapai kecemerlangan sekolah hingga bertindak di luar perkara sepatutnya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah terutama guru besarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober ini akan memberi perhatian kepada isu dihadapi rakyat termasuk mengurangkan kos hidup ketika ini.

“Wallahualam..apa yang terkandung dalam bajet itu, kita berharap akan menyentuh perkara yang dapat mengurangkan kos bebanan rakyat,” katanya pada majlis dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Masyarakat dan Pegawai Kanan Kerajaan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin kebajikan rakyat, Najib yang juga Menteri Kewangan pasti mengambil kira semua aspek yang akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, selaras kematangan rakyat negara ini.

Katanya, walaupun akta itu dimansuhkan, semua pihak termasuk mereka yang ekstremis dan cuba mengganggu gugat keamanan dan keselamatan negara, tidak akan terlepas daripada lunas undang-undang negara.


'Cikgu kata saya tak pandai'


BINTANGOR: “Cikgu tidak benarkan saya ambil ujian kerana cikgu kata saya tak pandai. Setakat ini keputusan terbaik saya hanya C, sebab itulah saya dikurung,” kata Idie Ganhyol, 12, seorang daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas atasan lemah.

Idie bersama dua rakannya, Edward Ujoh dan Richmend Mangi, dikurung dalam bilik pemulihan sekolah itu bagi menghalang mereka daripada menduduki UPSR kerana bimbang prestasi keseluruhan sekolah akan menurun.

Mereka dikurung mulai jam 8 pagi hingga tengah hari dua hari berturut-turut, pada 13 dan 14 September lalu.

Edward pula berkata, gurunya turut memaklumkan dia juga tidak boleh menduduki UPSR kerana terlalu lemah dalam pelajaran, sebelum mengurungnya bersama dua rakannya.

Sementara itu, ibu Edward, Molly Nilau, yang ditemui mengaku sangat marah dan sakit hati kerana anaknya diperlakukan sedemikian.

“Anak saya dilayan macam pencuri... penjenayah, sehingga dikurung sebegitu. Kami juga tidak pernah tarik balik laporan polis. Guru sekolah merayu kami tarik balik laporan... tapi kami enggan.

“Mereka juga kata kalau kami mahu teruskan juga kes itu sampai ke mahkamah, kami tak akan mampu bayar kos yang dikenakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bapa Idie, Ganyol Lubok berkata, guru sekolah terbabit sudah meminta maaf dan merayu supaya ibu bapa menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Tapi saya jawab tidak... kami tidak akan tarik balik laporan polis yang dibuat. Guru terbabit sepatutnya merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu kalau tak mahu anak kami menduduki peperiksaan, bukannya mengurung mereka.

“Guru juga memberitahu mereka akan mengemukakan ujian percubaan anak kami sebagai ganti kepada peperiksaan UPSR,” katanya yang sangat kecewa dengan tindakan guru sekolah itu.

Berita Harian Online: 21 September 2011

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"Beliau turut mengingatkan pentadbir sekolah tidak terlalu ghairah mencapai kecemerlangan sekolah hingga bertindak di luar perkara sepatutnya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah terutama guru besarnya."

SAYA SOKONG KENYATAAN M.PELAJARAN.....Sayangnya menteri tak tahu bahawa JPN & PPD berlumba-lumba na tunjukkan negeri/daerah mereka hebat dlm UPSR.

Berlaku di ********** pegawai tertinggi di JPN/PPD menghina&memalukan GB/PK1 dlm mesyuarat... seolah-olah piahk sekolah tak mahu berusaha meningkatkan prestasi.

Sbb itulah berlaku dlm UPSR termasuk baru-baru ini, soalan dan jawapan telah diperoleh lebih awal oleh murid. Murid hanya menghafal jawapan.

Apa nak jadi dgn UPSR ni? Mengarut saja. Mansuhkan shj lebih baik...

Tanpa Nama berkata...

wahai guru2 dan mereka2 yg terlibat dlm pendidikan, ikhlas la kamu mengajar anak2 orang..supaya kamu mendapat pahala yang berkat di akhirat kelak.

jgn hanya mengejar nama dan kedudukan dan bersifat berlumba2 siapa dapat no. 1 dan sekolah mana mendapat 100 % lulus.

Tanpa Nama berkata...

Itulah realitinya yg berlaku di sekolah skrg. Buakn salah guru tetapi DASAR yg pincang....