Isnin, 23 April 2012

Dewan Negara: Sivik & Kewarganegaraan Dicadang Jadi Subjek Peperiksaan Nasional

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Seorang senator hari ini mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran mengkaji untuk menjadikan subjek Sivik dan Kewarganegaraan sebagai subjek peperiksaan di peringkat peperiksaan nasional.

Senator Boon Som Inong berkata ini adalah sebagai usaha untuk menanam sifat cintakan negara dengan lebih mendalam di kalangan rakyat sejak dari peringkat sekolah selain melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia.

Beliau berkata memandangkan pelajar hanya perlu menduduki ujian subjek itu di peringkat sekolah, ia tidak diambil berat oleh pelajar dan guru seperti mata pelajaran lain yang perlu diuji dalam peperiksaan peringkat nasional seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Saya berpendapat subjek Sivik dan Kewarganegaraan hendaklah diuji sebagai subjek peperiksaan.

"Justeru, saya mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran dalam usaha mengkaji semula dasar pendidikan negara agar dapat menimbangkan perkara ini," katanya ketika membahaskan ucapan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada persidangan Dewan Negara di sini.



-- BERNAMA

BERNAMA: 23 April 2012

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ni mana punya Senator haprak tak tahu ke Gomen dah tukar PSK kepada Sejarah 2014. Pergi balik baca sikit.

Tanpa Nama berkata...

penddikan islam sepatutnya dijadikan subjek peperiksaan untuk UPSR