Isnin, 9 April 2012

Pantau pemilihan PIBG

BULAN Mac adalah bulan sibuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan mesyuarat agung.

PIBG merupakan tulang belakang dan penghubung di antara pihak sekolah dan waris pelajar dalam merancang dan mempelbagaikan aktiviti bagi kepentingan kedua-dua pihak.

Memandangkan PIBG merupakan barisan utama maka pelantikan jawatankuasa juga perlu ditelusi agar mereka yang dilantik merupakan waris kepada pelajar yang masih menuntut di sekolah itu.

Harapan saya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran negeri (JPN) maupun Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) harus memantau dan memastikan agar mereka yang menerajui PIBG merupakan mereka yang layak.

Senario ini adalah kerana ramai di kalangan Yang Dipertua PIBG masih memegang jawatan walaupun anak mereka tidak bersekolah di situ.

Jawatan Yang Dipertua merupakan jawatan tertinggi dan seharusnya pihak sekolah menjadi penasihat dalam mesyuarat agung agar mereka yang akan dilantik mestilah di kalangan waris.

Perkara ini bukan sahaja dapat memberi kuasa atau kekuatan kepada kalangan mereka yang dilantik dalam melaksanakan hukuman atau perancangan yang dijalankan malah menggalakkan waris yang dilantik membawa pelbagai perancangan untuk dinikmati bersama antara pelajar, sekolah dan waris.

Seandainya operasi disiplin dijalankan dan diambil tindakan terhadap pelajar maka kemungkinan pihak sekolah akan dipersalahkan kerana jawatankuasa yang dilantik bukanlah di kalangan waris dan mereka tidak layak mengenakan hukuman.

Begitu juga dengan perancangan yang hendak dijalankan sekiranya kalangan waris menganggotai jawatankuasa pastinya pelbagai aktiviti akan dirancang dengan kerjasama pelbagai agensi dan sekali gus membantu pihak sekolah meringankan beban untuk mencari kewangan atau sumber untuk menjalankan aktiviti.

Oleh itu sudah sampai masanya pihak KPM dan JPN melalui PPD memantau sekolah-sekolah agar mereka yang dilantik mestilah mempunyai anak di sekolah itu.

Utusan Malaysia Online: 9 April 2012

Tiada ulasan: