Khamis, 12 April 2012

Kumpulan Analitis johan Bahas Guru Ala Parlimen

Oleh Nas Norziela Nasbah
nasnorziela@bharian.com.my
2012/04/12

JOHAN Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen peringkat negeri Selangor (dari kiri) Iskhandar, A Danayale dan Zati Noor Darina.
JOHAN Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen peringkat negeri Selangor (dari kiri) Iskhandar, A Danayale dan Zati Noor Darina.
Hujahan lantang pembahas mengecewakan Kumpulan Inovatif

KEMUNCAK Pertandingan Bahas Guru Ala Parlimen peringkat negeri Selangor yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, menyaksikan Kumpulan Analitis bertindak sebagai parti kerajaan muncul johan kategori Bahasa Melayu selepas menewaskan pencabar utama, Kumpulan Inovatif, baru-baru ini.

Pertandingan akhir menggabungkan dua guru, Iskandar Hayat Ahmad Khairi, bertindak sebagai ketua pembangkang diikuti Zati Noor Darina Roslan dan wakil dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor, A Danayale.

Hujahan lantang perbahasan ‘Guru inovatif pemangkin utama kejayaan transformasi pendidikan negara’ mematahkan usul pihak kerajaan yang dianggotai Rosli Kamari, bertindak sebagai Ketua Menteri diikuti Timbalan Ketua Menteri, R Rajamohan dan Anita Zahari.

Hadiah disampaikan Pengarah Pelajaran Selangor, Tuan Abdullah Mad Yunus. Turut hadir Pegawai Pelajaran Gombak, Dayang Fatimah Abang Narudin dan Pengetua SMK Bandar Baru Sungai Buloh, Abd Hakim Kassim.

Bagi kategori bahasa Inggeris pula, kumpulan Stargazers mewakili kerajaan berjaya mematahkan hujahan pembangkang iaitu kumpulan Daffadolis.

Kumpulan Stargazers diwakili N Mailvaganam dari SMK Taman Sea, Naajima Ahmed Bashier dari SMK Damansara Damai 1 dan Syahirah Intan Mohd Sheffie (SK Taman Megah).
Manakala kumpulan pembangkang diwakili S Maegala, Nurawaheeda mohamad Ismail dan V Vasanthi. Walaupun kecundang di tangan kerajaan, pembangkang berpuas hati apabila salah seorang pembahas iaitu V Vasanthi dinobatkan sebagai pembahas terbaik kategori Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Tuan Abdullah ketika berucap, melahirkan rasa bangga dan terima kasih atas usaha pihak jawatankuasa serta peserta yang komited menunjukkan bakat dalam menjayakan pertandingan bahas guru Ala Parlimen peringkat negeri.

Peserta akhir akan mewakili negeri pada peringkat kebangsaan.

Katanya, dia yakin usaha murni ini selaras dengan aspirasi kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Seharusnya kita meletakkan Bahasa Malaysia pada kedudukan yang sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

“Bahasa Inggeris pula perlu diperkasakan sebagai bahasa komunikasi antarabangsa yang patut kita kuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk kita bersaing di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata, kelancaran pertandingan itu menuntut komitmen yang tinggi dan kata sepakat daripada semua pihak, pastinya dapat dimanfaatkan untuk membangunkan anak bangsa.

Berita Harian Online: 12 April 2012

Tiada ulasan: