Selasa, 17 April 2012

Hapuskan pakaian seragam di tingkatan enam

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengambil suatu inisiatif yang positif pada tahun ini, iaitu memperkenalkan Sistem Pentaksiran Baharu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bagi pengajian pelajar tingkatan enam.

Melihat kepada pembaharuan yang dibuat oleh KPM melalui agensi yang bertanggungjawab dalam hal menyediakan kurikulum dan sistem peperiksaannya, iaitu MPM rata-rata masyarakat menerimanya dengan hati terbuka.

Pengajian dipermudah kepada pelajar, iaitu kurikulum dibahagikan kepada tiga penggal pengajian dengan setiap penggal mempunyai peperiksaan yang sendiri. Ini bermakna pelajar tidak perlu lagi mempelajari kurikulum itu untuk tiga penggal dan menghadapi peperiksaan STPM pada akhir penggal pengajian. Bentuk pengajian ini selari dengan amalan dalam kolej matrikulasi dan pengajian pada peringkat diploma. Bebanan pelajar menjadi kurang dan lebih mesra pelajar.

Diharapkan dengan transformasi seumpama ini pengajian tingkatan enam akan kembali mendapat sambutan daripada pelajar.

Pengajian tingkatan enam merupakan pengajian yang paling murah sebenar. Ibu bapa tidak perlu keluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan.

Tempat tinggal juga tidak menjadi bebanan kepada ibu bapa untuk menyediakan bajetnya kerana rata-rata pelajar boleh tinggal di rumah lantaran sekolah bertingkatan enam ada dalam daerah masing-masing.

Bagaimanapun, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam.

Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk tidak meneruskan pengajian ke tingkatan enam.

Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah.

Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.

Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam.

Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri di kalangan mereka. Jika pihak KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah sebenarnya berbanding dengan pengajian lain.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kokurikulum (jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah) harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Ubahlah dasar ini kepada dasar yang membolehkan pelajar tingkatan enam tidak lagi berpakaian seragam sekolah seperti sekarang tetapi memadailah jika mereka dibenarkan memakai seluar panjang berwarna gelap sama ada berwarna hitam atau hitam biru, berbaju kemeja tanpa mengira warna, berstoking gelap, dan berkasut kulit hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan sama sekali. Dengan perubahan yang sedemikian diyakini lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Utusan Malaysia Online: 17 April 2012

3 ulasan:

guru siswazah lama berkata...

Pelajar Pre-U adalah pelajar yang sudah dewasa. Saya menyokong saranan supaya pelajar PreU diberi kelonggaran memakai pakaian seperti pelajar diploma,matrikulasi dan asasi sains.

Satu perkara yang membantut minda guru dan pelajar preU ialah sikap kolot sesetengah Pengetua yang masih ditakuk lama. Mereka masih menganggap pelajar PreU seperti budak-budak sama sepeti pelajar menengah atas.

Saya mencadangkan semua pengetua yang seperti begini diberi pendedahan dan kursus serta bimbingan bagaimana sistem di PreU itu dapat dibangunkan dengan lebih baik.

Ada sesetengah Pengetua itu amat janggal sekali dengan sistem di tingkatan 6/PreU. Program-program yang ditawarkan diputuskan oleh pengetua sendiri tanpa memberi peluang kepada guru-guru mengambil bahagian...

KESIMPULAN: Pelajar-pelajar di PreU harus di bebaskan daripada belenggu kehidupan menengah rendah dengan peraturan yang tersangat ketat

Awanama berkata...

Selagi Tingkatan Enam di bawah tadbir KPM, maka Akta Pendidikan 1996 (pindaan) masih terpakai.
Di dalam Akta Pendidikan belum wujud frasa atau kuasa mengasingkan tingkatan enam dari peraturan sedia ada.

Oleh itu, pelajar tingkatan enam, sama ada berumur 18 atau lebih, terikat kpd kuasa pekeliling sedia ada.
Ya benar, pengurusan berasingan, tetapi kuasa diberi terhad kpd apa yg ternyata dalam Akta Pendidikan dan pekeliling yg dimaklumkan dalam bebrapa perkara.

Malang lagi, tidak spt Matrikulasi atau Diploma/Ijazah, pelajar T6 tidak mempunyai kolej sendiri yg terasing dari sekolah. Ia berada di dalam sekolah. Oleh itu pengaruh negatif + positif masih boleh diperturunkan kpd pelajar sekolah menengah aliran perdana. Oleh itu, risiko itu masih perlu diambil kira.

Contoh pekeliling yg berkuatkuasa utk pelajar T6 ialah:
1. Surat Pekeliling lkhtisas Bil. 2/1976 - Potongan Rambut Murid
2. Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983 - Pakaian Seragam Murid-murid Sekolah
3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1985 - Pakaian Seragam Murid-murid Sekolah (Pindaan)

dan banyak lagi.

Sila rujuk http://pibg.net/pekeliling.e.php utk beberapa yg lain.

Oleh itu, saya berharap semua orang tidak pandang remeh perkara ini, kerana kejanggalan itu adalah hanya persepsi, sedangkan graduan T6 sejak dahulu, berbangga dengan pencapaian STPM dan keberadaan mereka. Menjadi anak didik jati sesebuah sekolah dari T1 hingga ke usia 19 tahun adalah tidak sama sekali memalukan mereka walaupun berpakaian seragam.

Apa yg meragukan ialah pelajar yg memasuki T6 sekarang ini, jika mereka janggal memakai pakaian seragam, lebih kerana mereka kurang jati diri dan tidak mahu lagi menerima tanggungjawab menghormati dan mematuhi peraturan. Jika ini benar, maka T6 juga akan menjadi wadah melahirkan generasi yg mudah beralih arah dan tidak mustahil mudah melanggar peraturan.

fikir-fikirkan.

Abu Aiman berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.