Jumaat, 27 April 2012

Murid trauma didenda makan cili

TAIPING: “Saya kesal dengan tindakan guru berkenaan yang mendenda anak murid mereka dengan memakan cili,” keluh Siti Erna Izura Abd Jamil, 32, ibu kepada Ainul Aiman Hafiz Ainul Azizul Rahman, 10, murid sekolah agama di sini yang dimasukkan ke Hospital Columbia Asia Taiping akibat Acute Gastritis (gastrik) serta trauma terhadap makanan bercili.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan didenda gurunya selepas mengoyakkan buku sebagai tanda membantah kerana dihalang menghubungi ibunya.

Lebih teruk, kanak-kanak itu mendakwa dia didenda makan cili padi oleh gurunya itu tanpa diberikan setitik air.
Siti Erna ketika dihubungi di sini semalam berkata, guru atau pihak sekolah berkenaan seharusnya mempertimbangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada murid yang menuntut di sekolah berkenaan. Beliau berkata, lebih dikesalkan apabila pihak sekolah langsung tidak memaklumkan mengenai keadaan anaknya yang mengalami asma selepas memakan cili itu.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan anak lelaki saya yang terlantar dua hari tanpa rawatan dan dibiarkan terbaring di katil asrama sambil menahan sakit. “Mujur saya dimaklumkan salah seorang bapa murid sekolah berkenaan yang kebetulan melihat Ainul Aiman terbaring sambil menekan perut ketika mengambil anaknya di asrama itu,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, anaknya enggan kembali ke sekolah berkenaan kerana masih trauma dan bimbang perkara itu berulang.

“Hukuman demikian tidak sesuai bagi kanak-kanak.Guru berkenaan yang datang melawat ke hospital juga mengaku memberikan cili padi kepada anak saya dan memaklumkan ia hukuman biasa di sekolah itu,” katanya.

myMetro: 27 April 2012

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

umur 10tahun dah pandai koyak buku sebagai tanda bantahan? hebat sungguh budak2 sekarang

Tanpa Nama berkata...

Hebat macam mana sekalipun apakah adil kita menghukum pelajar 10 tahun dengan memakan cili padi. Ini bukan hukuman mengikut sunnah Rasulullah. Hentikan hukuman yang gila-gila ini. Jalan terbaik ialah biarkan murid itu hormat kita atas ilmu kita.