Isnin, 23 April 2012

Usah Berpuas Hati Dengan Penemuan Baru Mengenai Sistem Pendidikan Negara, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian dalam sistem pendidikan negara, walaupun kajian terbaru menunjukkan semakin ramai percaya bahawa sistem pendidikan sekarang adalah setanding dengan yang terdapat di negara lain.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya semua pihak, terutama Kementerian Pelajaran, perlu menerima hakikat bahawa cabaran yang mendepani negara ketika ini menuntut agar keutamaan dalam sistem pendidikan dinilai dan disusun semula supaya sejajar dengan matlamat nasional.

"Penemuan yang berasaskan satu kaji selidik pendapat itu tidak sepatutnya menjadikan kita diulit perasaan berpuas hati.

"Dalam usaha kita untuk beralih daripada ekonomi pendapatan pertengahan yang dipacu inovasi, kita perlu menyelami jauh ke dalam jalinan sistem pendidikan kita dan bertanya sama ada penambahbaikan segera perlu dilakukan bagi menghadapi cabaran yang mendesak," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia Ke-16 di sini Isnin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian bagi merujuk kepada kaji selidik oleh Introspek Asia baru-baru ini yang menunjukkan bahawa 55 peratus daripada orang dewasa Malaysia percaya sistem pendidikan nasional adalah setanding dengan yang tedapat di negara lain, manakala 35 peratus berkata ia "lebih baik daripada yang terdapat di negara maju."

Muhyiddin berkata di sebalik pencapaian itu, kerajaan terus komited untuk memastikan sistem pendidikan negara melahirkan modal insan bertaraf dunia, yang dilengkapi kemahiran serta ilmu yang diperlukan untuk menghadapi cabaran yang wujud dalam ekonomi global yang semakin dinamik.

Katanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah ke arah menambah baik kualiti sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan tinggi.

Langkah ini termasuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan hasil daripada gandingan kerjasama antara kementerian dan sektor swasta, kerajaan berjaya meningkatkan kadar kemasukan murid prasekolah daripada 67 peratus pada 2010 kepada 77.2 peratus pada tahun lepas.

Muhyiddin berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 87 peratus menjelang akhir tahun ini berikutan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan mengenai Pendidikan Prasekolah.

Satu lagi sasaran penting kerajaan ialah memastikan semua kanak-kanak memperoleh kemahiran asas dalam membaca dan mengira selepas mengikuti pendidikan di sekolah rendah selama tiga tahun melalui Program Literasi dan Numerasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata melalui program itu, kadar literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar menunjukkan peningkatan ketara dan kini masing-masing mencapai 97.5 peratus dan 98.6 peratus.

Katanya di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, kerajaan mencapai kejayaan besar dalam usaha merapatkan jurang pendidikan serta memperbaiki keadaan tidak sama rata yang wujud dalam sistem itu bagi tujuan meningkatkan pencapaian murid.

Beliau berkata kerajaan memperkenalkan Program Sekolah Berprestasi Tinggi bagi meningkatkan standard sekolah kerajaan untuk mencapai tanda aras antarabangsa dan mewujudkan gandingan sektor awam-swasta untuk melaksanakan inisiatif pendidikan seperti Sekolah Amanah dan Program Mengajar Untuk Malaysia.

Pelbagai inisiatif lain juga dilaksanakan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara pendidikan untuk menjadikan Malaysia hab serantau bagi kecemerlangan pendidikan, katanya.

Muhyiddin berkata berikutan kelulusan yang diberi kepada Projek Permulaan, sektor pendidikan dijangka menjana Pendapatan Kasar Negara sebanyak RM60.7 bilion menjelang 2020.

Di samping itu, kata beliau, kerajaan baru-baru ini mengumumkan penyemakan semula secara menyeluruh terhadap sektor pendidikan negara untuk memenuhi keperluan segera dalam melaksanakan penambahbaikan besar terhadap sektor itu.

"Menambah baik kualiti sistem pendidikan kita dan pencapaian pelajar terus menjadi keutamaan kerajaan. Kejayaan transformsi negara kita, sama ada kita akan menjadi negara maju menjelang 2020, bergantung pada kemampuan sistem pendidikan kita membuahkan hasil besar dengan cepat pada tahun-tahun akan datang," kata Muhyiddin.

Sejajar dengan itu, beliau menyeru semua pihak yang mempunyai kepentingan supaya bekerjasama dengan lebih rapat antara satu dengan lain serta mengadakan perbincangan secara terbuka dan berhemah mengenai perkara yang boleh membawa manfaat terbaik kepada sistem pendidikan negara.

Persidangan dua hari itu, yang dianjurkan Institut Strategi dan Kepimpinan Asian dan bertemakan 'Pelaksanaan Transformasi: Peluang Dan Cabaran Dalam Pendidikan Di Malaysia', akan membincangkan perkara penting seperti peranan pendidikan dalam dunia global, landskap pendidikan dan pemilihan sekolah, latihan perguruan dan pembangunan serta penggunaan teknologi di universiti.

-- BERNAMA

BERNAMA: 23 April 2012

Tiada ulasan: