Sabtu, 31 Mac 2012

Sekolah Cina, Tamil tidak dipinggir

KUALA PILAH 30 Mac – Kementerian Pelajaran mengulangi ketegasan tidak pernah meminggirkan mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebaliknya sentiasa berusaha untuk menangani segala isu yang timbul dengan cara terbaik.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menjelaskan, pihak kementerian telah melaksanakan pelbagai cara termasuk menyediakan guru berkelayakan di kedua- dua sekolah berkenaan menerusi penyelesaian jangka pendek dan panjang.

‘‘Kita memanggil semua pihak untuk memberikan pandangan termasuk Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong), mereka tidak perlu mengadakan demonstrasi kerana kita telah mengemukakan penyelesaian.

‘‘Penyelesaian kita dari segi jangka masa pendek adalah dengan melantik guru interim mengisi kekurangan guru sama ada di SJKC atau SJKT, selain kita telah pun beritahu kita akan laksanakan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

‘‘Sementara jangka panjang pula, kita akan cuba mengatasi kekurangan guru di sekolah terbabit yang mana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bersetuju untuk terima guru sementara yang memegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), namun ia tidak mencukupi,” katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Perkhemahan Integrasi Pasukan Badan Beruniform Agensi Bukan Kerajaan Sekolah Menengah Peringkat Negeri dan Perasmian Surau Kem Rimba Ilmu di Kampung Terusan dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan salah guna kuasa dan kronisme oleh pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin melalui sesi debat.

Tegas beliau, terlalu banyak isu dan tuduhan dilontarkan oleh Raja Petra dilaporkan dalam Malaysia Today yang memerlukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjelaskannya termasuk isu saman Bank Hong Leong melibatkan perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket berjumlah RM445 juta, kira-kira 14 tahun lalu.

‘‘Beliau seringkali menuduh kerajaan mengamalkan kronisme dan ketelusan. Jadi apabila tuduhan ini dikeluarkan oleh Raja Petra, Anwar perlu menjawabnya dengan cara gentlemen dan tidak perlulah hendak berdebat dengan Perdana Menteri sedangkan banyak lagi isu yang beliau perlu jawab.

‘‘Pada saya ia jelas membuktikan kronisme dan salah guna kuasa berlaku semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dan ini amat serius kerana melibatkan kepentingan peribadi dan keselamatan negara,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 31 Mac 2012

Jumaat, 30 Mac 2012

Sekolah gempar panggilan bom palsu

IPOH: Lebih 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael di sini, kelam-kabut meninggalkan kelas masing-masing selepas pihak sekolah menerima panggilan bom palsu jam 10.30 pagi semalam.

Semua pelajar diarah berkumpul di padang sekolah selepas seorang guru mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali menyatakan ada bom di bangunan sekolah itu.


Guru itu memaklumkannya kepada pengurusan sekolah sebelum semua pelajar dan kakitangan sekolah diarah berkumpul di padang.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dikejarkan ke sekolah itu, tetapi pemeriksaan menyeluruh selama tiga jam gagal menemui sebarang bom atau bahan letupan.


Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia dan beberapa rakan lain tidak tahu mengenai panggilan bom itu dan menyangka mereka diarah berkumpul di padang untuk latihan kebakaran.


“Kami dengar loceng penggera dan guru mengarahkan kami berkumpul di padang sekolah. Selepas setengah jam berada di padang, baru kami tahu mengenai panggilan bom berkenaan.


“Kami berkumpul di padang itu hampir tiga jam sebelum dibenarkan pulang ke rumah setengah jam lebih awal dari waktu persekolahan biasa,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang membuat panggilan palsu itu.

“Kita tidak tahu apa motif panggilan itu dibuat, tetapi kita berusaha mengenal pasti identiti pemanggil dan guru yang menerima panggilan berkenaan sudah dipanggil memberi keterangan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500,” katanya.

myMetro: 30 Mac 2012


Khamis, 29 Mac 2012

Kementerian Pelajaran iktiraf 14 lagi SBT

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/03/29

Persembahan pancaragam SK Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Persembahan pancaragam SK Setiawangsa, Kuala Lumpur.
KEMENTERIAN Pelajaran mengiktiraf 14 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah mengikut kohort ketiga tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah itu sebanyak 66 di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Shabudin Hasan, berkata kementerian menyasarkan semua SBT menjadi penanda aras kecemerlangan pendidikan dan menjadi contoh sekolah lain.ini.

“Sekolah terbabit juga mempunyai tradisi budaya kerja sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional berkembang secara menyeluruh dan berterusan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Program Pengantarabangsaan SBT Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dan Sekolah Dasar (SD) Al-Zahra, Jakarta, Indonesia di SK Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Rombongan SD Al-Zahra, Prof Dr H Darwis Hude; Timbalan Pegawai Pelajaran, Pejabat Pelajaran Wilayah Keramat, Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman; dan Guru Besar SK Setiawangsa, Ruslan Madon.

Delegasi SD Al-Zahra meliputi 33 murid dan 15 guru serta Pegawai Kementerian Pendidikan republik itu.

Pelajar terbabit menjadi anak angkat masyarakat sekitar sekolah termasuk anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Setiawangsa selama tiga hari dua malam.

Lawatan itu juga adalah program timbal balik membabitkan kedua-dua sekolah dengan SK Setiawangsa mengadakan kunjungan sama ke SD Al-Zahra pada Jun, tahun lalu.
Shabudin berkata, Program Pengantarabangsaan anjuran SK Setiawangsa bertujuan memberi pendedahan kepada murid dalam kurikulum dan kokurikulum di peringkat antarabangsa.

Katanya, program murni itu membolehkan peserta mengenali budaya luar negara dalam ikatan kekeluargaan serta semangat serumpun antara kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik.

“Kami harap objektif penganjuran program seperti perkongsian idea berkaitan pendidikan dan kebudayaan serantau dapat dicapai melalui interaksi peserta kedua-dua negara.

“Ia dapat menanam semangat dan keyakinan yang tinggi peringkat global,” katanya.

Ruslan berkata, sekolahnya mengadakan program pengantarabangsaan bersama SD Al-Zahra berdasarkan persefahaman dalam Program `Sister School’ yang dipersetujui sebelum ini.

Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2012

Rabu, 28 Mac 2012

PERMATApintar asah bakat


NAJIB Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor beramah mesra dengan para pelajar PERMATApintar Negara pada majlis perasmian Kompleks PERMATApintar Negara di UKM Bangi, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI


KUALA LUMPUR 27 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program PERMATApintar merupakan salah satu pendekatan terbaik bagi menangani isu kehilangan bakat-bakat pintar ekoran tindakan mereka berhijrah ke luar negara.

Beliau berkata, kerajaan sedar disebabkan ketiadaan sistem pendidikan yang khusus untuk golongan itu, mereka terpaksa ke negara lain semata-mata untuk mengikuti pengajian yang sesuai dengan tahap kepintaran luar biasa yang dimiliki.

Keadaan itu kata Perdana Menteri sudah semestinya amat merugikan kerana bakat pelajar-pelajar terbabit tidak dapat dimanfaatkab sepenuhnya untuk pembangunan negara.

"Negara-negara maju serta beberapa negara membangun telah lama mempunyai satu program khusus untuk pelajar-pelajar pintar mereka dan kita pula baru hendak mengorak langkah. Sungguhpun begitu kita masih belum terlambat dalam menyediakan sistem pendidikan terbaik untuk pelajar-pelajar pintar negara ini.

"Atas asas ini juga kita memperkenalkan program PERMATApintar dengan tujuan anak-anak yang mempunyai kepintaran luar biasa boleh meneruskan pengajian dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Komplels Pusat PERMATApintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini, hari ini.

Hadir sama Penaung PERMATA Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan dan Naib Pengerusi Yayasan Al-Bukhari, Datuk Seri Ismail Yusof

Dalam perkembangan berkaitan Perdana Menteri turut memberitahu program PERMATA juga merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada atas peranannya sebagai landasan bagi pelajar-pelajar pintar di Malaysia.

"Umum mengetahui kerajaan sangat komited untuk melakukan pembaharuan kepada sistem pendidikan negara demi masa depan yang lebih cemerlang khususnya untuk generasi muda dan generasi akan datang.

"Baru-baru ini Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program i-Think yang bertujuan menggalakkan para pelajar bijak menggunakan kemahiran berfikir. Realitinya kemahiran ini amat baik diterapkan kepada para pelajar kita kerana kita tidak tahu apakah bentuk cabaran terutama dalam sektor pekerjaan akan datang," ujarnya.

Dalam ucapannya Najib turur menyebut beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh program PERMATA antaranya kejayaan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang kini sedang mengikutiz pengajian prauniversiti.

Selain itu terdapat enam pelajar tingkatan empat yang telah menerima tawaran memasuki universiti terkenal di Amerika Syarikat seperti University of California, University of Michigan, University of Wisconsin-Madison dan University of Purdue.

Beliau berkata, lima pelajar terbabit ialah Nur Syazana Natasha Hisham; Vishal Kalyani Mukudan; S.Kavinraj Naggan; Yek Ching Kong; Lee Yan Joe dan Khoo Jia Hui.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2012

Tambah guru kaunseling

“PERANAN guru kaunseling besar. Mereka bukan saja membimbing pelajar supaya tidak tercicir dalam pendidikan, malah memahami hala tuju kerjaya pada masa depan,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, bidang tugas guru kaunseling pula meliputi empat aspek iaitu pembangunan dan pengembangan sahsiah diri, peningkatan disiplin, pendidikan kerjaya, serta psikososial dan kesejahteraan mental pelajar.


Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan setiap guru kaunseling di sekolah memberi kaunseling kepada lima pelajar secara individu atau lapan hingga 10 pelajar bagi satu kumpulan setiap minggu.

“Ia selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai setiap guru untuk meningkatkan bilangan pelajar yang perlu diberi kaunseling,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Dewan Rakyat, semalam.


Mengulas isu keciciran pelajar dari peringkat sekolah hingga universiti, Dr Mohd Puad berkata, sebenarnya berlaku intervensi iaitu pelajar melanjutkan pelajaran mengikut hala tuju kerjaya, antara lain memasuki pusat kemahiran, kolej matrikulasi serta kolej komuniti.


Mengenai masalah disiplin pelajar yang berkaitan peranan guru kaunseling, Dr Mohd Puad berkata, kadar gejala itu merosot kepada 2.06 peratus pada 2009 dan 2010 berbanding 2.10 peratus pada 2007, sebelum menurun lagi kepada 2.05 peratus tahun lalu.

Terdahulu ketika menjawab pertanyaan asal Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus), beliau berkata, sehingga 30 Januari lalu, 9,713 guru kaunseling di seluruh negara iaitu 4,033 di sekolah rendah dan 5,680 lagi sekolah menengah.


Menurutnya, nisbah guru kaunseling sepenuh masa (GKSM) ialah seorang GKSM bagi 350 hingga 850 pelajar di sekolah rendah dan seorang GKSM bagi 500 pelajar di sekolah menengah.

“Kementerian bercadang mengurangkan nisbah ini kepada sekurang-kurangnya seorang guru kaunseling bagi 300 pelajar.


“Kita sudah mengemukakan kertas cadangan itu kepada Bahagian Sumber Manusia, tetapi belum ada keputusan kerana ini membabitkan soal perjawatan dan faktor kewangan,” katanya.

myMetro: 28 Mac 2012

100 peratus lulus SPM, SMKTU dapat anugerah ETR

JOHOR BAHRU 27 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara (SMKTU) menerima Anugerah Keputusan Melebihi Sasaran (ETR) berikutan prestasi cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dengan 99 pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut lulus.

Pengetuanya, Zainab Ali berkata, anugerah itu diperoleh berikutan peratus pelajar yang lulus dalam peperiksaan tersebut dari 98.51 peratus pada 2010 kepada 100 peratus pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 2.51 peratus, selain jumlah pelajar cemerlang dengan semua A dalam mata pelajaran yang diambil meningkat.

"Begitu juga dengan peratus calon cemerlang meningkat daripada 2.99 peratus pada 2010 kepada 9.18 peratus tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 6.19 peratus. Pencapaian tersebut menyebabkan gred purata sekolah (GPS) meningkat sebanyak 0.45 peratus iaitu 3.85 peratus.

"Keadaan itu menjadikan sekolah kita menduduki tangga ke-31 daripada 243 sekolah di seluruh negeri yang terdiri pelbagai kategori termasuk sekolah kluster, premier, sekolah berprestasi tinggi dan sekolah harian sementara di Johor Bahru pada kedudukan ke-10," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Zainab, rahsia kejayaan sekolah adalah komitmen guru, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dipimpin Profesor Madya Edy Tonizam Mohammad serta langkah memastikan semua sukatan pelajaran dihabiskan sebelum Ogos dan disusuli dengan latih tubi 1,000 soalan.

Tambahnya, dari segi motivasi pula pihaknya menganjurkan Majlis Graduasi 2011 pada tahun lalu bagi calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kaedah sama akan diterapkan tahun ini.

Salah seorang pelajar terbaik, Muhammad Hussein Lee, 19, berkata, kejayaan yang dirangkul dengan mendapat 11A adalah hasil hubungan yang tidak putus-putus dengan Allah SWT, serta hubungan yang akrab dengan ibu bapa dan guru.

"Selain belajar bersungguh-sungguh, saya juga mengatur masa dan paling penting mengabaikan Facebook untuk tumpuan sepenuh masa kepada pelajaran," katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Izzati Shahirah Aziz yang mendapat 9A berkata, kejayaannya adalah hasil persaingan sihat, baik dalam kelas mahupun dalam keluarga.

"Selain itu saya cukup komited dengan disiplin yang saya tentukan sendiri iaitu dari Isnin hingga Jumaat saya abaikan langsung permainan video dan Sabtu dan Ahad saya peruntukkan masa dua jam untuk permainan tersebut. Saya juga tidak mempunyai Facebook," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 28 Mac 2012

Isnin, 26 Mac 2012

guru.net.my kuasai daerah Bentong

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
upen@bharian.com.my
2012/03/26

AmIrullAh (tengah) mempengerusikan majlis taklimat guru.net.my di PPD Bentong, Pahang, baru-baru ini.
AmIrullAh (tengah) mempengerusikan majlis taklimat guru.net.my di PPD Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Terminal Sejahtera bantu pelajar 15 sekolah tingkat kecemerlangan

PEJABAT Pelajaran Daerah (PPD) Bentong, Pahang menyambut baik langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan kerjasama Majlis Perbandaran Bentong, menyediakan modul pembelajaran secara maya kepada pelajar kurang mampu di kawasan pentadbirannya.
Ketua Unit Pengurusan Sekolah PPD Bentong, Amirullah Bidin, berkata langkah kedua-dua agensi berkenaan memberi manfaat besar kepada pelajar bagi meningkat kecemerlangan mereka dalam pelajaran, seterusnya mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan awam.
Terminal ini yang akan dikendalikan pembimbing yang terlatih akan membantu pelajar meningkatkan prestasi pembelajaran melalui kemudahan tuisyen talian terus dan bilik belajar yang selesa. - Noraidah Baharin, Pegawai Teknologi Maklumat
“Dengan adanya Terminal Sejahtera yang dikendalikan Majlis Perbandaran Bentong, pelajar kurang mampu yang terpilih boleh belajar secara maya pada waktu petang atau malam. Selain belajar di sekolah, kini pelajar boleh mentelaah pelajaran melalui laman portal pendidikan yang disediakan kerajaan,” katanya, selepas mendengar taklimat e-pembelajaran Guru.net.my anjuran Berita Harian, di Pejabat Pendidikan Daerah Bentong, Bentong, baru-baru ini.

Taklimat diberikan Editor Buku Berita Harian, Sabri Said, turut hadir Pengarang Pendidikan, Muhd Yusuf Abu Bakar; Pegawai Teknologi Maklumat MPB, Noraidah Baharin; Ketua Unit Pengurusan Akademik, Saiful Baharen Abdul Manaf dan Penolong PPD Unit Pengurusan Sekolah Menengah (Murid), Zabidi Othman.

Berita Harian membekalkan bahan pembelajaran Guru.net.my kepada MPB, selain itu, Majlis Perbandaran Muar, Johor turut menggunakan Guru.net.my untuk pelajar di Terminal Sejahtera mereka.

Amirullah juga berkata, sejumlah 15 sekolah rendah dan enam sekolah menengah di sekitar bandar Bentong bakal menikmati kemudahan berkenaan.
“Kami akan memilih pelajar yang layak mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta MPB dalam tempoh terdekat.

“Langkah kementerian menyediakan pembelajaran secara maya kepada pelajar mampu memberi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan di daerah Bentong,” katanya.

Sementara itu, Noraidah berkata, Terminal Sejahtera bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran di luar waktu sekolah kepada golongan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

“Terminal ini yang akan dikendalikan pembimbing yang terlatih akan membantu pelajar meningkatkan prestasi pembelajaran melalui kemudahan tuisyen talian terus dan bilik belajar yang selesa.

“Selain makmal komputer untuk pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia, bilik tutorial turut disediakan dan keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia,” katanya.

Berita Harian Online: 26 Mac 2012

Sabtu, 24 Mac 2012

Pendidikan kesihatan reproduktif dan seks kurang berkesan

SUBANG JAYA 23 Mac - Pendedahan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan seks dilihat kurang berkesan kerana ibu bapa dan guru-guru segan membincangkan perkara itu secara terbuka.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Dr. Kamaruzaman Ali berkata, tidak banyak ibu bapa mampu membincangkan mengenai pendidikan tersebut dengan anak-anak sedangkan mereka adalah individu paling layak.

"Masalah juga timbul apabila terdapat ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai pendidikan itu.

"Keadaan yang sama juga berlaku di sekolah apabila guru-guru segan dan cenderung untuk mengelak daripada menyentuh mengenai topik berkaitan reproduktif dan seks," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Kamaruzaman, walaupun kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan itu secara keseluruhannya semakin meningkat namun masih ramai yang melihatnya dari sudut negatif.

Sedangkan, kata beliau, perkara itu penting memandangkan remaja perlu diberi pendedahan secara komprehensif terhadap langkah pencegahan dan risiko seks.

"Setakat ini kira-kira 40 peratus individu di bawah 29 tahun dijangkiti virus HIV dan statistik itu tidak termasuk penyakit berjangkit lain seperti penyakit kelamin," ujarnya.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang giat memberi penerangan kepada golongan remaja supaya lebih memahami risiko yang bakal dihadapi sekiranya langkah pencegahan serta perancangan tidak dilakukan dengan teliti.

"Saya perlu tekankan di sini bahawa usaha kami bukan untuk menggalakkan aktiviti seks bebas sebaliknya memberi pendedahan mengenai kemahiran hidup bagi mendidik golongan remaja supaya lebih bertanggungjawab terhadap keputusan yang telah dibuat," jelasnya.

Sementara itu Kamaruzaman turut memberitahu, FRHAM telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2012 bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikutan kecemerlangan dalam meningkatkan tahap kesihatan penduduk.

"Saya berharap anugerah ini akan memberi inspirasi baru kepada semua kakitangan FRHAM untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat sekali gus mengharumkan nama persatuan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2012

Khamis, 22 Mac 2012

559 calon raih keputusan A+


ABD. Ghafar Mahmud menunjukkan Buku Pengumuman Keputusan SPM 2011 pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 21 Mac - Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 403 calon pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, 506 calon adalah dari sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi adalah calon sekolah lain.

Katanya, pencapaian keseluruhan SPM 2011 yang menyaksikan 468,808 calon kesemuanya adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan nilai indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 berbanding 5.19 pada 2010.

"Sejak 2007 hingga 2011, nilai GPN pada setiap tahun memperlihatkan peningkatan pencapaian calon secara berterusan.

"Saya percaya peningkatan ini disebabkan usaha gigih semua pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak kita," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2011 di sini hari ini.

Menurut Abd. Ghafar, berdasarkan penilaian GPN, pencapaian calon bandar dilihat bertambah baik sebanyak 0.22 iaitu daripada 4.89 pada 2010 kepada 4.67 pada 2011.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga mengalami pertambahan sebanyak 0.13 iaitu daripada 5.52 kepada 5.39.

"Namun, jurang pencapaian calon di bandar dengan luar bandar telah bertambah sebanyak 0.09," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pencapaian sekolah yang dinilai berdasarkan indeks Gred Purata Sekolah (GPS) secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan.

Kata beliau, pencapaian sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 buah.

Bagi sekolah dalam kategori Memuaskan dan Berpotensi pula, katanya, masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17 buah.

Bagi kategori calon berkeperluan khas pula, katanya, seramai 662 calon menduduki peperiksaan lepas berbanding 629 pada tahun sebelumnya iaitu pertambahan sebanyak 33 calon.

"Daripada jumlah itu, seramai 343 calon telah berjaya mendapat sijil SPM berbanding 319 pada 2010.

"Terdapat tiga calon rabun, seorang calon cacat pendengaran, tiga calon lain-lain jenis kecacatan telah mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Mac 2012

Pencapaian sekolah bandar, luar bandar catat peningkatan

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2012/03/22

Kementerian masih perlu berusaha rapat, hapuskan jurang prestasi di kedua-dua kawasan

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud semalam mempunyai signifikan penting dalam hala tuju sistem pendidikan negara.
Selain keputusan keseluruhan lebih baik dalam tempoh lima tahun, pencapaian pelajar lulus subjek Sains yang menunjukkan peningkatan sama ada sekolah di bandar mahupun luar bandar, boleh dijadikan landasan mengurangkan kebimbangan terhadap lambakan pelajar sastera di institusi pengajian tinggi.

Walaupun peningkatan peratusan subjek Sains itu hanya 0.3 peratus iaitu 92.6 peratus pada 2011 berbanding 92.3 peratus pada 2010, keputusan berkenaan memberi harapan bahawa generasi muda negara akan meneruskan perjuangan dalam bidang sains dan teknologi pada masa akan datang.

Malah, jika dilihat daripada jumlah pelajar mengambil subjek Sains tahun lalu, ada peningkatan iaitu 259,300 berbanding 257,764 pada 2010, manakala pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu pula hanya 27,171 pada 2011, turun sedikit berbanding 30,222 pada 2010.

Begitu pun, jika dianalisis keputusan SPM semalam, jumlah pelajar lulus subjek berkenaan di bandar turun daripada 124,329 pada 2010 kepada 111,640 pada 2011, manakala luar bandar meningkat dengan jumlah 147,660 pada 2011 berbanding hanya 133,435 pada 2010. Pelajar yang mengambil subjek sains lain seperti Fizik juga meningkat iaitu 126,429, Kimia (131,145) dan Biologi (101,526).

Secara keseluruhan, Abd Ghafar menyifatkan keputusan pencapaian calon peperiksaan SPM 2011 amat membanggakan. Kenyataan itu dibuat bersandarkan prestasi Gred Purata Nasional (GPN) yang bertambah baik sejak lima tahun lalu iaitu 5.60 pada 2007, 5.51 (2008), 5.34 (2009), 5.19 (2010) dan 5.04 tahun lalu.
Pencapaian GPN mahupun Gred Purata Sekolah (GPS) dinilai berdasarkan pengiraan purata gred pelajar dan lebih rendah jumlah yang dicapai adalah lebih baik. Jadi, peningkatan GPN sebanyak 0.56 sepanjang lima tahun adalah sesuatu yang sangat membanggakan walaupun sistem pendidikan negara pernah berubah dalam tempoh terbabit.

Warga Kementerian Pelajaran pula pasti mampu menarik nafas lega apabila setiap tahun prestasi keseluruhan calon menunjukkan peningkatan walaupun ada beberapa mata pelajaran yang menurun.

Pelbagai usaha dijalankan dalam memastikan prestasi terus cemerlang dan calon tahun lalu berjaya membuktikan semua yang dilakukan itu berbaloi apabila mencatat peningkatan daripada jumlah calon yang mendapat Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran iaitu seramai 559 calon berbanding 403 pada 2010 dan 255 (2009).

Daripada jumlah itu, 506 terdiri daripada calon Sekolah Kementerian Pelajaran dan lebih membanggakan tujuh daripada mereka mendapat semua A+ dalam 12 mata pelajaran berbanding hanya empat pada 2010.

Seramai 72 calon mendapat gred tertinggi itu untuk 11 mata pelajaran berbanding 47 calon (2010), 284 calon bagi mereka yang mengambil 10 subjek berbanding 207 dua tahun lalu dan 143 (sembilan mata pelajaran) daripada 105 pada 2010.

Pencapaian sekolah berdasarkan GPS pula, Abd Ghafar berkata, pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 manakala sekolah dalam kategori memuaskan dan berpotensi masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17.

Tahun lalu sebanyak 80 sekolah mencapai kategori Cemerlang iaitu pencapaian GPS 0.00 hingga 2.25 berbanding 67 pada 2010, 400 mendapat kategori Baik (GPN 2.26-4.50) berbanding 340 pada 2010.

Penurunan sebanyak empat dan 17 sekolah bagi kategori Memuaskan (4.51-6.75) dan Berpotensi (6.76-9.00) menunjukkan pertambahan baik kerana kebanyakan sekolah melonjak ke kategori lebih tinggi. Sebanyak 1,679 sekolah mencatat kategori Memuaskan berbanding 1,683 dan Berpotensi 49 berbanding 66 pada 2010.

Walaupun pencapaian keseluruhan membanggakan, masih ada ruang bagi memperbaiki pencapaian SPM pada masa akan datang. Berdasarkan GPN, pencapaian calon mengikut lokasi iaitu bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan masing-masing 0.22 peratus dan 0.13 peratus berbanding 4.89 serta 5.52, namun jurang perbezaan pencapaian calon bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.9 peratus iaitu daripada 0.63 bagi 2010 dan 0.72 pada 2011. Sesuatu perlu dilakukan dalam merapat atau menghapuskan terus jurang itu.

Prestasi mata pelajaran dinilai berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula menunjukkan kemerosotan apabila 35 mata pelajaran menunjukkan penurunan GPMP berbanding 22 pada 2010.

Prestasi Bahasa Melayu juga perlu diberi perhatian serius kerana GPMP nasional mata pelajaran itu turut menurun 0.08 berbanding 2010 iaitu 4.30 kepada 4.38.

Pada 2011, GPMP 63 daripada 112 mata pelajaran meningkat berbanding GPMP 81 daripada 103 subjek pada 2010. Sembilan mata pelajaran baru ditawarkan tahun lalu iaitu satu mata pelajaran bidang bahasa (Bahasa Kadazandusun), enam mata pelajaran Pendidikan Kesenian (Seni Muzik, Seni Visual, Seni Halus, Tari, Teater, Reka Bentuk) dan dua mata pelajaran aliran vokasional iaitu Pelancongan dan Rekreasi serta Asas Kemahiran Pelancongan.

Berdasarkan penelitian, empat daripada mata pelajaran baru yang ditawarkan menunjukkan pencapaian membanggakan apabila empat daripadanya, calon memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dengan peratusan 87.5 ke 100 iaitu Seni Visual, Seni Muzik, Seni Tari dan Teater. Lebih membanggakan apabila tiada seorang pun calon yang gagal dalam lapan daripada sembilan mata pelajaran itu.

Diharap semua mata pelajaran itu dapat membantu calon dalam bidang kerjaya yang diidamkan kerana ia lebih berbentuk kemahiran dan bahasa etnik hanya dipelopori mereka yang benar-benar akan mengambilnya sebagai pilihan mata pelajaran dalam SPM.

Berita Harian Online: 22 Mac 2012

Rabu, 21 Mac 2012

Guru menunggu gaji baru tidak kunjung tiba

TULISAN ini mewakili ramai lagi pengetua dan guru penolong kanan di sekolah menengah yang tertunggu-tunggu bila kerajaan akan mengotakan janjinya yang diumumkan semasa sambutan Hari Guru tahun lepas yang dibuat sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehingga kini, ia umpama menunggu durian yang tak gugur sedang sudah lama diumumkan.

Dalam ucapan sempena sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan berita yang menggembirakan terutama kepada pengetua dan guru penolong kanan sekolah menengah. Mulai 1 Januri 2012, gred gaji mereka dinaikkan.

Gred gaji pengetua dinaikkan kepada DG 52 manakala gred gaji guru penolong kanan kepada DG 48. Berita sensasi itu menjadi tajuk berita utama yang dimuatkan hampir semua akhbar utama ketika itu.

Ekoran pengumuman itu, pengetua dan guru penolong kanan mulalah memasang anganangan bahawa mulai 1 Januari 2012, gred gaji mereka dinaikkan. Namun sehingga kini, sudah masuk bulan Mac, ia masih menjadi satu tanda tanya.

Mengapa arahan Muhyiddin mengambil masa lama untuk dilaksanakan? Apakah pihak bertanggungjawab itu gagal mengambil tindakan segera? Kini timbul pertanyaan, apakah pengumuman yang dilakukan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri itu betul-betul akan dilaksanakan ataupun hanya satu pengumuman sahaja?

Utusan Malaysia Online: 21 Mac 2012

Selasa, 20 Mac 2012

Kementerian siasat dakwaan guru tak dapat cuti 90 hari

2012/03/20

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan CUEPACS bahawa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor pendidikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isu itu tidak seharusnya timbul terutama di kalangan guru kerana peruntukkan cuti bersalin 90 hari adalah hak mereka dan ketua jabatan tidak boleh sewenang-wenangnya menolak atau memotong tempoh cuti berkenaan.
“Isu ini tidak seharusnya timbul kerana apabila guru memohon cuti, pihak sekolah selalunya akan menyediakan guru ganti bagi meneruskan kerja mereka sepanjang tempoh cuti bersalin.

“Kementerian akan menyiasat dakwaan CUEPACS itu bagi menentukan sama ada isu berkenaan benar-benar timbul,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng mendakwa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor perguruan dan kejururawatan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari seperti diperuntukkan.

Yim Pheng berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru dan jururawat yang mendakwa permohonan cuti bersalin mereka ditolak oleh ketua jabatan masing-masing.

CUEPACS kecewa dengan tindakan sedemikian kerana alasan yang sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan tenaga kerja untuk menggantikan mereka bagi tempoh 90 hari.
Mohd Puad berkata, kementerian akan menghubungi CUEPACS bagi mendapatkan bukti mengenai dakwaan itu.

Berita Harian Online: 20 Mac 2012

Isnin, 19 Mac 2012

Sukar dapat cuti bersalin 90 hari

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2012/03/19

CUEPACS terima banyak aduan permohonan guru, jururawat ditolak

KUALA LUMPUR: CUEPACS mendakwa sebilangan besar penjawat awam wanita, khususnya mereka yang berkhidmat di sektor perguruan dan kejururawatan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cuti bersalin 90 hari yang diperuntukkan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya secara berterusan menerima banyak aduan daripada guru dan jururawat yang mendakwa permohonan cuti bersalin mereka ditolak oleh ketua jabatan masing-masing.

Beliau berkata, CUEPACS amat kecewa dengan tindakan sedemikian kerana alasan yang sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan tenaga kerja untuk menggantikan mereka dalam tempoh 90 hari itu.

“CUEPACS mempunyai bukti dan kita bukannya membuat sebarang dakwaan..., ada di antara mereka yang memohon 90 hari cuti tetapi hanya mendapat kelulusan cuti 60 hari, alasan sering diberikan oleh ketua jabatan ialah berlaku kekurangan kakitangan untuk ganti mereka.

“Alasan seperti ini tidak boleh diterima kerana ia menafikan hak penjawat awam wanita memperoleh tempoh cuti bersalin yang diperuntukkan kepada mereka..., ada segelintir guru dan jururawat tertekan dengan perkara ini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Yim Pheng berkata, CUEPACS baru-baru ini juga mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membincangkan perkara itu.
“Kita tidak bersetuju dengan tindakan segelintir ketua jabatan yang bertindak mengurangkan tempoh cuti bersalin sedangkan penjawat awam wanita berhak untuk mendapat 90 hari cuti bersalin.

“Oleh demikian, pada pertemuan bersama pihak kementerian itu kita ada membangkitkan perkara ini supaya tindakan sedemikian tidak berulang kembali lagi sehingga memberi tekanan kepada penjawat awam wanita,” katanya yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Berita Harian Online: 19 Mac 2012

Guru dicekup khalwat

KOTA KINABALU: Seorang guru wanita berusia 33 tahun mengambil kesempatan cuti persekolahan ‘menetap’ bersama teman lelakinya yang juga duda anak dua berusia 28 tahun sebelum kedua-dua mereka dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sebuah rumah di Kampung Unggun Jaya Menggatal, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3 pagi, lelaki berkenaan yang hanya bertuala mengaku teman wanitanya berada di bilik dalam rumah berkenaan secara berasingan, namun pemeriksaan menemui pakaian dan MyKad milik duda berkenaan di dalam bilik guru terbabit.


Terdahulu, sepasukan penguat kuasa JHEAINS mendapat maklumat awam berlaku kegiatan tidak bermoral di rumah lelaki berkenaan sebelum melakukan intipan.

Sebaik mengesan kehadiran wanita di rumah berkenaan, penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam sebelum dibuka seorang gadis dipercayai adik lelaki terbabit.


Ketika pemeriksaan, lelaki berkenaan ditemui berada di bilik berasingan dengan bertuala dan menafikan ada membawa wanita ke dalam rumah.


Namun, penguat kuasa menemui seorang wanita berada dalam bilik dan mengaku tunang lelaki terbabit.

Bimbang tembelangnya pecah, lelaki berkenaan memberi alasan mereka akan berkonvoi keesokan hari dan wanita itu yang berasal dari Pitas terpaksa bermalam di rumahnya.


Pemeriksaan dalam bilik wanita itu menemui barang milik lelaki berkenaan sebelum kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Alam Mesra untuk membuat laporan.

Penolong Ketua Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, pihaknya sering menerima aduan mendakwa wanita yang juga seorang guru sekolah rendah sering mengunjungi rumah teman lelakinya terutama pada hujung minggu.


“Soal siasat mendapati duda itu sering berkunjung ke rumah teman wanitanya di Pitas,” katanya.

myMetro: 19 Mac 2012

Sabtu, 17 Mac 2012

Sekolah perlu kuasa autonomi

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pihak pengurusan sekolah perlu diberi kuasa autonomi bagi mentadbir dan mengurus sekolah masing-masing ke arah melahirkan pelajar yang berkualiti.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad (gambar) berkata, perkara itu merupakan antara cadangan yang perlu dipertimbangkan kerajaan dalam pembentukan pelan strategik hala tuju sistem pendidikan negara yang bakal digubal.

'Semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran perlu diberi kuasa autonomi untuk merancang sendiri pengurusan supaya institusi tersebut boleh bergerak ke hadapan dalam menentukan kejayaan pelajar.

''Perkara ini telah dilaksanakan di sekolah swasta dan sekolah antarabangsa dan sekolah berkenaan menjadi pilihan ibu bapa yang sanggup membayar lebih demi kejayaan anak.

''Bagaimanapun, ia perlu dikawal dan dipantau oleh kementerian supaya pelaksanaannya tidak terpesong daripada landasan memperkasakan pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelancaran dialog pendidikan kebangsaan bagi membolehkan rakyat melibatkan diri dalam usaha merangka pelan strategik tersebut sebelum ia dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Mohamed Sabri berkata, kurikulum sekolah juga perlu dibuat semakan termasuk dalam menentukan mata pelajaran wajib dan pilihan yang perlu dipelajari mengikut tahap sekolah.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, kerajaan ketika ini berada pada waktu terbaik untuk mentransformasi sistem pendidikan negara secara total terutama membabitkan masa depan pelajar Melayu.

Malah, katanya, pihaknya juga telah menghantar memorandum yang mengandungi 100 tuntutan ke arah penambahbaikan pendidikan Melayu kepada Menteri Pelajaran tahun lalu merangkumi transformasi pendidikan di semua peringkat selain bertujuan memperkasa mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Inggeris.

''Kerana itu, dialog pendidikan kebangsaan ini adalah platform terbaik kepada kami untuk memanjangkan cadangan itu kepada kerajaan,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mac 2012

Ketua Pengarah tentukan tarikh, lokasi

BATU PAHAT 16 Mac - Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud akan menentukan tarikh dan lokasi pertama dialog pendidikan nasional yang dijadual bermula bulan depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Abdul Ghafar yang mengetuai panel Pelan Pembangunan Pendidikan itu, bakal menjelajah ke seluruh negara bagi mengadakan siri dialog tersebut.

"Kita telah pun memberikan watikah pelantikan kepada beberapa tokoh yang kita yakin boleh memberikan sumbangan kepada idea baru yang perlu dimasukkan dalam road map dasar pendidikan kita.

''Antaranya ialah Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, Tan Sri Zarinah Anwar (Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti) dan Tan Sri Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia),'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 700 penerima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permata Jaya, Rengit dekat sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai dialog yang akan diadakan oleh Kementerian Pelajaran bermula bulan depan.

Mohd. Puad berkata, setiap ahli panel yang dilantik mewakili bidang masing-masing yang dilihat mampu memantapkan sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, dialog pendidikan itu membuktikan kerajaan peka dan sentiasa mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum sesuatu keputusan diambil.

Katanya, tiga aspek yang ditekankan dalam dialog itu adalah meningkatkan kemahiran berfikir, daya kreativiti dan penguasaan teknologi maklumat serta kemahiran berkomunikasi.

Utusan Malaysia Online: 17 Mac 2012

Rombakan beri faedah kepada semua pelajar

2012/03/17

Pelan pembangunan pendidikan mentransformasi generasi muda

KUALA LUMPUR: Pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara akan memberi faedah kepada generasi muda, termasuk mentransformasikan mereka menjadi lebih bersedia untuk berdepan perubahan serta cabaran global.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu memastikan rombakan sistem pendidikan terbabit memberi faedah terutama kepada semua pelajar.

Katanya, dalam proses perancangan yang dijalankan kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan, kesatuan guru serta pemimpin antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor pendidikan.

“Kita kena fikir di luar kotak kerana ini membabitkan masa depan generasi muda pada masa kini.

“Oleh itu panel jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam rombakan ini tidak sepatutnya membabitkan hanya ‘orang lama’ tetapi kumpulan berbeza usia termasuk generasi muda supaya maklum balas mereka lebih menepati apa yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.
Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, pula berkata sistem pendidikan yang menekankan kepada meritokrasi atau penilaian berasaskan peperiksaan menafikan bakat serta pembinaan karakter pelajar.

Katanya penilaian berasaskan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak memiliki kepelbagaian dari segi kebolehan malah generasi itu disifatkan kaku dan tidak membangun.

“Oleh itu pada peringkat pembentukan pelan ini, kerajaan perlu pastikan penilaian dilakukan dengan lebih bersepadu dan seimbang dengan menekankan meritokrasi berasaskan bakat dan kebolehan serta pembinaan karakter,” katanya.

Berita Harian Online: 17 Mac 2012

Jumaat, 16 Mac 2012

Guru sekolah rendah dapat BITB

leh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2012/03/16

MUHYIDDIN bergambar bersama guru pada majlis penganugerahan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
MUHYIDDIN bergambar bersama guru pada majlis penganugerahan TBGB 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
RM15 juta diagih kepada 403 sekolah untuk bayaran bagi tahun kedua

KUALA LUMPUR: Kira-kira 14,000 warga pendidik peringkat sekolah rendah menerima manfaat daripada Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) bagi tahun kedua semalam, sejak ia diperkenalkan kepada pengetua dan guru besar di bawah sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan pada 2010.

BITB bernilai hampir RM15 juta itu diagihkan kepada 403 sekolah sekolah rendah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 300 adalah Sekolah Kebangsaan (SK), 43 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 51 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sebuah Sekolah Orang Asli.
Majlis penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar (TBGB) 2011 itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bahagian Teknologi Pendidikan, di sini, semalam.

Di bawah tawaran itu, setiap guru besar layak menerima RM7,500 seorang, manakala lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan bakinya RM900 seorang. Selain itu, kakitangan sokongan layak menerima RM500 seorang.

Muhyiddin berkata, penganugerahan BITB adalah kemuncak kepada keupayaan warga pendidik dalam mencapai sasaran ditetapkan melalui akad tawaran atau bai’ah.

Beliau bersyukur kerana sasaran pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran, iaitu sebanyak empat peratus dapat dicapai. Daripada 7,635 sekolah rendah di seluruh negara, 403 berjaya menerima anugerah TBGB.
Lebih membanggakan, usaha kerajaan merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar membuahkan kejayaan.

“Ini terbukti apabila sebuah Sekolah Orang Asli iaitu SK Tasik Cini, Pekan berjaya menerima ganjaran tawaran baru daripada keseluruhan 403 sekolah rendah yang terpilih. Semoga kejayaan sekolah ini akan memberi inspirasi kepada Sekolah Orang Asli dan sekolah rendah di luar bandar dan pedalaman untuk mencipta kejayaan yang sama,” katanya.

Tawaran Baru dilaksanakan menerusi langkah menyenaraikan kedudukan sekolah berdasarkan kombinasi pencapaian sekolah dalam Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang dikenali sebagai Skor Komposit Sekolah.

Pengetua dan guru besar yang melepasi sasaran ditetapkan, akan dikenal pasti oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk dilaksanakan verifikasi. Selepas disahkan pengetua dan guru besar serta memenuhi syarat, mereka boleh dipertimbangkan untuk pemberian BITB.

Berita Harian Online: 16 Mac 2012

Siri dialog pendidikan April

Oleh Meor Hisham Zulkifli, Zanariah Abd Mutalib dan Sophia Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2012/03/16

pix_gal0
Kerajaan kumpul maklum balas orang ramai rombak sistem pelajaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan beberapa siri dialog peringkat kebangsaan bermula bulan depan bagi mengumpul maklum balas orang ramai mengenai penilaian mereka terhadap sistem pendidikan negara yang kemudian dijadikan input penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hasil siri dialog yang akan berakhir hujung tahun ini akan dinilai dan diteliti dalam usaha kerajaan melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pendidikan bagi memastikan kualiti, peluang dan pendemokrasian pendidikan negara sentiasa dipertingkatkan.
“Kita menjangkakan laporan awal dapat dihasilkan pada penghujung September 2012 dan laporan akhir dikeluarkan pada Disember 2012 serta diikuti dengan penggubalan dan pembangunan Perancangan Strategik pendidikan yang baru,” katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), di Dewan Rakyat semalam.

Tiong bertanya sama ada kementerian berhasrat mengkaji semula sistem pendidikan dan tindakan serta perancangan baru dalam memberi penekanan kepada pemulihan akhlak mulia pelajar.

Muhyiddin berkata, kementerian sudah menubuhkan Pejabat Pengurusan Projek diketuai Ketua Pengarah Pelajaran bagi menggerakkan usaha penilaian terhadap sistem pendidikan secara komprehensif dan holistik.

Beliau berkata, bagi mencapai tujuan itu, penilaian akan mengambil kira sembilan bidang utama termasuk guru, pemimpin sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, penguasaan pelbagai bahasa, peluang pendidikan lepasan menengah, ibu bapa dan komuniti, kecekapan dan keberkesanan sumber serta sistem penyampaian pendidikan.
“Kita melantik panel untuk mengkaji hasil penilaian itu termasuk panel pada peringkat kebangsaan dianggotai pakar pendidikan tempatan serta panel kedua yang turut dianggotai empat pakar pendidikan dari luar negara.

“Hasilnya akan saya bentangkan kepada Kabinet, sebelum dijadikan hala tuju, iaitu rancangan pelaksanaan bagi tempoh tiga tahun dan tahun berikutnya,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Tiong sama ada Perancangan Strategik itu akan mengambil kira pembangunan infrastruktur sekolah di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak, Muhyiddin berkata, aspek itu sudah diambil kira sejak tahun lalu dan beliau sudah menerima laporan audit yang mengenal pasti 600 sekolah daif yang memerlukan bantuan.

Menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) berhubung keperluan serta nilai tambah pada komponen peta minda dalam sistem I-Think, Muhyiddin berkata, ia perlu bagi melahirkan pelajar yang bukan saja pandai dalam pelajaran tetapi mahir dari segi kreativiti, inovasi dan kemahiran berfikir.

“Kita dapati pelajar agak mahir dalam pelajaran, namun dalam ujian tertentu termasuk Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), ada kekurangan ketara berbanding pelajar di beberapa negara maju terutama keupayaan dalam kemahiran berfikir.

“Ini tidak bermakna guru tidak mahir, mereka terlatih. Tapi bila kita lihat hasilnya, kemampuan pelajar terbatas dalam bidang kreativiti, inovasi serta kemahiran dan sebab itu kita laksanakan program ini yang dijangka merangkumi semua sekolah pada 2014,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Mac 2012

Kementerian siasat PPD Tawau

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kementerian Pelajaran akan menjalankan siasatan berhubung laporan sebuah portal berita kononnya Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tawau, Sabah sedang menjalankan kajian kecenderungan politik guru-guru di daerah itu.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak kementerian telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud untuk menjalankan siasatan sebaik menerima aduan daripada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui.

"Ia memang mengejutkan saya bahawa PPD Tawau telah mengeluarkan kaji selidik sedemikian. Jika ia memang daripada kementerian kenapa hanya satu daerah sahaja," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Wee mengulas laporan sebuah portal bahawa guru-guru di Tawau diminta melabelkan diri mereka sebagai putih jika menyokong kerajaan, hitam sekiranya memihak kepada pembangkang atau kelabu bagi mereka yang tidak pasti.

Utusan Malaysia Online: 16 Mac 2012

Rabu, 14 Mac 2012

Sistem pendidikan perlu dirombak

2012/03/14

NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think  pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.
NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.
PM mahu perubahan aspek mengajar dan cara belajar sejajar tranformasi negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar.

Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.

“Transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.
Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada ‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kepentingan diri sendiri.

“Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang,” katanya berucap pada majlis pelancaran Program I-Think, di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara, namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini.
"Saya difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi wujud.

"Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk mengadaptasi sebarang situasi," katanya.

Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.

Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

“Menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas tamat pengajian mereka.

Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.

Berita Harian Online: 14 Mac 2012

Sembilan pelajar kena gantung sekolah

2012/03/14

SEREMBAN: Sembilan pelajar sebuah sekolah menengah, di sini digantung persekolahan dua minggu selepas didapati terbabit membuli dan memukul seorang murid Tahun Satu hingga lebam seluruh badan di Sikamat, di sini, awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi, berkata pelajar terbabit adalah penghuni rumah anak yatim yang didiami mangsa.

Katanya, siasatan mendapati penyelia rumah anak yatim berkenaan hanya mengetahui kejadian itu selepas ibu mangsa, Suzianawati Mohamad, 33, datang ke rumah kebajikan berkenaan pada jam 7.30 petang 2 Mac lalu, iaitu tiga hari selepas kejadian.
“Pejabat Pelajaran Negeri memaklumkan kes itu berlaku di rumah anak yatim berkenaan selepas sembilan pelajar senior tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuang air kecil pada tualanya dan tidak menyidainya dengan baik.

“Dua daripada tujuh pelajar terbabit dihantar pulang ke rumah masing-masing manakala lima lagi dikenakan tindakan gantung persekolahan,” katanya, semalam.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan murid terbabit trauma untuk ke sekolah selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.

Abdullah berkata, pihaknya belum dapat bertemu mangsa dan ibunya untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerana mereka pulang ke kampung di Jempol.

Berita Harian Online: 14 Mac 2012

10 sekolah laksana i-Think

SISTEM pendidikan negara perlu melalui proses tranformasi bagi melahirkan generasi masa depan yang mempunyai inovasi, kemahiran berfikir secara kreatif dan analitikal.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sudah sampai masanya sistem pendidikan negara diberi nafas baru, sekali gus terus dapat menentukan hala tuju kehidupan rakyat lebih baik.


“Selama ini kita menekankan penghafalan. Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang.

“Justeru, kita perlu melakukan tranformasi pendidikan yang mana intipatinya bagi menggalakkan pelajar berfikir kerana kita mahu melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran kreatif, inovatif dan kritis,” katanya ketika merasmikan program i-Think di bangunan Parlimen, semalam.


Hadir sama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.


Program i-Think, projek bersama oleh Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovatif di peringkat sekolah rendah dan menengah.

i-Think adalah pendekatan yang realistik dan praktikal untuk memupuk proses pemikiran dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah di kalangan guru dan pelajar sama-sama melalui penggunaan peta pemikiran yang dibangunkan oleh Dr David Hyerle.


Sebanyak 10 sekolah sudah menjalankan projek perintis di bawah kendalian Unit Inovasi Khas (Unik) dan Agensi Inovasi Malaysia. Kerajaan menjangkakan 1,000 lagi sekolah akan menerapkan sistem i-Think ini pada tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, menerusi program i-Think, kementerian berusaha menerap proses berfikir itu bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan mengaplikasinya dalam menyelesaikan permasalahan.

myMetro: 14 Mac 2012

Murid kuat mengadu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: “Kuat merajuk dan mengadu antara cabaran perlu dihadapi ketika mengajar di sekolah semua murid perempuan berbanding sekolah bercampur jantina, jadi sebagai guru saya perlu menggunakan pendekatan bijak ketika sesi pengajaran bagi memudahkan murid menerima setiap perkara diajarkan,” kata graduan cemerlang Institut Perguruan (IPG) Ilmu Khas Kuala Lumpur, Nor Hidayah Hamzah, 24.

Menurutnya, itu antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, mulai Januari lalu.


“Orang cakap senang mengajar sekolah semua perempuan, tetapi sebenarnya cabaran tetap ada. Cuma berbeza cabaran mengajar di sekolah bercampur jantina. “Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat saya terus mengajar kerana saya sangat menyukai kerjaya guru,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen program Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG Kementerian Pelajaran ke-2, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam. Nor Hidayah seorang daripada 546 pelajar menerima ijazah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed pada sidang sesi pagi.

myMetro: 14 Mac 2012

Selasa, 13 Mac 2012

Pusat tuisyen ‘hidup’ kerana guru tidak berkualiti?

SUHARNE ZAINUDDIN & FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
13 Mac 2012

SHAH ALAM – Cuba luangkan masa melihat barisan kedai berhampiran tempat tinggal anda.

Kedai runcit, kedai gambar, pusat tuisyen, kedai fotostat, restoran, dan... pusat tuisyen lagi?

Cuba bertanya pula kepada orang sekeliling yang mempunyai anak bersekolah, adakah anak mereka ke tuisyen?

Pasti sembilan daripada 10 orang akan menjawab ya.

Mengapa fenomena ini berlaku?

Adakah kerana sistem pembelajaran di sekolah tidak berkesan, sehingga ibu bapa perlu menghabiskan ratusan ringgit bagi seorang anak untuk menghadiri kelas tambahan?

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim bersetuju dengan pendapat ini.

“Pembelajaran diterima di sekolah tidak mencukupi, jadi ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke tuisyen,” katanya.

Penulis bertanya lagi, adakah guru kita tidak berkualiti?

“Kita tidak boleh menyalahkan guru kerana latihan diberikan menentukan kebolehan mereka untuk mengajar.

“Guru patut memberi yang terbaik semasa me­ngajar, tetapi kini, kualiti guru menurun, mungkin kerana latihan diberikan tidak mencukupi,” katanya semasa pertemuan dengan Sinar Harian berhubung isu lambakan pusat tuisyen di negara ini.

Menurutnya, selain memperbaiki latihan guru, kerajaan juga perlu mengurangkan jumlah pelajar di dalam sebuah kelas dan menambah perbelanjaan pendidikan.

Noor Azimah berkata, lebih memburukkan keadaan adalah sikap menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan ter­akhir jika tidak mendapat kerja lain.

“Ibu bapa yang menyedari hal ini enggan mengambil risiko dan memperjudikan pendidikan anak mereka, sebab itu mereka menghantar anak ke kelas tuisyen,” katanya.

Penulis kemudian menyoal lagi, apa punca guru di sekolah tidak dapat menyampaikan pelajaran dengan baik?

“Memang sukar untuk cikgu memberi perhatian kepada setiap murid kerana kelas yang besar, selain masa pembelajaran singkat, jadi mereka terpaksa mencadangkan supaya pelajar ke pusat tuisyen,” jawabnya.

Menurutnya, lambakan pusat tuisyen ini juga berlaku kerana kemahuan pelajar sendiri yang tidak berpeluang berinteraksi secara dekat de­ngan guru di dalam kelas.

Selain itu, kos pengajian yang tinggi di peringkat universiti juga menyumbang kepada kewujudan banyak pusat tuisyen.

“Ramai ibu bapa berharap anak mereka mendapat biasiswa untuk ke universiti, sama ada di dalam atau luar negara jadi tuisyen menjadi seperti pelaburan jangka panjang,” katanya.

Namun, Noor Azimah mengakui, fenomena tuisyen ini ada baik dan buruknya.

“Di pusat tuisyen, anak-anak disuap dengan pelbagai maklumat. Ini menyebabkan mereka tidak tahu mencari maklumat dan hanya bergantung kepada orang lain. Selain itu, kita juga tidak tahu kualiti sesebuah pusat tui­syen,” katanya.

Beliau juga berpendapat peranan kelas tuisyen telah dicabuli, sehingga pelajar kini mengambil semua subjek, berbanding dahulu, iaitu pelajar hanya mengambil kelas tambahan untuk subjek yang mereka lemah sahaja.

Menyuarakan harapan­nya untuk sistem pendidikan negara, Noor Azimah berkata, ibu bapa mahukan perancangan masa panjang yang mapan dan berkesan.

“Antara masalah utama dalam sistem pendidikan adalah perubahan dasar setiap kali berlaku perubahan tampuk pimpinan. Apabila menteri lain dilantik, dasar sebelum ini dilupakan dan akhirnya, anak-anak menjadi mangsa,” katanya.

Sinar Harian: 13 Mac 2012

Berikan lebih kuasa kepada PPD

TRANSFORMASI pendidikan dan usaha mengkaji semula sistem pendidikan yang sedang giat dilaksanakan sekarang tidak hanya menjurus kepada aspek kurikulum tetapi turut melibatkan sistem penyampaian dan tadbir urus organisasi pendidikan.

Cadangan memperkasakan lebih 150 buah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilihat bergerak dan menuju ke arah tersebut.

Langkah ini dianggap sebagai sebahagian daripada usaha penting bagi memperkemas dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Tambah beliau PPD juga perlu diperkukuh dari sudut organisasi, bidang kuasa serta prasarana bagi membolehkan institusi itu menjadi punca kepada pusat perkembangan ilmu dan pemantauan terhadap pencapaian pendidikan peringkat daerah di seluruh negara.

Sesungguhnya peranan PPD sangat penting kerana organisasi itu berada pada kedudukan yang paling hampir dengan sekolah. Langkah ini perlu dibuat kerana kajian awal pendidikan mendapati tumpuan di peringkat bawah merupakan prasyarat bagi memastikan peningkatan kualiti pendidikan. Oleh itu PPD yang dilihat seolah-olah tidak penting satu ketika dahulu perlu diperkasakan sekiranya ingin melihat perubahan yang positif terhadap sistem pendidikan kita.

Kajian dan penilaian semula sistem pendidikan yang telah pun bermula seharusnya tidak hanya melihat kepada aspek kurikulum sahaja iaitu yang melibatkan kandungan pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran, alat dan bahan yang digunakan, sistem penilaian dan peperiksaan serta aktiviti sokongan melalui kokurikulum.

Ia perlu juga melihat sistem penyampaian dan tadbir urus yang melibatkan institusi dan organisasi yang berada dalam lengkungannya. Sudah sampai masanya dibuat penilaian dan perubahan terhadap bidang kuasa dan memberikan tanggungjawab yang lebih luas kepada organisasi yang difikirkan dapat membantu peningkatan kualiti pendidikan terutama di peringkat akar umbi.

Sejak dilaksanakan Laporan Razak 1956 diikuti Laporan Rahman Talib 1961 dan yang terakhir Laporan Kabinet 1970 sistem pendidikan kita sangat berpusat yang segala-galanya ditentukan oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Semua dasar, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian datangnya daripada Putrajaya akan diturunkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kemudiannya kepada PPD dan akhirnya barulah sampai ke peringkat sekolah.

Segala-galanya seperti one size fit all tanpa mengambil kira bahawa terdapat perbezaan dari segi infra struktur atau fizikal sekolah, latar belakang murid, lokaliti dan persekitarannya. Misalnya apa yang diajar kepada murid sekolah di Kuala Lumpur adalah sama juga yang diberikan kepada murid di Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah. Demikian juga sistem penilaian dan peperiksaan yang digunakan di SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur adalah juga dilaksanakan di SK Ulu Lubai atau SK Long Persia, Sarawak.

Dengan bilangan sekolah melebihi 10,000 buah adalah sukar untuk memastikan semua maklumat daripada pusat dapat sampai ke sekolah dengan lengkap dan sempurna. Demikian juga data maklumat sekolah tidak dapat dipantau dan dinilai sepenuhnya oleh pihak pusat kerana bilangannya terlalu banyak. Mungkin berlaku situasi terlepas pandang tentang kekurangan di sekolah terutama yang terletak di luar bandar atau kawasan jauh di pedalaman. Maka di sinilah peranan penting yang boleh dimainkan oleh PPD bagi mengatasi kekurangan tersebut.

Demikian juga dengan bilangan guru yang hampir mencecah 400,000 orang perlu mendapat bimbingan, pemantauan dan penilaian yang berterusan terutama bagi memastikan keberkesanan dalam melaksanakan hala tuju serta tugas pengajaran dan pembelajaran. Bagi menjalankan tugas ini terutama yang berkaitan dengan pemantauan dan penaziran akan lebih berkesan jika dilakukan oleh pegawai pelajaran yang lebih hampir dengan sekolah kerana mereka lebih tahu tahap daya saing dan keperluan penambahbaikkan prestasi guru.

Demikian juga dari segi penempatan guru, kursus dalam latihan, pertukaran, pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat menjadi lebih mudah, berkesan dan teratur jika dikendalikan oleh pegawai-pegawai PPD yang dianggap lebih mengenali dan memahami secara lebih dekat akan guru-guru di daerah mereka. Namun demikian urusan hal perkhidmatan dan perjawatan selanjutnya tetap akan dikendalikan oleh pihak JPN dan KPM.

Memperkasakan PPD boleh dilakukan dengan kaedah ‘desentralisasi’ iaitu melalui penurunan dan penambahan kuasa dan autoriti. Dengan kedua-dua elemen ini membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lancar dan penuh keyakinan. Misalnya penentuan peruntukan kewangan untuk membaik pulih, ubah suai dan penyelenggaraan sekolah perlu ditentukan dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai PPD.

Dengan kuasa yang ada pada mereka bagi menyedia peruntukan dan membelanjakannya maka sekolah-sekolah yang terletak jauh di luar bandar dan pedalaman akan lebih mendapat perhatian dan penjagaan yang lebih baik. Dengan peranan baru dan tanggung jawab yang lebih mencabar maka sudah tentu struktur organisasi PPD memerlukan penambahan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai PPD hendaklah dilantik daripada mereka yang berpengalaman, mempunyai kekananan dan berkemahiran tinggi.

Lawatan ke sekolah hendaklah dilakukan sekerap mungkin dan secara berkala. Penambahan tersebut boleh diselaraskan dengan mengurangkan bilangan pegawai di JPN dan KPM. Diharapkan melalui kaedah ini semua sekolah akan mendapat bimbingan, perhatian dan pemantauan yang lebih kemas dan teratur.

Akhirnya peneraju PPD hendaklah dipilih dan dikenal pasti dari mereka yang terbaik dan terkanan di daerah itu. Moga-moga saranan Timbalan Perdana Menteri untuk memperkasakan PPD akan dapat melonjakkan lagi kualiti pendidikan di negara kita.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2012

Isnin, 12 Mac 2012

Bantu tingkat pendidikan negara

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2012/03/12

MOHD SANI Jantan     menjulang   Piala Pusingan Golf Amal 1Malaysia  yang disampaikan   Muhyiddin   pada Majlis Golf Amal  1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di A'Famosa Resort, dekat  Alor Gajah, semalam.
MOHD SANI Jantan menjulang Piala Pusingan Golf Amal 1Malaysia yang disampaikan Muhyiddin pada Majlis Golf Amal 1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di A'Famosa Resort, dekat Alor Gajah, semalam.
TPM minta pihak berkaitan beri idea terbaik lahirkan modal insan berkualiti

ALOR GAJAH: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan termasuk guru, bekas guru, alumni sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi idea atau pandangan terbaik masing-masing dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendapat semua pihak terbabit diperlukan Kementerian Pelajaran untuk melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan.
Sehubungan itu, katanya kementerian menganjurkan program Sesi Dialog Pendidikan Kebangsaan (SDPK) di seluruh negara, bulan depan bagi membolehkan buah fikiran mereka dikumpulkan.

"Kerajaan ingin mengajak semua yang terbabit dalam bidang pendidikan supaya memberi idea dan cadangan bernas, selain cara bagaimana untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap pendidikan di negara ini pada masa akan datang.

“Justeru, kita (Kementerian Pelajaran) akan mengadakan road show di seluruh negara untuk mengadakan sesi dialog dengan mereka,” katanya pada Majlis Golf Amal 1Malaysia Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di A'Famosa Resort, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMYCF) menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 manakala Leong Hup Holdings, RM24,000 dan Maha Persada Group Sdn Bhd, RM20,000 kepada alumni sekolah berkenaan.
TSMYCF diwakili ahli majlisnya, Datuk Haris Ismail, manakala Leong Hup Holdings, Pengerusinya, Tan Sri Francis Lau dan Maha Persada Group Sdn Bhd oleh Pengarah Urusannya, Datuk Yusuf Abu Bakar.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara, meskipun sejak berpuluh tahun lalu berjaya melaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata, proses merealisasikan usaha itu dimulakan di peringkat kementerian dengan satu pasukan pakar ditubuhkan mengkaji semua aspek sistem pendidikan negara.

“Disebabkan situasi global yang lebih kompetitif, negara memerlukan masa depan lebih terjamin menerusi usaha melahirkan modal insan berkualiti. Kita percaya bahawa ada keperluan untuk kita melihat semula sistem pendidikan kita.

“Apa yang dilakukan selama ini, dan bagaimana hendak kita menentukan penambahbaikan supaya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kita dapat menggunakan sistem ini (pendidikan) bagi melahirkan modal insan lebih berkualiti,” katanya.

Muhyiddin berkata, usaha untuk memperkukuhkan bidang pendidikan negara memerlukan sokongan masyarakat yang sekali gus berperanan mendokong institusi terbabit.

“Dalam usaha sebegini, perkara utama adalah memperkukuhkan bidang pendidikan dan bagaimana peranan masyarakat untuk mendokong institusi ini.

“Sebab itulah, usaha yang kita adakan pada hari ini (Golf Amal) adalah sebagai satu daripada inisiatif iaitu sumbangan daripada ibu bapa, pendokong dan alumni bagi sesebuah sekolah mencapai kejayaan lebih tinggi,” katanya.

Berita Harian Online: 12 Mac 2012

Ahad, 11 Mac 2012

Segerakan pelarasan gaji baharu guru - Muhyiddin

KULAIJAYA 10 Mac - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta melaksanakan pelarasan skim perkhidmatan perguruan secepat mungkin selaras dengan pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengetahui mengenai kedudukan terperinci pelarasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu disambut baik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan kira-kira 480,000 warga pendidik yang merangkumi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negara ini.

"Pada masa ini, kita belum mengetahui tentang perincian perubahan pelarasan itu. Jadi, kita berharap pihak JPA dapat menyelesaikan ia dengan segera," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita UMNO di Kem Bina Negara Gunung Pulai, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Beliau berkata, biarpun SBPA tidak diteruskan, namun dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu, kedudukan guru adalah lebih baik dan tawaran pada golongan pendidik adalah sesuatu yang diharapkan, malah hampir semua perkara diambil kira.

Justeru, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan pelarasan baharu itu, guru-guru akan lebih bersemangat dan memberikan tumpuan yang lebih baik untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di seluruh negara.

Kelmarin Perdana Menteri mengumumkan pembatalan SBPA dan kembali kepada SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2012

Khamis, 8 Mac 2012

Guru besar diugut bunuh

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

SANDAKAN: Bimbang keselamatannya terancam selepas menerima sepucuk surat mengandungi ugutan bunuh daripada pengirim misteri, seorang guru besar sekolah kebangsaan di sini terpaksa berkurung di dalam rumah selama lima hari, sebelum membuat laporan polis, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 51 tahun itu menerima surat berkenaan yang dihantar sendiri seorang lelaki ke pejabat di sekolah berkenaan, kira-kira jam 1 pagi, pada 29 Februari lalu.

Sumber berkata, kerani sekolah yang tidak mengesyaki sebarang implikasi buruk terus menyerahkan surat berkenaan kepada guru besar yang kebetulan berada dalam biliknya.

Menurutnya, sebaik surat dibuka, guru besar berkenaan terkejut apabila mendapati surat tanpa alamat itu mengandungi kata-kata kesat, selain tertera tulisan ancaman bunuh.

myMetro: 8 Mac 2012

STPM dirombak

Oleh Noor Azlina Zainudin dan Nas Norziela Nasbah
upen@bharian.com.my
2012/03/08

DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.
DATUK Dr Mohd Noh Dalimin (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selepas pengumuman keputusan semalam.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan peperiksaan akhir berpusat tentukan tahap kelulusan setiap calon

SELAYANG: Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dirombak mulai tahun ini dengan keputusan atau markah yang diperoleh oleh calon akan ditentukan menerusi taksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan berpusat.
Pentaksiran akan menggunakan dua kaedah yang dilaksanakan sepanjang satu setengah tahun pengajian, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat yang mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon.
Penggunaan sistem taksiran baru itu dilaksanakan selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan salah satu usaha kerajaan memperkasakan program pendidikan Tingkatan Enam.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata menerusi sistem taksiran baru itu, tempoh pengajian Tingkatan Enam, penawaran dan sistem penggredan mata pelajaran masih sama seperti sebelum ini tetapi kandungan pengajian dipecahkan kepada tiga bahagian kurikulum untuk mengisi tiga penggal.

“PBS diperkenalkan bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Ia akan diadakan setiap penggal atau penggal tertentu saja,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM, di sini semalam.

Beliau berkata, peperiksaan bagi menilai pencapaian pelajar akan diadakan setiap hujung penggal, iaitu penggal pertama pada November tahun pertama, manakala penggal dua dan tiga masing-masing pada Jun serta November tahun kedua pengajian.
“Keputusan peperiksaan akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM dibuat berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal,” katanya.

Mohd Noh berkata, sistem itu bakal memberi kelebihan kepada pelajar kerana selain menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, mereka akan mempelajari kandungan kurikulum berbeza pada skala kecil dalam setiap penggal.

Justeru, pelajar boleh lebih fokus menghadapi pembelajaran dan mempunyai peluang lebih besar untuk melakar kecemerlangan.

“Antara kelebihan sistem pentaksiran baru ini adalah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir setiap penggal dengan menduduki semula peperiksaan yang akan diadakan selepas keputusan peperiksaan penggal tiga dikeluarkan.

“Ini adalah kali pertama MPM memperkenalkan PBS bagi hampir semua mata pelajaran. Ini adalah sejarah bagi MPM selepas terbabit dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun dan diharap mampu memantapkan sistem penilaian agar lebih holistik serta menguntungkan pelajar,” katanya.

Berita Harian Online: 8 Mac 2012

SBPA Batal, SSM Yang Ditambah Baik Kembali

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Dalam pengumuman beliau pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di sini, Najib turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Selain itu kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Katanya struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," katanya.

Najib berkata bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata Perdana Menteri sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan. Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu menerima 1,087 aduan serta maklumat balas di samping beberapa memorandum serta cadangan daripada 23 kesatuan.

Najib berkata kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu, dan walaupun kerajaan berjaya membawa negara keluar daripada gelora ekonomi global ini, usaha perlu digandakan bagi memastikan negara terus bebas daripada belenggu gelora ini di tahun-tahun mendatang.

Katanya dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikir langkah terbaik, yang semasa ia mendahulukan kepentingan rakyat, pada masa yang sama ia tidak mengetepikan faktor-faktor lain, terutama daripada segi kelestarian kestabilan ekonomi negara, atau dalam erti kata lain keupayaan kewangan kerajaan mesti diambil kira.

"Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti Greece atau negara-negara lain," katanya.

Najib berkata untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu meneruskan usaha mengurangkan defisit fiskal negara.

Beliau berkata pada 2010 defisit negara mencecah 5.6 peratus, manakala tahun lepas ia berjaya dikurangkan kepada lima peratus dan tahun ini ia diharapkan dapat dikurangkan lagi ke tahap 4.7 peratus.

Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

-- BERNAMA

BERNAMA: 8 Mac 2012

Rabu, 7 Mac 2012

NUTP rayu laksana skim khas

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2012/03/07

Kenaikan pangkat secara ‘time base’ pertingkat profesion perguruan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kerajaan melaksanakan skim perkhidmatan khas untuk penyandang (KUP) iaitu kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ membabitkan kira-kira 450,000 guru di negara ini seperti diumumkan kerajaan pada Bajet 2012.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata NUTP menyokong skim perkhidmatan itu yang dilihatnya laluan kerjaya terbaik untuk warga pendidik serta menjadi pemangkin kepada guru meningkatkan mutu kerja masing-masing.
“Maksud ‘time base’ ialah cukup tempoh masa perkhidmatan dan guru itu akan mendapat kenaikan pangkat. Contohnya, mengikut sistem baru ini, guru siswazah gred DG44 yang berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG48 berbanding tempoh masa 10 tahun sebelum ini.

“Bagi guru bukan siswazah gred DG29 yang turut berkhidmat lapan tahun, akan naik pangkat untuk jawatan gred DG32, jika sebelum ini seorang guru itu terpaksa menunggu 10 tahun untuk naik pangkat tetapi kini hanya lapan tahun saja.

“NUTP menyokong penuh penambahbaikan dilakukan kerajaan terhadap sistem ‘time base’ yang mula dilaksanakan sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002,” katanya di sini, semalam.

Hashim berkata, NUTP berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan berita baik pelaksanaannya seiring dengan pengumuman semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi.
“Ke mana saja kepemimpinan tertinggi NUTP pergi dan turun padang, guru sering bertanya kepada kami mengenai KUP ini seperti diumumkan kerajaan tahun lalu, tanya kami bila ia dilaksanakan kerana beribu guru masih tidak berpeluang mendapat kenaikan pangkat.

“NUTP amat berharap ketika kerajaan mengumumkan keputusan semakan semula SBPA, Perdana Menteri akan turut menyampaikan berita baik kepada warga pendidik di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan itu turut mengirim telegram kepada Perdana Menteri, kelmarin merayu jasa baik pemimpin nombor satu negara supaya turut mengambil kira kebajikan golongan pendidik.

Berita Harian Online: 7 Mac 2012

Anak saya nakal sangatkah?


Suzianawati Mohamad bersama Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman di luar rumah anak yatim di Taman England, Seremban, semalam.


SEREMBAN 6 Mac - Ibu mangsa buli, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, hanya inginkan keadilan untuk anaknya yang dibuli dengan teruk oleh rakan-rakan mangsa sehingga cedera dan lebam di sebuah sekolah kebangsaan di Sikamat dekat sini Jumaat lalu.

Suzianawati Mohamad, 33, berkata, sehingga kini dia tidak tahu kesalahan yang dilakukan oleh anaknya itu sehingga dia diperlakukan sedemikian rupa.

Dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana apa yang diinginkan adalah kebenaran dan keadilan.

"Saya tak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana saya hanya nak tahu kenapa dia dipukul begitu dahsyat.

"Adakah anak saya jahat atau dia nakal sangat atau orang yang memukulnya mengalami tekanan mental," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Suzianawati yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terkejut apabila mendapati anaknya cedera selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga lebam-lebam di seluruh anggota badannya.

Mangsa, Faqrul Hakimi mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.

Hari ini, Suzianawati bersama Faqrul Hakimi pergi ke sekolah tempat murid itu belajar dekat sini untuk bertemu dengan pengurusan sekolah dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dua beranak itu kemudian pergi ke rumah anak yatim di Taman England dan turut mengadakan perbincangan dengan warden rumah tersebut.

Suzianawati bagaimanapun enggan mendedahkan butiran pertemuan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan akan dijalankan daripada segenap aspek mengenai punca dan mereka yang terlibat.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kes itu berlaku. Setakat ini kita masih menunggu laporan pihak hospital dan Jabatan Pelajaran negeri sebelum tindakan susulan diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abd. Halim Abd. Razak ketika diminta mengulas kes tersebut memaklumkan telah melawat ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan maklumat.

Utusan Malaysia Online: 7 Mac 2012

KOT 2012 IPGM lahir bakal guru hebat

KOTA BHARU 6 Mac - Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) 2012 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu baru-baru ini telah berlangsung dengan jayanya.

Pengarah IPGM Kota Bharu, Hashim Deraman berkata, kejohanan tahunan itu melibatkan penyertaan semua penuntut program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) terutama penuntut semester lima yang diwajibkan menjadi jawatankuasa pelaksana program.

"Selain mencungkil bakat dalam bidang olahraga, kejohanan ini adalah sebahagian daripada tugasan wajib dalam sukatan gerak kerja kokurikulum (Gerko) bagi guru-guru pelatih semester lima yang mana prestasi mereka akan diberi markah.

"Ia mendedahkan mereka kepada pengurusan pengendalian sesuatu projek dengan sistematik, lancar dan ini merupakan antara faktor mengapa guru lulusan IPGM atau dahulunya dikenali sebagai maktab perguruan sering mendapat pujian, cekap melaksanakan program sukan apabila ditempatkan di sekolah," katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola KOT 2012, Ahmad Amirulhadi Mohamad, 21, berkata, seramai 1,175 peserta mengambil bahagian dalam 33 acara yang dipertandingkan termasuk acara trek dan balapan, perbarisan serta perhiasan rumah sukan.

Jelasnya, johan keseluruhan KOT 2012 disandang oleh Rumah Biru (Bintang) dengan 1,132 mata manakala naib johan keseluruhan pula Rumah Merah (Ledang) dengan 1,104 mata.

"Peserta Rumah Biru, Muhammad Adib Faiz Omar, 21, dipilih sebagai olahragawan KOT 2012 manakala Ong Pei Si, 19, olahragawati juga daripada Rumah Biru.

"Rumah Merah (Ledang) pula memenangi dua kategori iaitu perbarisan dan keceriaan rumah sukan manakala Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) menjadi johan Perbarisan Unit Beruniform," katanya.

Ahmad Amirulhadi berkata, dia mewakili 174 lagi penuntut semester lima berterima kasih dengan bimbingan yang diberi barisan pegawai Unit Kokurikulum IPGM Kota Bharu sepanjang merancang dan menjayakan kejohanan tersebut.

"Meskipun tempoh melakukan persediaan hanya enam minggu tetapi semuanya berjalan dengan lancar hasil komitmen semua rakan dan juga kerjasama pensyarah.

"Penganjuran kejohanan ini banyak mengajar kami cara menangani dan berhubung dengan pihak luar untuk mendapatkan tajaan dan kerjasama selain kehendak protokol semasa membuat urusan rasmi," katanya.

Utusan Malaysia Online: 7 Mac 2012

Siasatan kes buli, pukul murid bermula

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
2012/03/07

Jabatan Pelajaran jumpa guru besar, dapatkan penjelasan lanjut JKM

SEREMBAN: Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNNS) memulakan siasatan berhubung kejadian seorang murid Tahun Satu yang dibuli dan dipukul hingga lebam seluruh badan di Sikamat di sini, Jumaat lalu.
Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Razak, berkata pihaknya berjumpa guru besar sekolah itu di Sikamat, semalam bagi mendapatkan penjelasan.
“Saya dimaklumkan kecederaan itu bukan berlaku dalam kawasan sekolah.

“Bagaimanapun, JPN masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melakukan siasatan di asrama anak yatim yang dihuni mangsa,” katanya di sini, semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, murid Tahun Satu trauma selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lebam.

Kejadian itu hanya disedari ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, Jumaat lalu kira-kira jam 7.30 petang selepas mengambil anaknya berusia 7 tahun dari rumah anak yatim di Sikamat.

Berita Harian Online: 7 Mac 2012

52 guru sertai Kem Bahasa Jepun empat hari

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/03/07

SERAMAI 52 guru dari seluruh negara mengikuti Kem Bahasa Jepun selama empat hari di Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyelaras kem itu, Dr Mohd Ghazali Taib, berkata program bertujuan melengkapkan guru Bahasa Jepun itu dengan kemahiran baru untuk diterapkan di sekolah masing-masing.
Katanya, kem itu mendedahkan peserta dengan situasi berbahasa Jepun sepenuhnya terutama dengan penutur jati bahasa berkenaan.
“Kami menjemput 10 rakyat Jepun yang tinggal di negara ini dan bertindak sebagai sukarelawan untuk menyertai pelbagai kegiatan sepanjang program,” katanya ketika ditemui di kampus IPBA, di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Majlis penutup kem berkenaan disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Sukeman Suradi.

Hadir sama Timbalan Pengarah Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL), Isogaya Hiroyuki dan Pengarah IPBA, Raja Azizah Hanim Raja Abdul Aziz.

Mohd Ghazali berkata, semua peserta kem berkenaan adalah guru Bahasa Jepun di sekolah berasrama penuh dan sekolah harian.
Selain berkomunikasi, beliau berkata, peserta juga didedahkan dengan aktiviti seperti memasak makanan Jepun dan tarian Jepun yang boleh dijadikan kegiatan bersama pelajar.

Sementara itu, Sukeman dalam ucapannya berkata, Kementerian Pelajaran menyambut baik kerjasama JFKL dalam menjayakan program berkenaan termasuk menempatkan empat pensyarah dan 10 sukarelawan, iaitu penutur jati.

Katanya, kem seperti itu akan meningkatkan kualiti guru Bahasa Jepun dan menarik minat lebih ramai pelajar untuk mengikuti subjek berkenaan.

“Saya percaya guru yang sudah mengikuti kem ini lebih bersemangat mengajar bahasa Jepun dengan pelbagai kegiatan baru untuk dilakukan dengan pelajar masing-masing,” katanya.

Berita Harian Online: 7 Mac 2012