Sabtu, 20 Jun 2009

BM juga bakal diwajibkan lulus peringkat kredit

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kerajaan bersedia pada masa hadapan untuk mewajibkan pelajar lulus di peringkat kredit bagi subjek Bahasa Melayu sebagai syarat layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata pertimbangan itu dibuat selepas kajian mendapati pelajar bukan Melayu dan Melayu gagal menguasai bahasa kebangsaan itu dengan baik terutamanya dalam penulisan.

"Kerajaan memang menyedari kelemahan ini. Bahkan saya yakin ia akan dibuat (wajib lulus kredit) kerana ramai pelajar gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik. Pelajar Melayu sendiri berdepan dengan masalah ini, apatah lagi bukan Melayu.

"Kita bukan sahaja menumpukan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama, bahasa kebangsaan perlu diletakkan pada tahap yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas syarat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang hanya bersetuju dengan cadangan untuk mewajibkan calon SPM perlu lulus bahasa Inggeris jika kerajaan memenuhi lapan tuntutan mereka.

Antara kandungan tuntutan tersebut ialah Gapena mahu bahasa Melayu diwajibkan lulus peringkat kredit untuk mendapat SPM.

Mengulas lanjut, Puad memberitahu, Kementerian Pelajaran telah bersetuju untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (T) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C).

"Pelajar di SJKT dan SJKC perlu belajar bahasa Melayu lebih lama dari masa sekarang. Mereka akan belajar bagi tempoh masa yang sama seperti bahasa Tamil mahu pun Mandarin.

"Buat masa ini mereka hanya belajar selama 260 minit bagi tempoh seminggu," katanya.

Bagaimanapun, Puad enggan menjelaskan jumlah tambahan masa yang bakal diwajibkan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan syarat wajib bahasa Inggeris tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Menurutnya, kerajaan hanya akan melaksanakan syarat tersebut apabila negara mempunyai guru bahasa Inggeris terlatih yang mencukupi serta mempunyai pusat latihan guru bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil guru asing bagi menampung kekurangan guru bahasa Inggeris yang berkualiti terutamanya di kawasan luar bandar.

Kepada soalan sama ada kerajaan bersedia untuk memansuhkan Pembelajaran Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Puad menjelaskan perkara itu akan diputuskan dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

"Semua pihak tidak perlu khuatir kerana kerajaan telah memberi jaminan untuk menyelesaikan isu PPSMI dalam masa terdekat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 20 Jun 2009

Tiada ulasan: