Selasa, 23 Jun 2009

Ibu bapa usah panik wabak H1N1 di sekolah

Oleh Amirullah Andi Nur, Tuan Nazuri Tuan Ismail, Sazarina Shahrim, Siti Haliza Yusop, S Anand Kumar, Johari Ibrahim dan Nurulfatiha Muah
bhnews@bharian.com.my

Kementerian Pelajaran, Kesihatan laksana langkah proaktif tangani penularan virus

KUALA LUMPUR: Suasana kelam kabut jelas dilihat di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1, apabila sebahagian besar ibu bapa bertindak membawa pulang anak mereka yang sepatutnya memulakan pembelajaran sesi petang, berikutan timbul kebimbangan selepas kes pertama jangkitan Influenza A (H1N1) membabitkan pelajar SRK Assunta 2, dikesan, Ahad lalu.

Kebanyakan ibu bapa pelajar SRK Assunta 1 yang ditemui Berita Harian semalam, turut meminta kerajaan menutup sekolah sesi petang itu selepas SRK Assunta 2, ditutup seminggu.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SRK Assunta 1, C Mahavishnu, berkata Kementerian Pelajaran sepatutnya mengambil tindakan menutup sesi persekolahan SRK Assunta 1 selama seminggu, kerana pelajar sekolah itu turut berkongsi bangunan yang sama dengan pelajar SRK Assunta 2.

“Memang bukan pelajar sesi petang yang dikesan menghidap wabak H1N1 tetapi jika kementerian membuat keputusan SRK Assunta 2 perlu ditutup selama seminggu, tindakan yang sama perlu dilakukan ke atas pelajar SRK Assunta 1, kerana kami berkongsi bangunan sama dan hanya berlainan pentadbiran sekolah.

“Bukan itu saja, kedatangan pelajar sesi petang pada hari ini (semalam) juga kurang memberangsangkan kerana ibu bapa khuatir dengan kenyataan yang pelajar sekolah ini berkongsi bangunan yang sama dengan pelajar SRK Assunta 2.” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Pendapat sama turut dinyatakan seorang bapa pelajar SRK Assunta 1, Zairi Lazli Zainal, yang ditemui ketika membawa pulang anaknya, iaitu seorang pelajar sesi petang Tahun Dua di sekolah itu.

“Saya berasa khuatir mahu menghantar anak saya ke sekolah, dan disebabkan itu saya mengambil keputusan membawa anak saya pulang semula ke rumah. Jika keadaan semakin serius, baiklah sekiranya sesi persekolahan petang turut ditutup, kerana saya khuatir kehadiran pelajar ke sekolah akan memudahkan wabak penyakit itu merebak.” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom meminta ibu bapa supaya tidak panik berikutan penularan wabak itu di beberapa sekolah di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil langkah proaktif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan bagi menangani masalah itu.

“Semua guru besar dan pengetua memantau setiap hari keadaan pelajar masing-masing dan segera merujuk kes yang ada tanda-tanda jangkitan. Semua sekolah juga diarahkan memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih, terutama tandas, bilik darjah, kantin dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Di SHAH ALAM, Pengarah Pelajaran Selangor, Dr Zahri Aziz, berkata seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, di sini, semalam diarah pulang sehari untuk pemeriksaan selepas mereka didapati baru kembali dari luar negara, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang wabak H1N1.

Katanya, mereka tidak termasuk 43 pelajar sebuah kelas dan 12 guru sekolah sama yang diarah tidak datang ke sekolah selama seminggu mulai semalam, untuk tujuan kuarantin berikutan penularan kes H1N1.

“Lebih 90 peratus pelajar datang ke sekolah hari ini (semalam). Pihak sekolah sudah diminta lebih peka terhadap wabak ini dan segera menghantar guru atau pelajar yang mengalami simpton H1N1 ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah itu.

Tinjauan di SMK Seksyen 9, mendapati pihak sekolah mengaturkan program penyampaian taklimat oleh Jabatan Kesihatan Selangor (JKS) kepada sekumpulan ibu bapa pelajar terbabit mengenai garis panduan langkah pencegahan H1N1 dan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika terdapat simpton penyakit itu.

Bapa pelajar yang diarahkan pulang semalam, Zawawi Shamroz, 55, berkata beliau dan anaknya baru pulang dari mengerjakan umrah di Makkah, dua hari lalu dan tiada masalah ketika melalui pemeriksaan ketat di lapangan terbang.

“Menurut anak saya, dia adalah antara 15 pelajar sekolah itu yang diarahkan pulang kerana baru balik dari luar negara," katanya.

Sementara bapa pelajar yang diarahkan tidak hadir, Bakri Mad Salleh, 53, berkata beliau akur dengan arahan supaya anaknya dikuarantin di rumah.

Berita Harian Online: 23 Jun 2009

Tiada ulasan: