Selasa, 30 Jun 2009

Tiga lagi sekolah dibuka semula

PETALING JAYA 29 Jun - Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan 2 di sini, serta Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras, yang ditutup kerana jangkitan Influenza A (H1N1) sejak minggu lepas, telah dibuka semula hari ini.

Sabtu lepas, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur telah dibuka semula.

Di SRK Assunta 2, lebih 80 peratus pelajar sekolah itu hadir bagi menyambung semula pembelajaran mereka yang tertangguh sejak sekolah itu ditutup Isnin lepas.

Pengarah Pelajaran Selangor Dr. Zahri Aziz berkata, kehadiran para pelajar sekolah itu amat memuaskan dan beliau berpuas hati dengan persediaan awal yang dilakukan oleh pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Pada Sabtu lepas, sekolah itu dengan kerjasama PIBG telah mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekolah dari pagi hingga petang," katanya kepada pemberita ketika hadir untuk memantau keadaan di sekolah itu di sini.

Zahri berkata selain itu, sesiapa sahaja yang ingin memasuki kawasan sekolah perlu membersihkan tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak sekolah itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor juga turut mengadakan pameran serta memberi penerangan kepada para pelajar dan guru mengenai langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil, termasuk pemeriksaan suhu badan.

Zahri berkata, para pelajar juga digalakkan menggunakan topeng muka sebagai inisiatif sendiri dalam menangani penularan wabak itu.

Pada Isnin lepas, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan SRK Assunta 2 ditutup selama seminggu berikutan dua muridnya, iaitu pelajar tahun satu dan tahun lima, disahkan positif selesema babi.

Berikutan dengan dua kes positif di SRK Assunta 2, SRK Assunta 1 yang berkongsi bangunan dan kemudahan yang sama juga telah ditutup pada Selasa lepas dan dibuka semula hari ini.

Selain itu, Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka di Cheras juga dibuka semula hari ini setelah ditutup sejak Selasa lepas berikutan penularan selesema babi. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 30 Jun 2009

Tiada ulasan: