Jumaat, 26 Jun 2009

Cegah anai-anai semua sekolah

SEREMBAN 25 Jun - Semua sekolah perlu menjalankan kerja-kerja pencegahan anai-anai bagi mengelakkan daripada terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membaik pulih bangunan jika diserang serangga berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut perlu dijalankan dalam tempoh tiga tahun sekali.

Beliau berkata, sekiranya kerja-kerja pencegahan yang hanya berjumlah RM4,000 ini tidak dijalankan, perbelanjaan lebih besar mungkin terpaksa dikeluarkan sehingga mencecah RM200,000 bagi menyelenggara bangunan yang rosak akibat dimakan anai-anai.

"Langkah itu juga adalah bagi memastikan struktur bangunan sekolah berada dalam keadaan kukuh dan selamat untuk digunakan oleh pelajar dan guru di sekolah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini semalam.

Menurutnya, tahun lalu, tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di Jempol terpaksa diperbaiki berikutan masalah tersebut dan kos yang tinggi terpaksa ditanggung bagi membaikinya.

Katanya, baru-baru ini, hasil pemeriksaan pihak Jabatan Kerja Raya, mendapati SJK Cina Ladang Hillside di sini terpaksa diperbaiki ekoran masalah yang sama.

Sehubungan itu, tambah Mohamad, pelajar sekolah terbabit terpaksa belajar di dalam kabin yang disediakan sementara menunggu bangunan sekolah mereka siap dibaik pulih.

Kata beliau, pihak pengurusan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah di negeri ini dinasihatkan agar tidak kedekut untuk mengeluarkan peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

"Mengapa nak berjimat sedikit sedangkan perbelanjaan yang lebih besar perlu dikeluarkan sekiranya bangunan telah dimakan anai-anai. Jika tidak ada duit, pihak kerajaan negeri boleh bantu," tegas beliau.

Utusan Malaysia Online: 26 Jun 2009

Tiada ulasan: