Selasa, 28 Disember 2010

Masalah salah laku disiplin pelajar masih terkawal

2010/12/28

PUTRAJAYA: Masalah salah laku disiplin di kalangan pelajar masih terkawal dan statistik Kementerian Pelajaran menunjukkan hanya kira-kira tiga peratus daripada lebih 5 juta pelajar dari 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terbabit kegiatan salah laku itu sepanjang sesi persekolahan 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Kah Siong, berkata ini bermakna kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan pelajar di sekolah menengah dan rendah di negara ini, tidak terbabit dengan sebarang salah laku disiplin.

Beliau berkata, mengikut rekod kementerian 111,484 pelajar atau 72,557 pelajar sekolah menengah dan 38,927 murid sekolah rendah dikesan terbabit pelbagai salah laku disiplin pada 2010.
Katanya, antara kes salah laku disiplin yang sering dilakukan pelajar terbabit termasuk jenayah (17,595 kes), ponteng sekolah (19,545 kes), berlaku kurang sopan (18,346 kes), kekemasan diri (21,384 kes), tidak mementingkan masa (17,808 kes), kelucahan (3,031 kes), vendalisme (5,212 kes) dan kenakalan (8,563 kes).

"Walaupun masalah salah laku disiplin pelajar di negara ini masih terkawal, kita tetap memandang serius gejala ponteng sekolah kerana ia menjadi penyebab utama pembabitan seseorang pelajar dalam pelbagai kegiatan berunsur negatif seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi.

"Saya berpendapat penguatkuasaan peraturan sekolah semata-mata tidak memadai bagi menangani gejala ponteng sekolah, namun masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar juga perlu diberikan kesedaran mendalam mengenai masalah ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid 2010 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Wee berkata kementerian juga meminta sekolah mengambil pelbagai pendekatan efektif termasuk memberi amaran, bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

Berita Harian Online: 28 Disember 2010

2 ulasan:

Mantan Guru Disiplin berkata...

Pak Menteri janganlah berbangga sangat dgn peratus yang kecil itu..Hakikatnya banyak kes2 besar yg ditutup dan cuba diselindung oleh pihak pentadbir sekolah utk menjaga periuk nasi mereka.Dan kalau mereka jujur melaporkan perkara yg betul sekalipun,mereka juga yg akan disalahkan balik oleh PPD,jabatan dan kpm sendiri..last2 baiklah hantar data tipu drpd yg betul..Sekarang ni x ramai guru yg nak jadi Guru Disiplin...Cuma kalau terpaksa, dilantik...SYMP ajerlah.

Tanpa Nama berkata...

Saya menyokong ulasan ini, tambahan pula apabila ibubapa menggunakan saluran politik untuk membela anaknya yang memang confirm dibuktikan membuat masalah disiplin di sekolah. Guru disiplin perlukan protection untuk mereka berani dan telus menunaikan tanggungjawab mereka. Hal ini kerana tidak ramai yang sanggup menjadi guru disiplin.