Selasa, 7 Disember 2010

Wilayah: 'Projek sekolah sakit' disiap segera

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/12/07

Kontraktor baru teruskan bina 38 bangunan

KOTA BELUD: Kementerian Pelajaran akan memastikan semua 38 sekolah rendah dan menengah di negeri ini yang gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sekolah berkenaan sukar disiapkan bulan ini untuk memulakan operasi pada sesi persekolahan Januari 2011, namun kementerian akan memastikan ia akan siap selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Katanya, projek itu tidak perlu dibawa ke RMKe-10, sebaliknya hanya memerlukan kontraktor baru yang bertanggungjawab menyiapkan bangunan sekolah mengikut jadual dengan mengutamakan kualiti kerja dan binaan.

"Kontraktor asal projek terbabit sudah dikenakan tindakan dan disenarai hitam, manakala kontraktor baru dilantik untuk menyempurnakan kerja berkenaan.

“Sebelum ini, kementerian menyenaraikan 45 projek sekolah sakit daripada 17,000 bangunan sekolah merangkumi makmal komputer dan sains yang dibina serta dinaik taraf di seluruh negara. Bagaimanapun ada yang sudah siap," katanya.

Beliau diminta mengulas pendedahan akhbar ini Jumaat lalu mengenai 38 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri gagal disiapkan mengikut jadual dalam RMKe-9 selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin; Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Pinjaman Hassin.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, SK Nanamun memerlukan pembinaan bangunan baru kerana bangunan sedia ada sukar dinaik taraf, termasuk pendawaian semula berikutan ada struktur bangunan sudah reput.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga bekas murid sekolah itu pernah membincangkan masalah sekolah berkenaan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Timbalan Perdana Menteri bersetuju meluluskan RM10 juta untuk pembinaan bangunan konkrit enam kelas dalam peruntukan pusingan pertama RMKe-10," katanya.

Berita Harian Online: 7 Disember 2010

2 ulasan:

GuruBatuPahat berkata...

lain kali pilihlah org2 yg x layak seperti kebanyakan kroni umno lagi.. x gitu dato' puad zarkashi? seperti yg anda lakukan di batu pahat ni.. sanggup mengarahkan kontraktor yg disyaki x sokng umno disenaraihitamkan.. melayu makan melayu..

Tanpa Nama berkata...

Buatlah sesuka kita selagi kuasa yang dipinjamkan oleh Allah itu ada. Soal dosa dan pahala tu hanya Allah yang tentukan. Kita pun dah belajor tinggi-tinggi tak kan tak faham soal dosa dan pahala, yer tak?