Selasa, 22 Jun 2010

‘Dua peperiksaan tidak lagi relevan’

2010/06/22

KUALA LUMPUR: Cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk mewujudkan hanya satu peperiksaan awam yang akan menjadi penentu kepada pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat tepat kerana dua peperiksaan itu sudah tidak relevan dalam menentukan pelajar layak memasuki Tingkatan Satu dan Empat.

Ia kerana orientasi peperiksaan yang dilaksanakan tidak lagi menjadi kayu ukur layak atau tidak pelajar menyambung pengajian peringkat menengah rendah dan menengah atas kerana semua pelajar diberikan peluang sama rata mengikuti pengajian berkenaan bagi mengelak mereka tercicir.

Tokoh pendidik yang juga Pengerusi Panel Sekolah Kluster, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad ketika dihubungi Berita Harian, semalam, berkata: “Dulu peperiksaan dibuat bagi menentukan kelayakan pelajar untuk menyambung pengajian ke Tingkatan Satu dan Empat, tetapi kini ia tidak lagi berfungsi kerana semua pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga automatik layak meneruskan pengajian mereka.

“Jika pelajar gagal dalam SRP (Sijil Rendah Pelajaran) atau LCE (Lower Certificate of Education) yang dikenali sebelum ini sebelum digantikan dengan PMR, mereka perlu mengulangi peperiksaan sebelum layak masuk ke Tingkatan Empat tetapi kini ia tidak lagi berlaku,” katanya.

Abdul Rahman berkata, cadangan itu sudah diutarakan sejak dua tahun dulu ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Panel Sekolah Kluster yang turut mengemukakan 80 cadangan dalam menambah baik sistem pendidikan negara.

Bagaimanapun, katanya, walaupun kedua-dua peperiksaan utama itu dimansuhkan, peperiksaan rutin di sekolah masih perlu bagi menguji pencapaian dan penguasaan murid yang akan menjadi penanda aras kecemerlangan pelajar.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad pula berpendapat, pemansuhan itu perlu kerana apa yang dilaksanakan ketika ini hanya membuat pelajar lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata.
“Pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan akan lebih memberikan fokus terhadap penilaian kemajuan berasas sekolah (PKBS) iaitu peperiksaan semester biasa.

“Ketiadaan peperiksaan awam lebih memudahkan sekolah memfokuskan kepada matlamat menjadikan sekolah mesra pelanggan dan membolehkan sekolah melihat lebih dekat kelemahan yang boleh diperbaiki dan menjadikan semua mata pelajaran adalah mata pelajaran penting dan tidak hanya menumpukan mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan saja,” katanya.

Beliau berkata, guru juga akan mendapat manfaat melalui pemansuhan ini kerana mereka tidak lagi perlu meninggalkan sekolah bagi menghadiri kursus, khasnya bagi guru yang mengajar kelas peperiksaan.

“Ia juga akan membantu menjimatkan perbelanjaan kerana guru tidak lagi perlu ditugaskan menjaga peperiksaan dan mengikuti kursus menggubal soalan dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian Online: 22 Jun 2010

1 ulasan:

Zulfadzli Haron berkata...

Sewajarnya UPSR dan PMR dimansuhkan terus kerana ia hanya menambat minda pelajar menjadi golongan penghafal dan tidak produktif.

Pelajar perlu dididik dengan teknik bertanya dan berfikir pada zaman ini agar dapat menghasilkan genarasi yang benar-benar mampu berfikir secara kritis dan kreatif.

ikhlas,

http://reformasimindaguru.blogspot.com