Selasa, 29 Jun 2010

Wujudkan program mentor mentee di sekolah berasrama

PENGGAL kedua persekolahan baru sahaja bermula. Namun baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD), Sg. Besi. Pelajar malang itu, adik Mohammad Naim Mustaqin Mohamad Sobri, 16 meninggal dunia akibat dibuli oleh sekumpulan pelajar senior.

Kes buli di asrama bukanlah perkara baru. Malah sebelum ini, telah banyak diberitakan pelbagai kes dan peristiwa yang berlaku termasuklah yang berlaku di sekolah menengah agama berasrama dan sekolah-sekolah harian. Ada yang pada tahap biasa-biasa sahaja dan yang paling tragisnya menyebabkan kes kematian.

Satu kerugian dan kehilangan kepada keluarga dan juga negara. Rata-ratanya pelajar yang menduduki sekolah berasrama apatah lagi seperti MTD ini bukanlah calang-calang pelajar. Mereka adalah pelajar cemerlang dan menjadi harapan keluarga serta negara untuk menjadi pemimpin pelapis di masa hadapan.

Takziah buat keluarga Allahyarham Mohammad Naim. Pastinya sebagai anak sulung yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang susah, Allahyarham sudah tentu menjadi harapan dan sandaran keluarga. Namun kini, segalanya sudah berakhir. Hanya al-fatihah mengiringi pemergian beliau.

Dalam kes buli di asrama, masih relevankah tradisi ini? Apakah tujuan ragging atau orientasi itu diadakan? Sebenarnya ia diadakan untuk menanam rasa hormat dan memupuk silaturahim antara pelajar baru dan lama.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang kebanyakannya lebih berbentuk ingin menunjukkan kuasa atau kekuatan masing-masing. Tidak keterlaluan juga ada yang menyebabkan para pelajar junior menjadi takut dan benci kepada para senior mereka.

Apabila perasaan takut dan benci telah wujud dalam diri dan jiwa pelajar-pelajar junior, maka matlamat ragging dan orientasi itu secara automatiknya tidak tercapai. Malah lebih teruk lagi, ada antara mereka yang menyimpan rasa dendam sama ada ditujukan kepada pelajar yang terbabit atau membalas dendam kepada pelajar baru yang akan datang.

Tidak dinafikan sebagai sebuah maktab tentera sudah semestinya para pelajar harus berdaya tahan dan mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang utuh. Tetapi sekiranya perbuatan yang melanggar tatasusila kemanusiaan, walau kuat seperti badang sekalipun, pasti akan kecundang jua.

Tidakkah kita sedar bahawa ragging dan buli ini membentuk budaya samseng di kalangan para pelajar. Persoalannya adakah mereka ini tidak cukup cerdik untuk membezakan perbuatan mereka itu betul atau tidak? Apakah keputusan cemerlang yang mereka perolehi sebelum menjejakkan kaki ke sekolah berasrama, tidak mencerminkan akal fikiran mereka yang waras yang membolehkan mereka menilai apa yang baik atau tidak.

Di asrama, ada warden atau penyelia. Apakah fungsi mereka? Bukankah warden dan penyelia ibarat seperti ibu atau bapa kepada para pelajar di asrama? Adakah warden dan penyelia terlepas pandang akan perkara-perkara yang akhirnya menimbulkan natijah buruk kepada anak bangsa.

Apa pun perkara telah pun berlaku. Dan apa yang diharap agar kejadian seumpama ini tidak akan berlaku lagi. Namun sebagai ibu bapa, pastinya kebimbangan menguasai diri untuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama. Mereka pastinya ingin jaminan agar anak-anak yang dihantar untuk menuntut ilmu, yang perginya dengan harapan dan impian dan pulang selepas habis tingkatan lima menjadi seorang pelajar yang membanggakan keluarga.

Sebagai masyarakat kita mungkin tidak menyangka pelajar-pelajar yang boleh dikategorikan sebagai insan-insan terpilih untuk memasuki sekolah berasrama mampu melakukan perbuatan yang dianggap kejam iaitu membunuh.

Kementerian Pelajaran perlu melakukan sesuatu bagi memastikan kejadian buli dan ragging yang keterlaluan hingga membawa maut tidak lagi berlaku. Pembentukan sahsiah diri serta rasa hormat menghormati antara pelajar senior junior mungkin boleh dibentuk melalui program mentor mentee.

Mungkin ada beberapa sekolah berasrama yang telah pun melaksanakan program ini. Melalui program ini, pelajar junior akan dipantau, dibimbing oleh mentee yang terdiri daripada pelajar senior. Mereka bukan untuk menunjuk kuasa tetapi lebih kepada hubungan silaturahim sebagai kakak atau abang kepada adik-adik.

Justeru itu, rasa rindu pada ibu bapa dan keluarga, tinggal jauh merantau untuk menimba ilmu dapat di atasi melalui mentee masing-masing. Mentee juga dilantik di kalangan guru yang berperanan sebagai bapa atau ibu.

Hubungan mentor mentee ini mampu mewujudkan silaturahim yang erat kerana setiap mentor mentee pelajar-pelajar akan dipantau oleh mentee di kalangan guru. Lantaran itu, para pelajar tidak akan melakukan sesuatu perkara atau tindakan yang melampau kerana mereka berada di bawah pemerhatian guru-guru mereka.

Manakala surat akujanji yang ditandatangani pelajar sewaktu mendaftar di sekolah berasrama mungkin perlu diperkemaskan dengan memasukkan klausa tentang aktiviti membuli dan ragging yang keterlaluan adalah diharamkan.

NORLELA IBRAHIM

Keramat, Kuala Lumpur.


Utusan Malaysia Online: 29 Jun 2010

Tiada ulasan: