Selasa, 22 Jun 2010

Nilai implikasi

Oleh Rusnita Pechok

2010/06/22

Kesatuan guru sokong pemansuhan UPSR, PMR dibincang dulu

KEPUTUSAN kerajaan mengambil pandangan semua pihak sebelum memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dapat menyemarakkan amalan demokrasi dalam menyediakan pendidikan terbaik kepada rakyat.

Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum sesuatu dasar baru dilaksanakan.

Presidennya, Md Yussof Mattaim, sebagai negara yang mengamalkan pemerintahan secara demokrasi, wajar bagi kerajaan mendapatkan pandangan rakyat mengenai cadangan sesuatu pelaksanaan atau polisi baru.

Beliau berkata, pandangan secara terbuka itu memberi peluang semua pihak terutama pengamal pendidik memberikan reaksi mereka. Langkah kerajaan yang sedia berbincang itu begitu dihargai. Perbincangan pelbagai pihak dapat mengumpulkan input untuk dibincangkan bersama dan mencari modul terbaik menggantikan sistem sedia ada.

Pemansuhan UPSR dan PMR itu katanya, wajar dibincangkan secara serius kerana pelaksanaannya memberi kesan kepada masa depan generasi akan datang.

“KGKS bersetuju cadangan berkenaan berasaskan tiga perkara iaitu mengurangkan tekanan guru mengajar berikutan persepsi umum hanya memberi tumpuan kepada pencapaian cemerlang tanpa memikirkan pertumbuhan individu secara holistik.

“Keduanya, penilaian peperiksaan peringkat rendah sebagai penanda aras kepada piawaian kualiti kemasukan ke sekolah berasrama penuh perlu diubah. Ketiganya pemansuhan bertujuan mengurangkan proses penilaian pelajar berorientasikan peperiksaan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini, mencadangkan UPSR dan PMR dimansuhkan bagi membolehkan pelajar menduduki satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun sesi persekolahan.

Bagaimanapun, keputusan kementerian itu tidak akan dibuat secara tergesa-gesa kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat.

Md Yussof berkata, dengan pemansuhan UPSR dan PMR itu, diharapkan pelaksanaan Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah (PKBS) lebih berjaya.

Beliau berkata, pendekatan PLBS lebih menyeluruh kerana menjurus matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada kemahiran jasmani, intelek, rohani, emosi dan sosial.

Sehubungan itu, katanya, sekolah yang dinaik taraf seperti Sekolah Kluster dan Sekolah Berprestasi Tinggi berfungsi sebagai `feeder school’ kepada SBP.

Berita Harian Online: 22 Jun 2010

Tiada ulasan: