Isnin, 28 Jun 2010

Wujud sistem pendidikan terbaik

2010/06/28

CADANGAN kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR tentulah ada asasnya. Difahamkan antara sebabnya ialah kerajaan ingin mewujudkan pendidikan secara holistik atau menyeluruh.

Memang tidak dinafikan, UPSR dan PMR lebih bersifat akademik atau teori dengan pelajar mengguna pakai semua ilmu mereka dalam bentuk jawapan bertulis. Kemudian mereka diberikan markah. Seterusnya markah mereka akan dikumpul sama ada cemerlang, baik, sederhana dan lemah.

Ia akan memudahkan pihak sekolah mengenal pasti tahap pencapaian pelajar. Biasanya pelajar yang cemerlang akan terus berjaya dalam akademik. Paling kurang akan melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan sarjana.

Sebaliknya pelajar yang lemah akan mencari peluang lain dalam bidang kemahiran dan sebagainya. Kehidupan perlu diteruskan untuk mencari rezeki. Mereka tiada tempat di universiti.

Memanglah UPSR dan PMR tidak dikira untuk kemasukan ke universiti. Ia berguna untuk kemudahan pihak sekolah menengah bagi mengenal pasti tahap pelajar untuk disesuaikan dengan pengajaran dan pembelajaran guru. Apa yang menyebabkan UPSR dan PMR itu nampak agak penting ialah kerana ia disokong oleh kerajaan khususnya dari aspek kewangan.

Sebab itu kita lihat ramai guru yang mendapat banyak manfaat daripada UPSR dan PMR dari aspek kewangan.

Berapa ramai guru atau penanda kertas jawapan UPSR dan PMR akan menganggur atau kehilangan punca kewangan sekiranya dimansuhkan.
Tidak termasuk tuntutan elaun perjalanan. Ada kala seorang guru boleh dapat RM500 atau lebih bagi setiap kerja UPSR dan PMR yang mereka lakukan.
Jika dimansuhkan, maka bererti salah satu sumber kewangan guru juga akan turut hilang.

Saya tidak nampak UPSR dan PMR itu bersalah. Ia adalah elemen penting untuk menentukan tahap pencapaian murid. Peperiksaan tidak dapat dielak oleh sesiapa pun.

UPSR dan PMR adalah visi dan misi kerajaan. Jika kerajaan ingin memansuhkan UPSR dan PMR, bermaksud kerajaan hendak menghapuskan visi dan misi mereka.

Sehubungan itu, saya meminta kerajaan mewujudkan satu alternatif pendidikan atau peperiksaan yang lebih mantap supaya visi dan misi kerajaan, kebajikan guru dan kemantapan pelajar dapat kita kekalkan untuk menempuh cabaran abad ke-21.

REZA ALJUNAID,
Jelebu, Negeri Sembilan

Berita Harian Online: 28 Jun 2010

Tiada ulasan: