Sabtu, 19 Jun 2010

Minda Pengarang: Jawatan guru lepasan diploma wajar dapat pengesahan segera

2010/06/19

PENGESAHAN dalam perjawatan dalam apa saja jenis pekerjaan amat penting kepada setiap pekerja bagi memastikan mereka menikmati faedah ditetapkan. Seseorang pekerja tidak layak menikmati kemudahan disediakan termasuk kenaikan gaji, jika tidak disahkan dalam jawatan yang disandang. Malah mereka boleh dibuang kerja jika tidak disahkan jawatan dalam tempoh waktu tertentu. Itulah keadaan yang menimpa 24,000 guru lulusan diploma yang ‘tersangkut’ gara-gara tidak dipanggil mengikuti kursus induksi yang menjadi prasyarat untuk mereka disahkan jawatan masing-masing.

Kita amat simpati dengan apa yang berlaku terhadap guru berkenaan. Bagaimanapun dengan jaminan yang diberikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, kelmarin untuk menyelesaikan isu berkenaan secara berperingkat, kita pasti ia memberi sedikit kelegaan kepada guru terbabit. Kementerian berjanji akan menyelesaikan isu itu dengan kumpulan pertama 5,000 guru terlebih dulu dipanggil mengikuti kursus induksi. Semua guru terbabit dalam gred DGA29 sepatutnya menjalani kursus induksi perguruan 14 hari bagi membolehkan jawatan mereka disahkan, seterusnya menikmati kemudahan yang disediakan. Namun sehingga kini mereka belum dipanggil untuk menjalani kursus berkenaan.

Jika pengesahan jawatan lewat dilakukan, ia sama sekali akan menyekat kenaikan gaji tahunan, peluang kenaikan pangkat serta menjejaskan kekananan guru berkenaan. Mereka juga akan mengalami kelewatan memasuki skim pencen, selain terpaksa menunggu lama untuk mendapat kelayakan membuat pinjaman perumahan, malah ada bank yang tidak meluluskan permohonan pinjaman mereka semata-mata tidak disahkan dalam perjawatan. Persoalannya, apakah masalah sebenar yang berlaku sehingga mereka tidak dipanggil menduduki kursus induksi yang menjadi satu daripada prasyarat untuk disahkan jawatan.

Kebiasaannya kursus induksi diadakan selepas dua tahun mereka menamatkan kursus diploma perguruan. Apakah kerana peruntukan tidak mencukupi atau langkah berjimat cermat Kementerian Pelajaran? Inilah persoalan perlu ditangani pihak kementerian. Paling membimbangkan keadaan itu akan menjejaskan moral guru terbabit untuk meneruskan tugas mendidik anak bangsa serta memberi kesan negatif lain seperti kekangan kewangan dan tekanan hidup.

Ketika isu beban tugas guru belum dapat diselesaikan sepenuhnya, kini timbul pula masalah lain yang memerlukan penyelesaian segera. Kita bimbang rasa tidak puas hati itu akan memberi ruang kepada pihak tertentu menjadikannya sebagai isu menghentam kerajaan demi kepentingan politik mereka. Ketika ini, ada 360,000 guru yang bertugas di seluruh negara, walaupun guru terbabit hanya peratusan kecil, ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah periuk nasi mereka. Kementerian Pelajaran perlu menanganinya segera kerana jika tidak, bilangannya akan bertambah ramai dan menjadikan isu ini semakin rumit untuk diselesaikan.

Komitmen diberikan kementerian menyelesaikan masalah ini sudah pasti amat dihargai guru terbabit. Ia juga dapat memastikan kumpulan guru berkenaan dapat disahkan jawatan dan memperoleh keistimewaan lain dalam tempoh sepatutnya.

Berita harian Online: 19 Jun 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

GURU TINGKATAN 6....

satu tindakan tidak adil..ada diskriminasi guru... guru tingkatan 6 beban kerja tak banyak tapi gaji melambung... kata aje balik lewat..tapi sama je mcm cikgu2 arus perdana... ajar murid satu kelas sahaja... relief tanak... rungutan yg semakin kedengaran di mana-mana sekolah.. FIKIR-FIKIRKAN